Imej Pengolokan Oppo Reno8 T Tertiris Dengan Rekaan Mirip A78 5G

Diterbitkan pada Jan 17, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo kini mempunyai beberapa variasi peranti di bawah siri Reno8. Ini termasuklah Oppo Reno8, Reno8 Pro, Reno8 Pro+ dan Reno8 Z yang rata-rata memberi fokus terhadap sistem kamera. Terbaharu muncul pula laporan mengenai kewujudan Oppo Reno8 T dan rekaannya kini dikongsi menerusi imej pengolokan yang tular.


Secara kasarnya, ia kelihatan seperti sebuah Oppo A78 5G yang diumumkan sebelum ini. Tetapi masih terdapat beberapa perubahan kecil yang boleh dilihat pada peranti. Misalnya seperti tubuh kini bukanlah sejenis rata tetapi peranti mempunyai sudut tepi yang membulat. Seterusnya sistem tri-kamera digunakan untuk kali ini meskipun peranti mempunyai modul kamera yang serupa dengan A78 5G.

Oppo A78 5G


Panel hadapan pula sejenis berlubang untuk peletakan kamera swafoto tunggal. Dalam masa sama, imej turut memperlihatkan peranti bakal hadir dalam dua pilihan warna dengan kemasan yang berbeza. Di mana, salah satu daripadanya seakan mempunyai panel belakang yang berasaskan kulit.

Tiada maklumat mengenai spesifikasi diketahui, tetapi peranti kelak dijangka ditawarkan dalam variasi 4G dan 5G. Terdapat juga sumber menyatakan, rekaan yang sama ini dipercayai turut akan digunakan pada salah sebuah peranti keluaran OnePlus kelak.

komen


© Amanz / 2023 Kami