Carian
OnePlus 11 Akan Dilancarkan Di Malaysia 7 Februari Ini
January 25, 2023 Fahim Zahar

OnePlus 11 5G telah pun dilancarkan 4 Januari lalu di China. Ia adalah peranti mercu baharu mereka dan disahkan tidak akan menerima versi Pro, kerana model inilah peranti paling Pro mereka. Kini melalui laman web OnePlus Malaysia, peranti ini dilihat turut akan dilancarkan di pasaran tempatan pada 7 Februari 2022, jam 10 malam.

Di China, peranti ini menggunakan skrin 6.7-inci AMOLED QHD+ 120Hz HDR10+, menyokong paparan Dolby Vision, menggunakan panel LTPO 3.0, dijana cip Snapdragon 8 Gen 2 dengan memori sehingga 16GBR RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0. Kamera pula adalah 50+32+48 Megapixel Hasselblad dan 16MP swafoto.

Untuk audio, ia menggunakan sistem speaker stereo Dolby Atmos, menyokong audio spatial, bateri 5000mAh dengan pengecasan SuperVOOC 100W, dan menawarkan pilihan warna hitam atau hijau. Harga jualan di China adalah mencapai sekitar RM3128 untuk model 16/512 GB.

Turut tertiris baru-baru ini adalah harga jualan OnePlus 11 5G di India, yang mana dikatakan harga jualan peranti ini lebih kurang sama dengan OnePlus 10T tahun lepas. Di India, OnePlus 10T 16/256 GB dijual pada harga ₹55,999 (~RM2,936). Sementara di Malaysia model sama dijual pada harga RM3,199. Harga tertiris OnePlus 11 16/256 GB adalah ₹59,999 (~RM3,146), memberi petanda harga jualan di Malaysia mungkin sekitar RM3,500.

Sama-sama kita nantikan.

Komen