WiFi Kini Boleh Digunakan Untuk Mengesan Dan Menjejak Pergerakan Individu Secara 3D

Diterbitkan pada Jan 20, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Penyelidik dari Carnegie Mellon University telah berjaya membangunkan sistem yang boleh mengesan dan menjejak pergerakan individu secara 3D dengan hanya menggunakan penghala WiFi biasa. Dengan hanya mengesan pantulan isyarat WiFi dan juga menggunakan kecerdasan buatan, penyelidik berkata sistem mereka boleh mengesan kehadiran individu di dalam sebuah bilik.

Lebih menarik ialah ia cukup berkuasa untuk mengesan menembusi dinding kayu dan juga konkrit. Pantulan dari WiFi kemudian dipadankan dengan sistem DensePose yang dibangunkan oleh Meta dan Imperial College. Setiap pixel pada tubuh manusia boleh dijejak dalam ruang secara 3D menggunakan DensePose.

Menerusi rangkaian neural, ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan peta kedudukan individu di dalam sesebuah ruang. Sistem ini mempunyai potensi digunakan sebagai penjejak pergerakan bagi tujuan keselamatan ataupun mengawal sistem internet benda. Apabila mengesan bilik kosong misalnya, sistem lampu, kipas dan pendingin hawa boleh dimatikan secara automatik.

Dengan penghala WiFi biasa sahaja digunakan, sistem ini sudah sedia digunakan di mana-mana jua tanpa keperluan membeli kelengkapan tambahan. Ia berpotensi menggantikan kamera litar tertutup yang lebih mahal.

Ini bukan kali pertama isyarat WiFi digunakan untuk menjejak kehadiran individu di dalam sesebuah ruang. Beberapa kajian sebelum ini sekadar boleh mengesan individu memasuki bilik sebelum ia dipertingkatkan untuk menjejak kedudukan mereka secara 2D. Sistem baharu dibangunkan Carnegie Mellon University ini melangkah setapak lagi dengan melakukan penjejakan 3D.

komen


© Amanz / 2023 Kami