Ulasan – Honor X9a 5G Masih Perlu Faktor X

Diterbitkan pada Jan 5, 2023. oleh .

Sejak Honor bergerak bebas dari Huawei, banyak peranti yang mereka tawarkan di Malaysia. Untuk tahun baharu ini, Honor telah menjadi pengeluar peranti yang melancarkan peranti pertama untuk tahun 2023 dengan Honor X9a 5G. Ia sebenarnya adalah peranti yang lebih kurang sama dengan Honor X9 5G yang kami ulas pada April tahun lalu tetapi dengan sedikit penambahbaikan.

Kali ini Honor memfokuskan kepada kamera yang lebih berkualiti, binaan yang lebih tahan lasak dalam rekaan yang masih sama tetapi lebih kecil. Persoalannya, adakah perubahan kecil ini mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap jenama Honor?

Spesifikasi Dan Rekaan

Honor X9a 5G
Skrin6.67″ OLED,
FHD+, 120Hz
PemprosesSnapdragon 695 5G (6nm)
Cip2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM8GB + 5GB Honor RAM Turbo
Muatan Dalaman256GB
Kamera Utama64+5+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.0
Bateri5100mAh
Pengecasan berwayar 40W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1499 (8/256GB)

Skrin 6.67-inci yang digunakan adalah lebih kecil berbanding Honor X9 5G dengan skrin 6.81-inci. Honor juga kali ini menggunakan panel OLED yang lebih berkualiti dan bukan lagi skrin LCD. Skrin yang digunakan juga turut menyokong warna 10bit, tetapi sayang sekali tiada sokongan HDR10/HDR10+ pada Netflix. Warna skrin tidak dinafikan nampak lebih cantik, terang, tajam dan penggunaan di bawah cahaya matahari juga lebih jelas.

Bezel peranti juga adalah lebih nipis dengan penggunaan skrin melengkung, tetapi dagu masih tebal dengan ilusi cuba kelihatan sekata. Skrin melengkung bukanlah kegemaran saya, kerana sukar untuk menikmati kandungan video dengan memuaskan. Kemudian skrin juga mempunyai lubang untuk kamera swafoto dan turut menyokong kadar segar semula 120Hz. Tetapi mengecewakan, 120Hz pada peranti walaupun ia lancar dan pantas – ia tidak konsisten dan kerap kali setiap tatalan rasa tersangkut-sangkut.

Rekaan Honor X9a 5G juga adalah lebih premium, dengan panel kaca di belakang yang tidak lagi terasa rompong apabila diketuk. Kemasan kusam yang tidak memerangkap kotoran cap jari amat saya hargai serta warna lembut yang sedap mata memandang. Rekaan yang lebih kecil ini juga selesa di tangan dan lebih mudah untuk dikendalikan.

Tidak dinafikan yang bonggol kamera peranti ini mempunyai saiz yang besar. Syukur ia tidak tinggi dan tebal dan masih boleh diletakkan di permukaan meja dengan rata tanpa memerlukan kerangka. Cuma saya masih galakkan kerangka pelindung digunakan bagi melindungi bonggol kamera berbentuk donat, kerana ia adalah sekeping kaca. Jika pecah, tri-kamera pada belakang peranti ini tidak lagi akan dilindungi.

Keseluruhan peranti ini adalah lebih tegap dengan bingkai logam yang tidak mudah lentur. Di sisi kanan, terletaknya butang kuasa dan butang aras suara. Di bawah peranti terdapat slot kad SIM, port USB-C dan kekisi speaker. Pengimbas cap jari adalah jenis bawah skrin yang cukup pantas untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan, Honor X9a 5G juga tiada sebarang perlindungan kalis air. Tetapi skrin peranti ini dilindungi dengan kaca tahan lasak yang mana, Honor mencabar saya untuk pecahkan kacang macadamia menggunakan peranti ini. Bukan itu sahaja, ujian peranti sengaja dijatuhkan pada paras ketinggian saya turut dilakukan beberapa kali. Mengejutkan tiada sebarang calar, retak ataupun masalah pada skrin – kecuali pelindung skrin plastik yang mula menggelembung sahaja. Tetapi dukacita dimaklumkan, panel belakang peranti tidak tahan lasak dan ketika ujian ini ia mula retak.


Penggunaan Dan Perisian

Peranti ini menjalankan sistem operasi Magic UI 6.1.0 berasaskan Android 12. Agak mengecewakan kerana sudah tahun 2023, peranti ini masih belum menyokong Android 13 lagi. Malah Magic OS yang baru diumumkan turut tidak disokong lagi pada peranti ini. Sedangkan peranti dalam kelas sama seperti Samsung telah pun mula menyokongnya. Walaupun peranti ini mempunyai tubuh lebih premium, pengalaman penggunaan masih lebih kurang sama dengan Honor X9 5G yang kami ulas pada April tahun lalu.

Walaupun Honor adalah jenama sendiri, Magic UI masih banyak persamaan dengan EMUI yang digunakan pada peranti Huawei. Bezanya, ia lebih ringan dengan tiada ciri seperti Super Device dan Magic UI menyokong GMS sepenuhnya – bermakna Google Play Store, YouTube, Gmail, Google Photos dan banyak lagi boleh digunakan seperti peranti Android biasa tanpa perlu memasang aplikasi pihak ketiga seperti Lighthouse yang mencurigakan.

Magic UI pada peranti ini rasa lebih ringan, lebih lancar dan tidak dinafikan saya rasa selesa menggunakannya kerana rindu akan EMUI dengan sokongan GMS. Tetapi, sudah hampir setahun Magic UI tiada identiti sendiri dan jelas sekali hanya penjenamaan semula sahaja kepada EMUI versi awal. Perkara bagus lain pada peranti ini adalah, tidak banyak aplikasi gendut dan aplikasi yang sedia terpasang pun banyak yang boleh dibuang.


Penanda Aras

Seperti Honor X9 5G, X9a 5G turut dijana dengan cip Snapdragon 695 5G. Ia dipadankan dengan 13GB RAM iaitu gabungan 8GB RAM dan 5GB memori maya Honor RAM Turbo serta storan dalaman 256GB tanpa ada sokongan kad mikro SD. Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan tanpa sebarang kipas penyejuk atau mod permua digunakan, berikut adalah skor yang diperoleh;

  • Geekbench 5 – 649/1897.
  • Antutu 3D – 398,566.
  • 3DMark – 1,203.

Skor ini sebenarnya setanding dengan peranti lain di pasaran yang menggunakan Snapdragon 695. Sama sahaja dengan Honor X9 5G dan Redmi Note 11 Pro 5G. Prestasi keseluruhan peranti ini juga lancar sahaja untuk penggunaan harian cuma tidak konsisten dimana lengah masa berlaku secara rawak tanpa menjalankan permua atau aplikasi yang berat.

Bercakap mengenai permua, prestasi peranti ini sekadar sederhana sahaja. Permua seperti Marvel SNAP dengan tetapan Medium dan 60FPS tidak berjalan dengan lancar. Permua dengan grafik 3D sederhana seperti Asphalt 9 tiada masalah untuk dimainkan pada tetapan lalai – cuma grafik yang terpapar mempunyai sedikit kesan pixelated. Permua grafik tinggi seperti PUBG Mobile sukar untuk dimainkan dan tidak memberikan pengalaman bermain yang memuaskan.


Telefoni dan GPS

Sepanjang saya menggunakan peranti ini dan ketika artikel ini ditulis, Honor X9a 5G masih belum disenaraikan oleh DNB untuk sokongan 5G. Tetapi saya ada membawa peranti ini ke Thailand dan menggunakan telko 5G di sana. Sambungan ke rangkaian 5G adalah agak lemah dengan jarang menerima 5G. Sokongan rangkaian 5G masih lagi tidak begitu stabil dan kuat di Malaysia dan rantau ini. Maka kami tidak boleh mengatakan isu terletak pada telefon atau pada rangkaian 5G itu sendiri.

Untuk 4G pula tiada masalah dan stabil. Saya tiasa masalah menjadikannya hotspot untuk sambungan Internet ke tiga peranti lain. GPS mempunyai sedikit isu di mana Google Maps mengambil masa yang lama untuk menjejak lokasi dan mencari arah destinasi. Ini adalah tidak disangka kera pada X9 5G isu ini tidak berlaku sedangkan seperti saya katakan sebelum ini kedua-dua peranti mempunyai spesifikasi yang sama.


Kamera

Sistem tri-kamera 64+5+2 MP pada peranti ini adalah konfigurasi yang lebih baik berbanding sebelum ini dengan sokongan kamera sudut ultra-lebar serta kamera swafoto 16MP yang sama. Tetapi sayang sekali, hasil gambar masih lagi tidak memuaskan. Warna nampak lebih baik, terang dan tajam – cuma tangan perlu stabil dan jika sudah stabil pun gambar-gambar tidak mempunyai butiran yang dipelihara dengan baik. Gambar yang diambil, sekali imbas apabila dilihat pada aplikasi galeri nampak baik sahaja dan sesuai untuk dikongsi ke media sosial. Tetapi apabila dilihat pada skrin komputer, ia banyak hingar dan tidak mempunyai fokus yang baik.

Anda boleh lihat sampel gambar di bawah, ia memang nampak memuaskan. Tetapi mod malam, sudut ultra lebar ia tidak cukup cantik dan saya sendiri pernah menggunakan peranti RM1500 lain yang mempunyai hasil yang lebih baik. Mod malam apabila diambil, pasca-proses adalah perlahan dan hasil juga penuh dengan hingar, warna pudar dan tidak boleh digunakan.

Bateri

5100mAh adalah kapasiti bateri yang digunakan pada peranti ini dengan sokongan pengecasan pantas 40W. Dalam pengalaman penggunaan, tiada masalah untuk mencapai SOT sehingga 7 jam jika tidak banyak menggunakan aplikasi berat seperti permua, kamera atau penstriman.

Tetapi jika penggunaan adalah lebih ringan, peranti boleh menerima SOT 5 jam dengan ketahanan sehingga 2 hari. Pengecasan 40W pada tahun 2023 adalah perlahan kerana terdapat banyak peranti menyokong 65W ke atas dalam kelas ini. Peranti boleh dicas dari 0% ke 100% dalam masa sekitar satu jam.


Audio

Speaker pula masih mono dengan tiada sokongan sistem Dolby Atmos. Ia diletakkan di bawah, dan apabila menggunakan peranti secara melintang, tapak tangan akan menghalangnya. Secara tidak langsung kualiti audio terganggu. Audio yang dihasilkan juga biasa sahaja dan tidak begitu enak. Jadi, kami menggalakkan pengguna jika ingin memiliki peranti ini haruslah memiliki aksesori audio untuk pengalaman audio yang lebih baik.


Pesaing

Honor X9a 5GOppo Reno8 ZRedmi Note 11 Pro 5G
6.67″ OLED, 1080 x 2400, 120Hz, (394 ppi)6.43″, AMOLED 1080 x 2400, 60Hz, (409 ppi)6.67″ AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, HDR10+, (400 ppi)
Snapdragon 695 (6nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Adreno 619Adreno 619Adreno 619
8 GB
5 GB Honor RAM Turbo
8 GB LPDDR4x8 GB LPDDR5
256 GB256 GB UFS 2.2
(Mikro SD 1TB)
128 UFS 2.2
(Mikro SD 1TB)
Kamera Utama
64+5+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
64+2+2 Megapixel (f/1.7+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
108+8+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioBicu audioBicu audio
Audio MonoAudio MonoAudio Stereo
5100mAh (Berwayar 40W)4500 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 67W)
Harga RM1499Harga RM1799Harga RM1299

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Honor X9a 5G
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas 40W USB-A ke USB-C
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5mm.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Honor X9a 5G ini adalah peranti yang memberikan kebenaran kepada pepatah “jangan dinilai buku berdasarkan muka hadapannya”. Ia memang cantik dengan kemasan mirip peranti premium tetapi hakikatnya ia masih sekadar sebuah peranti kelas pertengahan asas sahaja. Keistimewaan peranti ini terletak pada skrin OLED 120Hz, dan kaca tahan lasak yang anda boleh jadikan sebagai alat mengupas kacang atau memecahkan bawang. Jadi anda tidak perlu risau mengenai skrin calar atau juga retak sekiranya terjatuh.

Tidak banyak perkara positif lain yang boleh disebut mengenai peranti ini kerana ciri lain tidak begitu menyerlah. Tetapi satu pujian kepada Honor kerana peranti ini menyokong skrin 120Hz, pengalaman Magic UI yang baik dan tidak lokek dalam memberikan pengecas 40W dengan setiap pembelian.

Jika Honor X9 5G tahun lalu kami katakan perlukan faktor X. Tahun ini X9a 5G juga memerlukan faktor X. Sukar untuk kami sarankan peranti ini kepada semua pembaca kecuali jika anda adalah pengguna yang aktif dengan aktiviti lasak atau bekerja di tempat yang berisiko seperti tapak pembinaan. Alternatif terbaik adalah Redmi Note 11 Pro 5G kerana dalam pengalaman kami ia memberikan penggunaan keseluruhan yang lebih memuaskan serta pada harga lebih mampu milik.

Pro

  • Skrin 120Hz dengan perlindungan kaca tahan lasak.
  • Rekaan cantik dan selesa di dalam tangan.
  • Snapdragon 695 menyokong 5G.
  • Magic UI yang ringan dan lancar.
  • Pengecas pantas 40W diberikan dengan setiap pembelian.

Kontra

  • Prestasi peranti yang sederhana.
  • Kualiti kamera tidak cukup memuaskan.
  • Audio mono.
  • Tiada slot kad mikro SD.

komen


© Amanz / 2023 Kami