Cari @ Amanz

Terdapat banyak tetikus di pasaran sekarang untuk pelbagai aktiviti. Ada yang khusus untuk gaming dan ada juga khusus untuk produktiviti. Jika anda rasakan tetikus nirwayar RM30 itu sudah selesa dan perkara biasa, jangan terkejut kalau saya katakan ada tetikus yang berharga ratusan ringgit daripada jenama yang anda mungkin pernah dengar seperti Logitech atau Razer.

Tetikus yang telah tiba di makmal Amanz baru-baru ini adalah Razer DeathAdder V3 Pro. Ia adalah tetikus gaming Razer pertama saya gunakan. Saya yang sudah biasa dengan tetikus produktiviti seperti Logitech Master MX 3S mula mencuba betapa hebatnya kemampuan tetikus yang didakwa antara tetikus paling jitu dan cukup ringan. Dengan harga jualan RM719, adakah prestasi setanding harga.


Spesifikasi Dan Rekaan

Razer DeathAdder V3 Pro menggunakan rekaan tirus di hadapan dan lebar di belakang yang cukup selesa di tangan. Ia adalah satu rekaan yang ergonomik untuk para gamer yang saya boleh katakan juga selesa pada tangan saya dan tidak membuatkan jari jemari saya lenguh. Tetikus ini turut mempunyai butang yang enak ditekan dan cukup stabil, di mana butang yang disediakan adalah seperti biasa untuk tekan kiri dan kanan di atas, kemudian ada tambahan roda skrol yang boleh ditekan untuk mengubah CPI. Terdapat dua lagi butang kiri dan kanan tambahan di sisi untuk akses pantas yang boleh diubahsuai. Setiap butang menggunakan suis Razer Optical Mouse Switches Gen-3 untuk kemampuan dwi-klik tanpa sela masa dan ketahanan sehingga 90 juta kali klik.

Saya difahamkan DeathAdder V3 Pro mempunyai rekaan lebih kurang sama dengan model sebelum cuma kali ini ia lebih kemas. Razer DeathAdder V3 Pro dilengkapi dengan sensor optikal Razer Focus Pro 30K dengan kejituan resolusi mencapai 99.8%. Sensor ini turut dikuasakan oleh sistem kecerdasan buatan untuk sokongan Smart Tracking, Motion Sync dan Asymmetric Cut-off.

Razer turut mendakwa tetikus ini hadir dengan teknologi sambungan nirwayar terpantas, yang menyokong kadar respons 1000Hz dengan sela masa serendah 1ms. Dengan aksesori tambahan Razer HyperPolling Wireless Dongle ia boleh mengubah kadar respons kepada 4000Hz dengan sela masa 0.25ms.

Untuk sambungan berwayar, tetikus ini menggunakan kabel USB-C Speedflex agar pergerakan lebih fleksibel kerana binaan kabel adalah lembut. Binaan Razer DeathAdder V3 Pro pula, rasa cukup kukuh walaupun ia ringan. Tiada bunyi aneh apabila tetikus digerakkan, cuma dalam penggunaan yang lasak saya secara tidak sengaja memegangnya dengan agak kasar dan bahan plastik yang digunakan boleh rasa lenturan berlaku. Tetapi disebabkan jarang berlaku, jadi pada saya ia bukanlah satu isu besar.

Pengalaman Penggunaan

Tetikus ini juga cukup ringan dan mudah untuk dikendalikan di mana untuk pengguna pertama kali menggunakan tetikus seperti ini, saya agak terkejut saya selesa dengannya. Cuma pada dua-tiga hari pertama penggunaan, ia agak janggal dan hampir tercampak kerana masih tidak biasa. Tetapi lama kelamaan ia sudah tersimpan dalam ingatan dan saya terus tahu cara mengendalikan tetikus ini dengan baik.

Tetikus ini mempunyai berat 63 gram, yang amat ringan berbanding tetikus harian saya Logitech Master MX 3s dengan berat 141 gram. Beza yang lebih dua kali ganda ini memang jelas sehinggakan ia rasa seakan sebuah tetikus mainan kanak-kanak.

Tetapi ia ringan bersebab kerana menyasarkan golongan gamer yang ingin pergerakan pantas dan jitu dalam permainan video. Sebagai peringatan, warna hitam mempunyai berat 1 gram tambahan berbanding warna putih kerana proses cat yang berbeza.

Razer DeathAdder V3 Pro adalah tetikus nirwayar dengan kadar respons 1000Hz yang mana bukan kegemaran saya tidak kira untuk produktiviti atau permainan video. Malah Razer turut menjual aksesori HyperPolling untuk mengaktifkan kemampuan kadar respons sehingga 4000Hz yang amat membantu dalam permainan tembak menembak seperti yang melibatkan senjata senapang untuk tembakan yang lebih tepat.

Perisian untuk tetikus ini adalah Razer Synapse, di mana ia perlu digunakan untuk mengubah tetapan pada tetikus ini seperti mengawal kadar respons, mengemaskini perisian, mengubah fungsi butang tambahan dan turut boleh menetapkan profil khas untuk permainan video yang berbeza. Razer Synapse pada saya tidak mempunyai rekaan antaramuka yang menarik, dan agak janggal berbanding perisian Logi Option+ yang lebih mesra pengguna.

Untuk kerja harian saya, tetikus ini amat membantu dalam memberi diri saya lebih keselesaan kerana binaan ringan. Tetapi saya sedari ia tidak sesuai untuk diuji hanya untuk penggunaan menulis artikel atau menyunting gambar. Ini kerana ia terlampau ringan dan pergerakannya amat pantas membuatkan saya rasa terkejar-kejar sedikit.

Jadi saya mula menguji pada permainan video yang saya ada seperti Counter Strike dan Left 4 Dead, dua permainan video klasik yang amat penting dengan penggunaan tetikus untuk mengawal pergerakan. Pertama sekali ia amat lancar dan tepat, seperti pergerakan watak dan juga senjata. Rekaan yang ringan mudah untuk ia luncur pada meja yang luas untuk pergerakan yang banyak tanpa rasa berat dan penat. Walaupun saya sudah biasa dengan tetikus berat, penggunaan Razer DeathAdder V3 Pro membuatkan saya ingin terus cuba tetikus jenis ringan.

Sambungan niwayar pantas dengan dakwaan sela masa rendah juga ternyata benar kerana saya tidak sedari perbezaan yang ketara dengan sambungan USB-C. Beza mungkin akan terasa jika menggunakan dongel tambahan Razer HyperPolling. Terdapat satu butang lagi di bawah tetikus, iaitu untuk kuasa dan juga DPI – ia bagus kerana butang yang rata jadi tidak mudah tertekan dalam sesi permainan tetapi menjadi leceh apabila dalam sesi permainan ingin ubah kadar DPI lain. Benar boleh tetapkan butang lain untuk mengubah fungsinya seperti pada sisi – tetapi akses pantas pada fungsi lain dalam permainan akan hilang.

Unit yang saya uji ini berwarna putih, jadi ia mudah kotor lebih-lebih lagi untuk diri saya yang tangan mudah berpeluh. Setiap minggu saya perlu lap dan membersihkannya yang mana saya yakin ini tidak akan berlaku pada warna hitam.

Akhir sekali adalah ketahanan bateri, yang mana pada saya ia agak lemah dalam sebulan penggunaan sudah perlu cas berbanding Logitech Master MX 3S yang perlu dicas pada setiap dua bulan.

Kesimpulan

Sebagai seorang yang jarang bermain permainan video, saya rasakan tetikus ini bukan untuk saya dan saya lebih selesa menggunakan Logitech Master MX 3S. Tetapi selepas dua bulan penggunaan, ia memberikan saya pengalaman penggunaan yang amat menarik. Mencabar pada mulanya, tetapi lama kelamaan menjadi selesa. Tidak dinafikan ia adalah sebuah tetikus yang cukup hebat, malah dalam kotak turut ada pelekat untuk memberikan cengkaman tambahan pada tetikus ini yang mana pada saya membantu sedikit dan tetikus juga menjadi kurang kotor.

Agak mengecewakan dengan harga RM719, tiada sokongan lampu RGB Razer Chroma dan walaupun ia versi Pro – ciri Pro sebenar memerlukan aksesori tambahan yang bernilai RM149 iaitu dongel nirwayar Razer HyperPolling. Jika dibeli, harga keseluruhan akan mencapai RM868. Untuk sebuah tetikus dengan harga hampir RM900 untuk saya ia tidak berbaloi, tetapi ia mungkin akan memanfaatkan para gamer di luar sana.

Pro

  • Amat ringan dan mudah dikendalikan.
  • Butang yang sedap ditekan dan selesa.
  • Walaupun ringan, binaan masih kukuh.
  • Kabel yang diberikan jenis tahan lasak.

Kontra

  • Warna putih yang mudah kotor.
  • Tiada lampu RGB yang memeriahkan suasana sesi bermain.
  • Bateri yang agak lemah.
  • Harga yang mahal dengan aksesori tambahan perlu dibeli asing.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd