Cari @ Amanz

Oppo hari ini telah melancarkan peranti 5G baharu mereka iaitu Oppo A78 5G. Ia adalah peranti kelas pertengahan asas dengan rekaan yang menawan dan cuba menawarkan spesifikasi menarik dalam satu pakej yang mungkin berbaloi untuk sesetengah orang.

Peranti ini sudah pun tiba di makmal Amanz minggu ini, dan ini adalah artikel pandang pertama untuk pendapat saya selepas menggunakan peranti sekitar setengah hari. Adakah peranti ini yang anda cari, untuk siapakah peranti ini dan adakah berbaloi harga jualan RM1,099?


Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo A78 5G
Skrin6.56” 90Hz LCD, HD+ 1612×720 piksel
~269 ppi
PemprosesDimensity 700 (7nm)
Cip2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 GB UFS 2.2
Kamera Utama50MP Sudut Lebar, f/1.8
2MP Monokrom, f/2.4
Sensor inframerah untuk zum fokus
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri5000 mAh
33W SuperVOOC, 18W PD
SIM/TelefoniDwi SIM nano 5G
VoLTE
NFCTiada
AudioAda bicu audio
Pembesar suara stereo
Kalis AirIPX4
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM1,099

Bagi yang tertanya mengenai peranti ini, Oppo A78 5G adalah pengganti kepada Oppo A77 5G yang dilancarkan di Malaysia pada Jun tahun lepas dan bukan pengganti kepada A77s 5G yang lebih baru. Akan tetapi dari segi cip, peranti ini sebenarnya mempunyai kuasa lebih rendah kerana menggunakan Dimensity 700 7nm berbanding Dimensity 810 6nm. Apa yang ditambah adalah kamera kini 50MP, memori 8GB RAM LPPDR4X dengan sokongan tambahan memori maya RAM Expansion sehingga 8GB.

Lain-lain spesifikasi adalah sama dan tiada beza langsung. Ini termasuk dengan skrin LCD HD+ 90Hz, bateri 5000mAh dengan pengecasan 33W SuperVOOC, mempunyai sokongan 5G, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari di sisi dan rekaan skrin lebih kurang sama.

Membezakan Oppo A78 5G dan Oppo A77 5G adalah rekaan panel belakang sahaja yang nampak lebih cantik, kemas, dan warna Glowing Purple untuk unit yang kami terima ini yang sedap mata memandang.

Bercakap mengenai skrin tadi, ia adalah panel LCD bersaiz 6.56-inci. Pertama sekali untuk jenama Oppo, ini mungkin adalah sebuah peranti kelas pertengahan asas 5G yang mampu milik – jadi banyak pengorbanan perlu dilakukan. Kadar segar semula 90Hz pada peranti ini walaupun rasa perlahan dan sedikit tersangkut, ini adalah kerana diri saya yang sudah biasa dengan peranti mercu dan skrin 120Hz. Tetapi untuk peranti dalam kelas ini, ia sebenarnya agak baik dan masih boleh diterima.

Dari segi warna, ia tiada sokongan HDR10+ atau mana-mana piawaian paparan warna. Tetapi untuk skrin HD+, video 720p pada YouTube masih kelihatan cantik dan enak ditonton. Warna mungkin sedikit pudar, tetapi dengan kadar piksel 1612×720 piksel dan 269 ppi – masih tiada masalah memainkan video yang banyak menggunakan warna. Cuma saya tidak galakkan menetapkan resolusi di YouTube pada tetapan 1080p atau 1440p untuk elak masalah main semula video yang tersangkut-sangkut. Masalah saya pada skrin hanyalah pada penggunaan takuk kecil yang menjengkelkan dan dagu yang sangat besar.

Untuk rekaan peranti, keseluruhan tubuh peranti ini adalah rata dan kelihatan premium. Malah di tangan juga peranti terasa tegap dan mantap. Sisi kanan mempunyai butang kuasa merangkap pengimbas cap jari, di sisi kiri pula adalah butang laras suara, sementara tiada apa-apa di atas – di bawah terdapat port bicu audio 3.5mm, port USB-C dan kekisi pembesar suara yang menyokong sistem stereo.

Panel belakang peranti tiada bonggol kamera besar, sebaliknya dua kamera utama berada dalam dua bonggol bulat yang hampir rata dengan kemasan dwi-tona yang kusam tanpa menangkap kesan kotoran cap jari. Peranti juga tiada masalah untuk diletakkan di permukaan meja yang rata dan ia tidak akan terjungkit. Pada hemat saya, peranti ini amat mudah untuk dikendalikan dan selesa sahaja di dalam tangan.

Oppo turut mendakwa peranti ini adalah tahan lasak dengan port USB-C boleh sambung dan cabut kabel sehingga 20,000 kali, butang boleh ditekan sehingga 150,000 kali, peranti dikatakan tiada masalah jika terjatuh pada jarak 1 meter dan boleh bertahan dalam pelbagai keadaan suhu atau kelembapan sehingga 14 hari. Satu kekurangan adalah tiada tahan hentakan skrin seperti Honor X9a 5G, tetapi faham kerana harga yang lebih murah. Sokongan perlindungan IPX4 turut disediakan.

Pengalaman Penggunaan

Untuk penggunaan kurang 24 jam, apa yang boleh saya katakan pada peranti ini adalah – ia benar-benar sebuah peranti kelas pertengahan asas. Tetapi Oppo cuba yang terbaik untuk memberikan pengguna pengalaman yang memuaskan hati. Contohnya, Oppo A78 5G ini menjalankan Color OS 13 berasaskan Android 13 yang terkini – di mana tidak banyak peranti dalam kelas ini terus menawarkan Android 13 keluar kotak. Bukan itu sahaja, aplikasi gendut juga tidak banyak di dalamnya dan kebanyakan boleh dinyahpasang atau dimatikan melalui tetapan sistem.

Untuk A78 5G, memandangkan cip pemprosesannya adalah lebih rendah berbanding model tahun lepas – Oppo jelas sekali sedar akan perkara ini di laman web promosi mereka pun tidak menekankan mengenai prestasi peranti. Mereka lebih menekankan pengguna audio, kamera dan juga Color OS 13.

Dalam percubaan masa singkat saya, prestasi peranti memang terasa perlahan – tetapi bukan di tahap yang teruk. Ia masih boleh digunakan sekadar untuk tonton video pendek, bermain permainan asas, aktif di media sosial atau untuk mendengar muzik. Saya masih belum sempat cuba bermain permua lagi, tetapi berdasarkan pengalaman dengan peranti kelas ini – saya yakin permua grafik tinggi hanya boleh dimainkan pada tetapan paling rendah sahaja atau permua seperti Asphalt 9 pada tetapan lalai.

Penanda aras bagi peranti ini juga amat asas. Tetapi ini adalah ujian awal sahaja, belum lagi digunakan sepenuhnya untuk memberi nilai sama ada adakah skor ini sama dengan pengalaman penggunaan sebenar. Di AnTuTu 3D, skor adalah 345,744, Geekbench 5 pula adalah 534/1695 untuk satu teras dan multi-teras, sementara 3DMark pula adalah 1,191.

Untuk ciri Color OS 13, banyak ciri pada peranti ini mirip dengan Android 13 asli seperti sokongan tema seakan Material You di mana tema warna boleh berubah secara automatik dan dinamik mengikut gambar latar yang digunakan, papan pemuka privasi, sekuriti yang lebih baik dan banyak lagi ciri menarik yang menghampiri Android 13 seperti pada peranti Pixel.

Untuk ciri yang Oppo sendiri tawarkan, terdapat sokongan gestur tiga jari tatal ke bawah untuk tangkapan layar dan terus menterjemah teks menggunakan Google Lens. Kemudian Oppo turut menawarkan ciri sekuriti dan privasi tersendiri yang memberi pengguna lebih kawalan seperti mematikan akses kepada kamera atau mikrofon serta turut menyokong ciri FlexDrop – di mana pengguna boleh jalankan dua aplikasi serentak dan boleh pindahkan fail antara dua aplikasi ini.

Agak terkejut untuk peranti seperti ini mempunyai banyak ciri dan fungsi yang menarik. Untuk bateri, 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W SuperVOOC Oppo mendakwa peranti boleh dicas sehingga penuh dari 0% ke 100% dalam masa 67 minit.

Kamera

Oppo A78 5G menggunakan kamera yang sedikit lebih baik berbanding A77 5G, iaitu 50MP. Tetapi tiada sokongan kamera sudut ultra-lebar, atau makro kerana dua sensor tambahan adalah 2MP monokrom dan satu lagi inframerah untuk zum fokus. Dalam ujian ringkas yang saya lakukan, penghasilan warna adalah baik untuk peranti dalam kelas ini dan sokongan fokus juga agak pantas dan pasca-proses berlaku dengan cepat. Mod potret mungkin boleh lebih kemas, tetapi ia memadai dan mod 50MP pula cuba memelihara butiran dengan baik. Anda boleh lihat sampel di bawah;

Apa ada dalam kotak?

Jika anda membeli peranti ini, berikut adalah apa yang anda akan terima dalam kotak;

  • 1x Oppo A78 5G
  • 1x Pengecas 33W SuperVOOC
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Kerangka pelindung kemasan kusam
  • 1x Buku panduan
  • 1x Buku keselamatan

Kesimpulan

Oppo A78 5G bukanlah peranti untuk semua orang. Tetapi jika anda inginkan peranti mampu milik dengan sokongan 5G yang stabil, di mana setakat ini saya menerima 5G sepanjang penggunaan, kamera 50MP yang baik penghasilan warna serta pemeliharaan butiran, audio stereo yang lantang, sokongan Android 13 dan rekaan yang menawan. Saya tidak menafikan, jika ada ibu bapa ingin hadiahkan anak-anak atau anak-anak ingin belikan untuk orang tua mereka – ini adalah peranti yang baik.

Harga jualan Oppo A78 5G ini adalah RM1,099. Ia RM100 lebih murah berbanding Oppo A77 5G sebelum ini, dan ditawarkan dalam satu versi sahaja iaitu 8/128 GB dengan pilihan warna hitam atau ungu. Peranti ini baru sahaja dilancarkan pada hari ini dan akan dijual bermula esok 14 Januari 2023.

Pro

  • Skrin dengan warna cantik.
  • Memori maya sehingga 8GB RAM membantu meningkatkan prestasi.
  • Rekaan yang cantik dan menawan.
  • Kamera 50MP yang boleh diterima.
  • Terus menjalankan Android 13.

Kontra

  • Pengecasan 33W agak perlahan untuk tahun 2023.
  • Rekaan skrin yang lapuk dengan takuk kecil dan dagu besar.
  • Kamera sebenar hanya ada satu, lain lebih kepada gimik.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd