Ulasan – Saya Tertawan Dengan Oppo A78 5G Yang Menawan

Diterbitkan pada Jan 26, 2023. oleh .

Peranti kelas pertengahan asas Oppo di bawah siri A, seringkali cuba menawarkan ciri menarik dalam pakej harga lebih mampu milik seperti A77 5G dan A77s 5G tahun lalu. Model terbaru adalah Oppo A78 5G yang dilancarkan dua minggu lalu sebagai pengganti kepada A77 5G. Harga jualannya adalah RM1,099 dan menawarkan spesifikasi yang lebih rendah dari segi cip, tetapi dengan kamera yang lebih berkuasa dan memori yang lebih besar.

Selepas banyak peranti mercu telah uji, saya cuba kembali menjadikan peranti ini sebagai peranti harian. Mengejutkan pengalaman penggunaan untuk penggunaan asas adalah memuaskan. Tetapi adakah harga lebih RM1000 ini berbaloi untuk semua orang?


Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo A78 5G
Skrin6.56” 90Hz LCD, HD+ 1612×720 piksel
~269 ppi
PemprosesDimensity 700 (7nm)
Cip2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 GB UFS 2.2
Kamera Utama50MP Sudut Lebar, f/1.8
2MP Monokrom, f/2.4
Sensor inframerah untuk zum fokus
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri5000 mAh
33W SuperVOOC, 18W PD
SIM/TelefoniDwi SIM nano 5G
VoLTE
NFCTiada
AudioAda bicu audio
Pembesar suara stereo
Kalis AirIPX4
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM1,099

Skrin peranti ini adalah 6.56-inci LCD HD+ 1612×720 piksel dan menyokong kadar segar semula 90Hz. Ini adalah skrin yang biasa digunakan pada peranti dalam kelas ini jadi tiada sokongan HDR10+ ataupun skrin OLED. Kadar segar semula 90Hz juga terasa amat lancar di kebanyakan situasi, cuma ia tidak konsisten dan akan menjadi tersangkut-sangkut apabila peranti kerap digunakan dan banyak aplikasi terbuka.

Tetapi untuk skrin HD+, video 720p pada YouTube masih kelihatan cantik ditonton. Warna kelihatan sedikit pudar jika dibandingkan dengan panel OLED. Walaupun begitu, peranti ini tiada masalah memainkan video yang menggunakan banyak warna.

Cuma saya tidak sarankan video YouTube dimainkan pada resolusi 1080p ataupun lebih tinggi untuk mengelakkan masalah video yang tersangkut-sangkut. Masalah saya pada skrin hanyalah pada penggunaan takuk kecil yang menjengkelkan dan dagu yang sangat besar.

Rekaan skrin juga adalah agak lama seakan peranti lima tahun lalu dengan takuk kecil, bezel kelihatan agak tebal dan dagu juga amat besar. Tetapi ini adalah kerana untuk memastikan harga jualan yang tidak tinggi serta kekangan teknologi pada panel skrin LCD.

Tubuh peranti akan kelihatan lebih kurang sama dengan A77 5G sebelum ini dan membezakannya dengan Oppo A78 5G adalah rekaan panel belakang yang nampak lebih elegan. Warna Glowing Purple untuk unit yang kami terima ini nampak premium tidak seperti harganya. Apa yang saya kurang gemar terdapat tona warna berbeza yang lebih berkilat dalam bentuk bujur dengan teks “Innovative Camera” berhampiran kamera. Panel belakang juga mudah kotor kerana kemasannya yang berkilat.

Di kawasan kamera ini juga tiada bonggol kamera besar digunakan. Sebaliknya dua kamera utama diletakkan dalam dua bonggol bulat yang hampir rata. Peranti tiada masalah untuk diletakkan di permukaan meja yang rata dan ia tidak akan terjungkit. Pada hemat saya, peranti ini amat mudah untuk dikendalikan dan selesa sahaja di dalam tangan.

Di tangan peranti terasa tegap dan mantap serta nampak seakan sebuah peranti premium. Sisi kanan mempunyai butang kuasa merangkap pengimbas cap jari. Butang laras suara dan talam SIM diletakkan pada sisi kiri sementara di bawah terdapat port bicu audio 3.5mm, port USB-C dan kekisi pembesar suara yang menyokong audio stereo.

Oppo turut mendakwa peranti ini adalah tahan lasak dengan port USB-C boleh sambung dan cabut kabel sehingga 20,000 kali, butang boleh ditekan sehingga 150,000 kali, tiada masalah jika terjatuh pada jarak 1 meter dan boleh bertahan dalam pelbagai keadaan suhu atau kelembapan sehingga 14 hari. Satu kekurangan adalah tiada ketahan hentakan skrin seperti Honor X9a 5G, tetapi ini mungkin langkah mengurangkan kos. Sokongan perlindungan IPX4 turut disediakan.

Penggunaan Dan Perisian

Oppo A78 5G ini dijana dengan cip MediaTek Dimensity 700 (7nm) dengan konfigurasi lapan-teras 2x 2.2 GHz Cortex-A76 + 6x 2.0 GHz bersama GPU Cortex-A55 Mali-G57 MC2 dan dipadankan bersama memori 8 GB LPDDR4X dengan memori maya sehingga 8GB tambahan dan storan dalaman 128 GB UFS 2.2. Ia adalah cip yang baik sahaja sehingga saya tertawan dengan Oppo A78 5G yang menawan ini.

Color OS 13 berasaskan Android 13 telah dioptimumkan supaya boleh berjalan lancar walaupun spesifikasi A78 58 adalah sekadar sederhana sahaja. Sebagai pengguna peranti mercu dengan skrin 120Hz sepanjang masa, memang dapat dirasakan ia terasa sedikit perlahan. Tetapi untuk sebuah peranti kelas pertengahan prestasinya adalah memuaskan. Ia masih boleh digunakan untuk menonton video pendek, bermain permainan asas, aktif di media sosial atau untuk mendengar muzik.

Penawaran Android 13 terus keluar dari kotak sudah menarik perhatian kerana banyak peranti pesaing dalam kelas sama masih lagi menggunakan Android 12. Bukan itu sahaja, aplikasi gendut juga tidak banyak kali ini dalam Color OS 13. Di dalamnya dan kebanyakan boleh dinyahpasang atau dimatikan melalui tetapan sistem.

Untuk ciri Color OS 13, banyak ciri pada peranti ini mirip dengan Android 13 asli seperti sokongan tema seakan Material You di mana tema warna boleh berubah secara automatik dan dinamik mengikut gambar latar yang digunakan, papan pemuka privasi, sekuriti yang lebih baik dan banyak lagi ciri menarik yang menghampiri Android 13 seperti pada peranti Pixel.

Untuk ciri yang Oppo sendiri tawarkan, terdapat sokongan gestur tiga jari tatal ke bawah untuk tangkapan layar dan terus menterjemah teks menggunakan Google Lens. Kemudian Oppo turut menawarkan ciri sekuriti dan privasi tersendiri yang memberi pengguna lebih kawalan seperti mematikan akses kepada kamera atau mikrofon serta turut menyokong ciri FlexDrop – di mana pengguna boleh jalankan dua aplikasi serentak dan boleh pindahkan fail antara dua aplikasi ini.

Permua Dan Penanda Aras

Oppo atau OnePlus, lebih kurang sama sahaja sekarang. Jadi untuk permua, Color OS 13 menggunakan aplikasi Games yang menjadi hab kepada semua permua yang terpasang pada peranti dengan statistik permainan, carta popular dan tetapan tambahan untuk meningkatkan lagi prestasi ketika bermain.

Seperti biasa Asphalt 9 adalah permua pilihan dan saya main untuk beberapa sesi dengan tetapan grafik paling tinggi. Mengejutkan pengalaman bermain adalah memuaskan dan tiada masalah untuk saya menjadi juara dalam kesemua sesi bermain. Masalah yang saya sedari hanyalah pada grafik, di mana ada kesan pixelated yang jelas dan permua cuba memproses pada kadar 60FPS dalam tetapan Pro Gamer yang ditawarkan oleh sistem. Tetapi menggunakan tetapan biasa ia akan menjadi lebih menarik dan mengasyikkan.

Ujian penanda aras adalah masih sama, walaupun sudah menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu. Walaupun skor yang diperoleh adalah rendah, percayalah skor ini masih lagi nombor sahaja dan pengalaman penggunaan di dunia sebenar adalah lebih penting. Di AnTuTu 3D skor adalah 345,744 sementara pada Geekbench 5 pula adalah 534/1695 untuk satu teras dan multi-teras, dan 3DMark pula adalah 1,191.

  • Geekbench 5 – 534/1695
  • Antutu 3D – 345,744
  • 3DMark – 1,191

Telefoni & GPS

Oppo A78 5G seperti nama peranti ini adalah sebuah peranti 5G. Jadi itulah yang saya cuba gunakan bersama kad SIM YES, di mana setakat ini di sekitar Kuala Lumpur peranti ini sentiasa bersambung pada rangkaian 5G dengan kelajuan sekitar 90-150 Mbps. Walaupun ini bukan kelajuan yang terpantas untuk 5G, ia masih lebih laju berbanding 4G yang sekitar 50 Mbps sahaja.

Panggilan telefon tiada masalah, dengan suara yang jelas dari pemanggil dan penerima sementara penggunaan GPS adalah tidak konsisten kerana 5G dan 4G kerap bertukar apabila berada di dalam kereta menjadikan lokasi sukar untuk dikunci dan arahan selok-belok diberikan dengan lancar.

Kamera

Pada awal penggunaan, saya sangkakan Oppo A78 5G ini mempunyai kamera utama yang akan mengecewakan kerana sekadar dwi-kamera . Ia tidak mengecewakan tetapi sekadar sederhana sahaja dengan kualiti banyak bergantung kepada situasi. Setakat ini apa yang saya boleh rumuskan, kamera peranti ini adalah untuk kegunaan di luar tetapi tidak sesuai digunakan di dalam bangunan. Kekurangan peranti ini adalah ia tiada sensor sudut ultra-lebar dan hanya bergantung kepada sensor sudut lebar utama dan sensor gimik makro.

Hasil kamera ini juga tidak konsisten di mana AI yang terbina pada aplikasi ini tidak cukup bijak menentukan profil warna yang sesuai untuk subjek. Tetapi dari segi fokus dan hasil warna ia nampak baik, cuma ia tidak mampu memelihara butiran dengan tajam. Berikut adalah beberapa sampel.

Bateri

Saya menjangkakan peranti ini boleh bertahan sehingga sekurang-kurangnya 8 jam SOT. Tetapi untuk penggunaan saya, ia hanya bertahan sekitar 6 jam dengan baki bateri 10%. Ini adalah penggunaan yang berat di mana banyak video distrim, kamera digunakan dengan kerap, permua dimainkan serta banyak aplikasi media sosial digunakan. Kerana ketahanan bateri yang tidak memuaskan saya kerap memilih untuk tidak menggunakan 5G sepanjang masa.

Bateri yang dimuatkan dalam peranti ini adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W SuperVOOC. Oppo mendakwa peranti boleh dicas sehingga penuh dari 0% ke 100% dalam masa 67 minit, yang mana saya boleh sahkan itulah yang saya dapat ketika mengecas peranti ini. Mungkin bukan yang paling pantas, tetapi mencukupi untuk penggunaan saya.

Audio

Oppo A78 5G dilengkapi speaker stereo dan bicu audio 3.5mm. Pada mod Ultra Boost, aras suara boleh ditetapkan sehingga 200%. Ia memang kuat dan lantang, membantu mengejutkan bangun tidur dengan penggera serta notifikasi ketika di kawasan luar yang sesak dan bising. Tetapi dalam mod biasa ia sekadar lantang tetapi tidak begitu jelas. Untuk pengalaman audio memuaskan lebih baik memasang fon telinga.

Perbandingan

Oppo A78 5GHuawei Nova 9 SERedmi 10 5G
6.56″ IPS LCD, 90Hz, 720 x 1612, (269 ppi)6.78″ IPS LCD, 90Hz, 1080 x 2388, (387 ppi)6.58″ AMOLED, 60Hz, 1080 x 2408, (401 ppi)
Dimensity 700 (7nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Dimensity 700 (7nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G57 MC2Adreno 610Mali-G57 MC2
8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
6 GB RAM
128 GB UFS 2.2
50MP, f/1.8 (utama)
2MP, f/2.4 (makro)
108MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (kedalaman)
50MP, f/1.8 (utama)
2MP, f/2.4 (makro)
8 MP (f/2.0)16 MP (f/2.2)5 MP (f/2.2)
Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio MonoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
4000 mAh
Pengecasan pantas 66W
5000 mAh
Pengecasan pantas 18W
RM1099 (8/128 GB)RM1099 (8/128 GB)RM959 (6/128 GB)

Apa ada dalam kotak?

Jika anda membeli peranti ini, berikut adalah apa yang anda akan terima dalam kotak;

  • 1x Oppo A78 5G
  • 1x Pengecas 33W SuperVOOC
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Kerangka pelindung kemasan kusam
  • 1x Buku panduan
  • 1x Buku keselamatan

Kesimpulan

Semasa saya menulis pandang pertama peranti ini saya katakan Oppo A78 5G bukanlah peranti untuk semua orang. Tetapi selepas menghabiskan masa dengan peranti ini saya boleh katakan ini mungkin adalah peranti yang memadai untuk semua jika yang diinginkan ialah rekaan yang nampak premium, sokongan 5G, prestasi Android 13 yang sedap digunakan dan speaker yang mengeluarkan audio dengan lantang.

Harga jualan Oppo A78 5G ini adalah RM1,099, yang mana boleh saya katakan ia adalah antara peranti sekitar RM1000 terbaik pada tahun 2023 setakat ini. Ini menjadikannya sesuai dijadikan peranti untuk anak-anak atau golongan warga emas yang tidak memerlukan peranti mercu yang mahal.

Pro

  • Skrin dengan warna cantik.
  • Memori maya sehingga 8GB RAM membantu meningkatkan prestasi.
  • Rekaan yang cantik dan menawan.
  • Kamera 50MP yang boleh diterima.
  • Terus menjalankan Android 13.

Kontra

  • Pengecasan 33W agak perlahan untuk tahun 2023.
  • Rekaan skrin dengan takuk kecil dan dagu besar.
  • Kamera sebenar hanya ada satu, lain lebih kepada gimik.
  • Ketahanan bateri tidak memuaskan.

komen


© Amanz / 2023 Kami