Carian
Spesifikasi Penuh Samsung Galaxy S23 Ultra Juga Tertiris
January 18, 2023 Effi Saharudin

Pagi tadi kami terbitkan spesifikasi lengkap untuk Samsung Galaxy S23 dan Galaxy S23+ yang tertiris. Tetapi bukan spesifikasi dua peranti sahaja sudah diketahui kerana untuk Samsung Galaxy S23 Ultra juga tertiris sepenuhnya. Risalah jualan untuk S23 Ultra dalam bahasa Jerman ditiriskan oleh akaun Twittet Dohyuh Kim.

Samsung Galaxy S23 Ultra dilengkapi skrin 6.8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz QHD+, dijana cip Snapdragon 8 Gen 2, memori 12GB RAM, storan sehingga 1TB dan bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan 45W.

Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 200MP dengan OIS, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 10MP dengan zum optikal 3X dan lensa telefoto 10MP dengan kemampuan zum optikal 10x. Di hadapan pula kamera swafoto 12MP disertakan. Peranti mempunyai sistem audio stereo, kemampuan kalis air IP68 dan menggunakan One UI 5.1 berasaskan Android 13.

Risalah ini mengesahkan tiada lagi model dengan storan permulaan 128GB. Hanya model 256, 512 and 1000 GB akan ditawarkan oleh Samsung pada tahun ini. Warna yang ditawarkan pula ialah hitam, hijau, putih dan ungu.

Tiada perubahan mendadah dilakukan oleh Samsung pada siri Galaxy S23 tahun ini. Adalah mengecewakan pengecasan masih lagi sekadar 45W sahaja dan kamera selain sudut lebar mempunyai sensor yang kecil. Siri Samsung Galaxy S23 akan dilancarkan pada 2 Februari akan datang.

Komen