Cari @ Amanz

Permintaan untuk iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max adalah lebih tinggi berbanding iPhone 14 dan 14 Plus tahun ini sehingga menyebabkan golongan scalper di China terpaksa menjualnya pada harga lebih rendah. Di Malaysia, waktu menanti jika anda memesan model Pro sudah melebihi sebulan. Adakah peranti dengan Dynamic Island ini berbaloi atau ia sebuah lagi peranti yang mendapat sambutan kerana wujudnya beberapa gimik?

Spesifikasi

Apple iPhone 14 Pro Max
Skrin6.7″ Super Retina XDR OLED, 1284 x 2778 pixel, (458 PPI), Dolby Vision, 120Hz
PemprosesApple A16 Bionic (4nm)
Cip2 X 3.43 GHz Firestorm
4 X ? GHz Icestorm
Cip GrafikGPU 5 Teras
RAM6GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512/1000 GB NVMe
Kamera Utama48+12+12 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.2, Zum Optikal 3X, Sensor Shift, 3D ToF
Kamera Swafoto12 Megapixel f/1.9, AF
Bateri4323 mAh
Pengecasan berwayar 20W
Pengecasan MagSafe 15W
Pengecasan nirwayar 7.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas wajah Face ID
Harga JualanRM 5799 (128GB)
RM 6299 (256GB)
RM 7299 (512GB)
RM 8299 (1TB)

Skrin

Skrin masih lagi 6.7″ Super Retina XDR OLED dengan kadar segar semula 120Hz dengan keterangan skrin mencecah 2000 nits. Tiada lagi takuk yang digunakan sejak iPhone X. Sebaliknya ia digantikan dengan sebuah lubang besar berbentuk bujur yang diberi nama Dynamic Island. Penggunaan lubang kamera yang besar ini tidak dapat dielakkan kerana Apple masih belum bersedia untuk menggunakan sistem kamera bawah skrin sepenuhnya.

Oleh itu lubang Dynamic Island mengingatkan kami kepada lubang yang digunakan pada Huawei Mate P40 Pro dan Galaxy S10+. Kehadiran lubang hitam yang besar ini memang mengganggu penggunaan beberapa aplikasi tertentu seperti YouTube, Netflix dan Call of Duty Mobile. iOS 16 juga masih belum memberikan ciri untuk menyorokkan lubang kamera seperti yang wujud sejak Android 10 lagi.

Masih terlalu awal untuk kami katakan kewujudan Dynamic Island ini dengan mudah dapat dilupakan dengan pantas seperti pengguna iPhone model sebelum ini dapat membutakan mata kepada kewujudan takuk.

Tidak boleh dinafikan bahawa skrin iPhone 14 Pro Max memang cantik, tajam, terang, pantas dan memaparkan warna yang cukup hidup. Di bawah mentari panas, kandungan masih boleh dilihat dengan terang. Bezel juga sekata membuatkan skrin mempunyai keseimbangan simetri.

Sokongan kandungan Dolby Vision pada perkhidmatan Apple TV+, Netflix dan Disney+ Hotstar turut diberikan sejak hari pertama lagi. Warna kelihatan lebih sinematik jika ingin dibandingkan dengan HDR10+ pada Galaxy S22 Ultra. Tatalan terasa lancar kerana skrin LTPO menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz dan tatalan dikesan dengan jitu. Tiada isu animasi kelihatan tersekat-sekat.

Rekaan

Rekaan sisi rata yang diperkenalkan pada iPhone 12 dikekalkan pada model tahun ini. Sisi logam tahan karat yang rata dipadankan dengan panel belakang yang tidak berkilat. Tiada isu panel belakang kotor dengan mudah walaupun tanpa penggunaan kerangka. Tahun ini rekaan rata dan berkotak menjadi trend hangat semua pengeluar. Maka Apple mengekalkan rekaan yang sama untuk tahun ketiga kami rasakan bukanlah perkara negatif.

Butang kuasa terletak di sisi kanan dengan butang laras audio serta membisukan peranti diletakkan pada sisi kiri. Kedudukan kesemua butang-butang serta suis tidak berubah serta masih lagi teguh. Kami boleh menggunakan semula kerangka 13 Pro Max pada 14 Pro Max cuma bahagian bonggol kamera sahaja yang sedikit ketat. Bagi yang ingin melakukan penjimatan atau lebih mesra alam tiada isu besar untuk mengitar semula kerangka tahun lalu.

Perubahan saiz bonggol dan lensa adalah sekitar 10% lebih besar. Memang dapat dirasakan bahagian atas peranti lebih berat berbanding pada bahagian bawah membuatkan ia terasa kurang seimbang. Bagi seorang pengguna 13 Pro Max, perubahan berat dan keseimbangan ini tidak begitu ketara. Tetapi di pejabat Amanz, pengguna iPhone XS, 11 dan 12 mengatakan peranti terasa sikit janggal digunakan kerana ketidakseimbangan ini.

Secara keseluruhan peranti masih selesa di dalam tangan dengan ia terasa serta kelihatan sangat premium. Apple mengatakan perbezaan berat antara 13 Pro Max dan 14 Pro Max adalah hanyalah 2 gram (238g vs 240g) tetapi dalam tangan ia terasa seperti lebih signifikan. Walaupun Apple mengatakan binaan kaca pada 14 Pro Max adalah tahan lasak, kami masih menyarankan pengguna peranti ini di Malaysia untuk membeli kerangka bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Di bahagian bawah terdapat port pengecasan Lightning dan kekisi audio untuk sistem audio stereo. Sebuah lagi speaker diletakkan pada bahagian atas skrin. Kerana konfigurasi ini, audio dari bawah jelas lebih lantang berbanding audio dari speaker atas.

Penggunaan port pengecasan Lightning ini mungkin adalah di tahun terakhir kerana bermula tahun hadapan penggunaan USB-C mula diwajibkan di Eropah. Ini adalah perlu kerana USB-C akan menyeragamkan kabel pengecas yang sudah disokong MacBook dan iPad tetapi turut menyokong kadar pemindahan data yang lebih pantas. Pada peranti yang menyokong rakaman video Apple ProRes yang saiznya amat besar, pemindahan data menggunakan kabel adalah satu pengalaman yang menjerihkan.

Penggunaan Dan Perisian

Sistem operasi iOS 16 tidak memberikan perubahan yang besar pada antaramuka utama peranti. Penambahbaikan yang paling kerap dipromosikan oleh Apple tahun ini ialah sokongan Always on Display dan kustomasi skrin kunci yang mirip pada sebuah peranti Android.

Sebagai seorang pengguna Android pada awalnya kami seperti ingin ketawa dengan “pengAndroidan” iPhone sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi selepas menggunakan iOS16 ini sejak ia di tahap Beta, kami boleh katakan dengan ikhlas bahawa implementasi skrin kuncu iPhone adalah lebih menarik, dinamik, estetik dan lebih penting sekali mudah digunakan berbanding di Android.

Pilihan reka huruf, warna, susunan widget dan imej latar belakang misalnya adalah lebih mudah digunakan. Mengubah skrin kunci juga pantas semudah menekan skrin selama beberapa saat dan kemudian memilih skrin kunci yang pernah digunakan sebelum ini.

Kami gunakan ciri ini untuk situasi berbeza. Skrin kunci A untuk di pejabat memaparkan peringatan untuk mesyuarat dan tarikh akhir artikel perlu ditulis. Selepas waktu pejabat skrin kunci B pula kami gunakan tanpa peringatan untuk kerja digantikan dengan widget bateri, cuaca dan penjejakan kesihatan.

Sistem Always On Display (AOD) yang pada awalnya kami rasakan sekadar gimik sebenarnya agak menarik kerana perubahan warna dari mod skrin aktif ke skrin kunci yang menukar warna latar belakang ke monokrom. Lebih menarik sekali apabila tiba waktu tidur imej latar belakang dikaburkan lagi.

Dari segi penggunaan praktikal, ciri ini tidaklah begitu berguna tetapi dari segi estetik implementasi AOD Apple adalah amat menarik. Tambah menarik kerana ini bermakna skrin iPhone 14 Pro sentiasa memaparkan imej dan tidak akan berubah menjadi black mirror seperti pada peranti lain di pasaran.

Mari bercakap tentang sistem Dynamic Island yang pada awalnya kami risau akan menjadi sekadar gimik. Tetapi selain “menghilangkan” kewujudan lubang kamera yang besar pada skrin ia sebenarnya amat berguna. Proses menukar lagu yang sedang dimainkan pada Spotify dan Apple Music lebih pantas kerana hanya ikon pada Dynamic Island perlu disentuh. Saiz Dynamic Island menjadi besar dengan butang kawalan pemain. Selepas itu jika ruang di luar Dynamic Island disentuh ia mengecut semula.

Ciri ini juga disokong pada aplikasi lain seperti ketika melakukan telefon, menggunakan aplikasi merekod audio dan banyak lagi. Jika beberapa tahun yang lalu takuk kamera iPhone ditiru oleh pengeluar Android, kami tidak akan terkejut jika Dynamic Island akan turut ditiru dalam masa terdekat kerana ia bukan sekadar gimik yang tidak berguna.

Ciri eksklusif akhir pada perisian 14 Pro Max ialah pengesanan kemalangan secara automatik. Kami tidak dapat menguji ciri ini kerana memerlukan sebuah kemalangan sebenar berlaku. Seperti yang telah kami laporkan di Amanz, ciri ini sah berfungsi di dunia sebenar dengan pasukan polis Nebraska diberikan lokasi kemalangan secara automatik tetapi malang sekali pemilik iPhone 14 Pro tersebut telahpun meninggal dunia.

