Aplikasi pihak ketiga Twitter seperti Tweetbot dan Twitteriffic berhenti berfungsi pada Khamis lalu tanpa sebarang sebab. Pembangun aplikasi hanya mampu menggaru kepala kerana pihak Twitter enggan memberikan kenyataan rasmi mengapa ini berlaku. Awal pagi tadi akaun rasmi Twitter untuk pembangun mengesahkan API yang digunakan oleh aplikasi pihak ketiga telah dihalang dengan sengaja.
Ini adalah langkah penguatkuasaan terma penggunaan API oleh pembangun yang telah dipersetujui. Penjelasan apakah terma yang telah dilanggar aplikasi seperti Tweetbot tidak pula diterangkan menerusi ciapan yang seterusnya membuatkan pembangun tidak boleh melakukan perubahan pada aplikasi bagi menyelesaikan isu tersebut.
Ini bukan kali pertama perubahan dilakukan oleh Twitter secara mendadak yang menyebabkan timbul masalah. Dalam usaha untuk mempercepatkan aplikasi hujung tahun lalu, beberapa sistem latar dimatikan menyebabkan pengesahan dwi faktor(2FA) Twitter terus tidak berfungsi menyukarkan pengguna untuk log masuk ke akaun mereka.