Ulasan – Razer Naga V2 Pro Ialah Tetikus Modular Untuk Gamer Sebenar

Diterbitkan pada Jan 17, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun lalu Razer rancak melancarkan pelbagai produk seperti Razer DeathAdder V3 Pro yang telahpun kami ulas dan merupakan antara tetikus gaming terbaik pernah kami uji. Kemudian ada Basilisk V3 Pro yang masih di makmal ujian kami dan yang terkini adalah Naga V2 Pro yang pada hemat kami antara paling pro dan menarik pernah diuji setakat ini.

Setiap tetikus Razer memfokuskan kepada permainan tertentu. Misalnya DeathAdder V3 Pro yang ringan memudahkan pemain dalam permainan FPS. Keunikan pada Razer Naga V2 Pro ini adalah ia asebuah tetikus modular yang memfokuskan kepada permainan MMO. Razer menawarkan dua pilihan sama ada Naga V2 HyperSpeed untuk sambungan yang mudah serta Naga V2 Pro yang mana akan menjadi fokus utama dalam artikel ulasan ini.

Jika saya secara peribadi telah selesa dengan Logitech Master MX 3s yang berharga RM449. Bagaimana pula dengan Naga V2 Pro yang dijual pada harga RM899? Harga yang premium ini memberikan anda suis optikal pada butang tetikus, panel sisi yang boleh diubah dengan pelbagai jenis butang yang boleh di programkan dan juga sokongan pengecasan nirwayar. Adakah dengan kesemua ciri tambahan ini menjadikannya tetikus gaming yang berbaloi?

Spesifikasi Dan Rekaan

Jika anda sudah biasa dengan tetikus Razer, Naga V2 Pro ini mempunyai rekaan yang lebih kurang sama sahaja di mana ia curam di hadapan dan bahagian belakang yang bulat dan besar. Perbandingan paling dekat adalah Razer DeathAdder V3 Pro dan mempunyai sedikit persamaan dengan butang-butang pada Basilisk V3 Pro. Tetikus ini turut menyokong ciri pengecasan nirwayar sama dengan Basilisk V3 Pro, sehinggakan aksesori yang sama boleh digunakan. Tambahan pada rekaan yang menjadikan tetikus ini lebih selesa adalah tempat rehat jari manis.

Seperti kebanyakan tetikus Razer, bahan binaan Naga V2 Pro adalah plastik dengan kemasan kusam yang memberikan cengkaman yang baik. Roda skrol tetikus mempunyai tekstur getah dan di bawahnya mempunyai butang untuk kawalan ciri Hyperscroll Pro Wheel serta DPI. Di bawah tetikus ini, terdapat butang untuk mengubah mod antara Bluetooth, mod 2.4GHz atau juga mati/hidup.

Melalui Hyperscroll Pro Wheel, Razer menawarkan 6 pilihan skrol iaitu Standard, Distinct, Ultra-Fine, Adaptive, Smooth Scroll dan Custom yang memberikan pengguna kebebasan mengubah sendiri bagaimana kekuatan roda skrol bergerak. Ia bukan sekadar roda biasa yang boleh diputar untuk skrol, tetapi turut boleh mengubah tahap tegangan mengikut citarasa pengguna dan setiap tetapan turut boleh diletakkan dalam profil berbeza agar setiap permainan lain mempunyai tetapan tersendiri.

Untuk suis pada butang klik kanak dan kiri, suis Razer Optical Switch Gen-3, sementara pada sensor di bawah Razer Focus Pro 30K Optical Sensor digunakan yang boleh mencapai kadar tindak balas (polling) sehingga 1000Hz. Tetikus ini turut menyokong sambungan berwayar, Bluetooth biasa atau penggunaan WiFi dengan ciri Razer HyperSpeed di mana ia memastikan kadar tindak balas yang lancar.

Sudah semestinya, untuk produk gaming Razer – sokongan Razer Chroma RGB diberikan pada logo Razer yang mana turut boleh dikawal oleh pengguna seperti perubahan warna, kekerapan menyala atau animasi pergerakan. Tetapi keunikan pada Razer Naga V2 Pro ini adalah panel sisi boleh-suai. Terdapat tiga panel diberikan yang boleh disambungkan secara magnetik iaitu 12-butang untuk permainan MMO, 6-butang untuk MOBA dan 2-butang untuk genre Battle Royale. Lebih menarik, setiap panel diberikan sekali di dalam kotak dan yang dijual secara berasingan hanyalah Razer Wireless Charging Puck dan Mouse Dock Pro.

Pengalaman Penggunaan

Jika DeathAdder V3 Pro itu ringan, Naga V2 Pro adalah tetikus yang berat. Malah paling dekat dalam pengalaman sendiri adalah sama dengan Logitech Master MX 3s. Berat asas adalah 129g dan boleh berubah mengikut panel sisi yang boleh mencapai sehingga 134g untuk panel 12-butang. Ini adalah hampir dua kali ganda berat DeathAdder. Beza berat ini amat jelas apabila bertukar-tukar antara dua tetikus ini. Untuk saya, secara peribadi saya sudah biasa menggunakan tetikus Logitech yang 141g dan Naga tidak memerlukan saya membiasakan diri.

Bukan itu sahaja, saya turut pernah menggunakan Logitech G600 dan G603 iaitu tetikus gaming berat. Jadi dengan tetapan DPI yang disertakan tiada masalah pun untuk saya main permainan seperti Counter Strike: Global Offensive atau Fortnite dengan lancar.

Cuma untuk penggunaan jangka masa panjang, mungkin dalam sekitar 2-3 sesi permainan tangan akan mula rasa penat dan saya akan terus ingin berhenti bermain permainan video. Untuk pemain permainan video yang lebih serius, lagi-lagi yang bermain permainan tembak-menembak saya amat sarankan menggunakan DeathAdder V3 Pro kerana boleh melakukan sasaran dengan lebih jitu.

Permainan lain yang diuji bersama dengan tetikus ini adalah Genshin Impact dan juga Dota 2. Sensor pada Naga V2 Pro ini rasa sangat tepat dan boleh dikatakan tiada isu sela masa berlaku walaupun sepanjang penggunaan sambungan adalah nirwayar, baik Bluetooth ataupun HyperSpeed. Setiap butang juga amat sedap ditekan dengan kesan tindak balas yang memuaskan.

Cuma dengan tetikus ini, pengguna perlu rajin mengubah panel sisi mengikut permainan kerana jika tidak butang di sisi mudah tertekan secara tidak sengaja. Contoh dalam situasi saya, sudah biasa menggunakan DeathAdder V3 Pro dengan dua butang dan awal penggunaan menggunakan panel sisi 12-butang banyak butang lain saya tertekan yang secara tidak langsung menjadikan pengalaman bermain terganggu.

Tidak dinafikan, panel sisi boleh-tukar ini adalah sangat bermanfaat untuk pengguna yang kerap bertukar permainan video setiap hari. Bukan sahaja panel boleh tukar, tetapi dengan perisian Razer Synapse – setiap butang di sisi turut boleh ditetapkan dengan aksi tertentu untuk akses kepada ciri/fungsi dalam permainan.

Bercakap mengenai Razer Synapse, ia adalah perisian sama dengan DeathAdder V3 Pro dan banyak produk Razer lain. Walaupun mudah digunakan dan banyak kemampuan kustomasi, saya masih rasakan antaramuka yang digunakan menjengkelkan kerana banyak pembaziran ruang dan tidak sedap mata memandang. Beberapa tetapan bukan untuk permainan video agak sukar diubah, seperti menukar tab dalam pelayar web. Tetapi Razer membenarkan pengguna menggunakan ciri makro melalui butang kegemaran pengguna tanpa sebarang masalah. Sedikit kerja perlu dilakukan pada awal penggunaan, tetapi akan menjadi selesa selepas hampir satu minggu penggunaan.

Untuk bateri, Razer mendakwa ketahanan bateri adalah 300 jam untuk Bluetooth dan 150 jam untuk 2.4GHz HyperSpeed dengan sekali caj. Sepanjang penggunaan untuk sekitar satu bulan lebih, saya boleh sahkan dakwaan Razer adalah benar kerana penggunaan saya lebih kurang sama sahaja untuk kedua-dua mod sambungan ini. Tetapi itu jika saya hanya menggunakan Bluetooth sahaja serta tanpa RGB. Manakala jika menggunakan 2.4GHz sentiasa tanpa RGB, ia juga boleh tahan pada jangka masa panjang dengan mudah.

Tetapi apabila saya bertukar-tukar antara mod, sentiasa menggunakan RGB dan bermain permainan sekitar 4 jam setiap hari saya mendapati tetikus ini perlu dicas dalam 3-4 kali sebulan.

Kesimpulan

Razer Naga V2 Pro adalah sebuah set tetikus gaming yang sangat mantap. Ia mempunyai binaan yang tegap, walaupun plastik, menyokong ciri boleh-suai panel sisi dengan setiap panel diberikan dalam kotak, butang yang sedap ditekan, penggunaan yang selesa serta memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan setakat ini.

Naga V2 Pro kini telah menjadi tetikus gaming harian saya, sementara Logitech Master MX 3s adalah tetikus produktiviti untuk kerja dan Razer DeathAdder V3 Pro adalah tetikus gaming sandaran jika si Naga sedang berehat selepas menewaskan banyak musuh dengan mudah.

Untuk menjawab persoalan, adakah Razer Naga V2 Pro ini sesuai dan berbaloi – anda perlu tanya diri sendiri. Adakah anda memerlukan panel sisi 12-butang atau 6-butang yang disediakan dan adakah anda perlu sokongan pengecasan nirwayar yang mana modul dan dermaga pengecas perlu dibeli lain. Jika ya, tetikus RM899 ini untuk anda. Tetapi jika anda inginkan tikus yang lebih ringan dengan hanya dua butang tambahan, Razer DeathAdder V3 Pro dijual pada harga RM719 – RM180 lebih murah. Sementara jika anda membeli dongel nirwayar Razer HyperPolling, jumlah belanja adalah RM819 dan anda masih jimat RM80 untuk tetikus dengan prestasi lebih kurang sahaja.

Pro

  • Mudah untuk bertukar permainan dengan tetapan dan mod berbeza.
  • Roda skrol Hyperscroll Pro Wheel yang bebas dikawal pengguna.
  • Ketahanan bateri yang baik dalam mod Bluetooth.
  • Tiada masalah sela masa dengan mod Razer HyperSpeed.
  • Kadar pengecasan yang pantas.

Kontra

  • Cepat penat selepas sekitar satu sesi permainan.
  • Bukan semua orang perlukan pelbagai butang-butang tambahan.
  • Ciri pengecasan nirwayar memerlukan aksesori dibeli asing.
  • Harga yang agak mahal untuk tetikus.

Ulasan oleh Li Jin Soh (Juruvideo Amanz) dengan terjemahan dan teks tambahan oleh Fahim Zahar.

komen


© Amanz / 2023 Kami