Dalam penggunaan selama dua minggu peranti tidak mempunyai sebarang masalah dan sama sahaja penggunaannya seperti dengan sebuah iPhone 13 Pro Max dengan iOS 16. Hanya ciri Always on Display, Dynamic Island dan AOD membezakan penggunaan pada kedua-dua peranti mercu ini.

Penanda Aras

Dengan cip Apple A16 Bionic dan 6GB RAM, 14 Pro Max ialah iPhone paling berkuasa pernah dihasilkan berdasarkan ujian penanda aras GeekBench 5, Antutu 3D dan Wild Life Extreme yang telah kami lakukan.

Bagi menunjukkan peningkatan prestasi, kami sertakan juga markah yang dicatatkan oleh iPhone 13 Pro Max (A15 Bionic), ASUS ROG Phone 6 (Snapdragon 8+ Gen 1) dan Samsung Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1). Dari segi kemampuan CPU, cip Siri A oleh Apple terus mendominasi dengan ia meninggalkan Snapdragon 8+ Gen 1 jauh di belakang. Hanya dalam ujian Antutu 3D ketuanan Qualcomm masih dapat dilihat tetapi jurang markah semakin mengecil.

Geekbench 5

  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 1727/4713
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
  • ASUS ROG Phone 6 – 1312/4191

Antutu 3D

  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 789,647
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • ASUS ROG Phone 6 – 1,099,5132 

3D Mark Wild Life Extreme

  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 2937
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
  • ASUS ROG Phone 6 – 2786

Maka tidak mengejutkan langsung tiada sebarang isu menjalan semua aplikasi yang dipasang. Memproses video misalnya adalah paling pantas pada sebuah telefon pintar. Klip video sepanjang beberapa minit boleh disunting dalam masa beberapa saat dan bukannya minit. Ini akan membantu golongan yang gemar menyunting video terus dari telefon pintar.

Prestasi gaming juga terbaik dengan terdapat sokongan mod 120FPS untuk permainan Genshin Impact. Permua berat lain seperti COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan paling tinggi tanpa isu. Pendek kata ini ialah cip telefon pintar terbaik di pasaran dengan prestasi memproses permua yang menakjubkan.

Kamera

Kemera dilengkapi lensa yang lebih besar kerana buat pertama kali sejak lebih 2015 sensor untuk lensa sudut lebar ditukar. Kamera utama menggabungkan sensor 48MP+12MP+12MP dan sensor 3D ToF. Sistem telefoto tahun ini menyokong zum optikal sehingga 3X dan digital pula sehingga 15X. Walaupun sensor 48M digunakan, gambar yang ditangkap masih lagi 12MP kerana empat pixel digabungkan menjadi satu untuk menghasilkan imej yang lebih tajam menerusi teknik Quadbinning.

Terdapat mod ProRAW baharu yang mengambil gambar pada resolusi 48MP. Kami akui gambar yang diambil dengan ProRAW adalah lebih tajam dengan ia boleh disunting dengan lebih jitu menggunakan perisian seperti Lightroom. Namun begitu saiz gambar boleh mencecah 80MB membuatkan mod ini tidak boleh digunakan selalu kerana memakan terlalu banyak ruang storan.

Sistem OIS Sensor Shift digunakan pada lensa sudut lebar dan telefoto. Perubahan juga dilakukan di kamera swafoto yang kini hadir dengan sistem autofokus buat pertama kali. Dengan kamera hadapan kini semakin kerap digunakan untuk TikTok dan Instagram Live, sokongan autofokus akan menghasilkan imej yang lebih tajam untuk kandungan yang dihasilkan. Berikut adalah sampel gambar-gambar yang sempat kami ambil setakat ini.0–[

Gambar yang diambil dalam pelbagai situasi adalah tajam, terang, difokus dengan baik, menunjukkan keperincian yang tinggi dengan menghasilkan semula warna yang tepat. Jika ada kekurangan ialah masih tiada mod Pro Manual terbina pada aplikasi kamera dan sistem zum sehingga 15X sahaja sedangkan di Android zum sehingga 100X sudah menjadi perkara biasa.

Bateri

Tiada perubahan pada kapasiti bateri yang masih 4323 mAh yang digunakan 14 Pro Max adalah lebih kecil berbanding yang digunakan pada iPhone 13 Pro Max (43252 mAh). Ketahanan bateri adalah bergantung kepada sama ada mod AOD diaktifkan atau tidak. Dengan AOD, peranti bertahan sehingga 26 jam dengan sekitar 8 jam SOT. Jika AOD dimatikan SOT sehingga 13 jam boleh dicapai pada penggunaan yang sederhana. Ketahanan bateri 14 Pro Max walau bagaimanapun tidak sebaik 13 Pro Max yang kami sedari boleh memberikan SOT dan ketahanan lebih lama dengan sekali caj.

Hayat bateri yang amat baik bagi sebuah peranti mercu dengan pemproses yang berkuasa. AOD jelas mengurangkan tahap ketahanan bateri. Bagi mereka yang lebih mementingkan ketahanan bateri, kami sarankan AOD dimatikan. Masa untuk mengecas semula bateri adalah sekitar 70 minit. Terdapat sokongan pengecasan nirwayar 15W menggunakan MagSafe dan 7.5W menggunakan pengecas Qi.

Audio

Sebuah speaker diletakkan di atas pada gagang telinga dan sebuah lagi di bahagian bawah. Audio yang dihasilkan walaupun stereo tidak begitu seimbang kerana konfigurasi ini. Bagi pengguna yang memiliki aksesori audio Apple, audio spatial boleh dinikmati dengan sokongan codec AAC. Pengalaman audio adalah memuaskan.

Pesaing

Pesaing iPhone 14 Pro Max dalam kelas mercu ialah Samsung Galaxy Z Fold4 dan Xiaomi 12S Ultra.

Apple iPhone 14 Pro MaxSamsung Galaxy Z Fold4Xiaomi 12S Ultra
6.7″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, Dolby VisionLuar6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam
7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
6.73″ AMOLED, 120Hz, Dolby Vision
Apple A16 Bionic (4nm)
2 X 3.46 GHz Everest
4 X 2.02 GHz Sawtooth
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Apple GPU 5 TerasAdreno 730Adreno 730
6 GB LPDRR512 GB LPDRR58/12 GB LPDDR5
256/512/1000 GB NVMe
256/512/1000 GB UFS 3.1

256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
48MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
12MP, f/2.8 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS
48MP, f/4.1 Telefoto, 5X Optikal, OIS
48MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
12-MP f/1.9
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
32-MP f/2.4
IP68IPX8IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4323 mAh (Berwayar 20W)4400 mAh (Berwayar 25W)4860 mAh (Berwayar 67W)
Harga bermula RM 5799Harga bermula RM6799Harga bermula RM 3956*

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Apple iPhone 14 Pro Max.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke Lightning.
  • 1x Manual.
  • 1x Pelekat logo Apple.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Penambahbaikan pada iPhone 14 Pro Max berbanding iPhone 13 Pro Max adalah tidak begitu ketara. Skrin lebih terang nirtakuk tetapi kini berlubang, AOD, pemproses lebih berkuasa, sensor kamera lebih besar dan mod mengesan kemalangan. Tetapi setiap tahun Apple tidak mengeluarkan iPhone baharu untuk golongan yang telah membeli model tahun lalu. Bagi pengguna iPhone 11 dan ke bawah, kesemua penambahbaikan yang dibawakan iPhone 14 Pro Max menjadikannya sebuah peranti kemas kini yang membawakan perubahan yang besar.

Lebih penting sekali kami melihat iPhone 14 Pro Max ialah peranti yang sebenarnya dihasilkan untuk menggoda pengguna peranti Android untuk berhijrah ke iOS. iOS 16 adalah sistem operasi yang paling menyerupai Android pernah dihasilkan. Jurang kekurangan ciri pada iOS dengan Android sudah mengecil. Dengan harga jualan telefon Android juga kini tidak begitu berbeza dengan iPhone, iPhone 14 Pro Max menawarkan pakej yang cukup lengkap untuk mereka yang bersedia untuk bertukar ekosistem.

Pada harga bermula RM5799, tidak dinafikan iPhone 14 Pro Max dijual pada harga yang mahal. Tetapi dengan sokongan sistem operasi yang terbaik pada telefon pintar, pemproses akan akan kekal berkuasa untuk beberapa tahun lagi (prestasi CPU A15 Bionic tahun lalu masih belum berjaya dipintas Android), perisian yang mantap dan rekaan peranti yang menarik menjadikannya kelihatan berbaloi terutamanya bagi mereka yang inginkan telefon pintar yang digunakan untuk jangka masa panjang.

Pro

  • Rekaan kemas, premium, dan sedap di dalam tangan.
  • Pemproses A16 Bionic paling berkuasa untuk telefon pintar 2022
  • Skrin 120Hz sangat lancar dengan perisian semakin matang.
  • Kamera utama 48MP dengan kamera swafoto dilengkapi AF.
  • Dynamic Island adalah amat menarik dan tidak terasa seakan gimik.
  • Bateri yang tahan lama.

Kontra

  • Masih lagi menggunakan Lightning dengan USB 2.0.
  • Pengecasan setakat 20W sahaja.
  • Peningkatan harga mendadak.
  • Zum sekadar 15X sahaja.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd