Carian
Jepun Dan Belanda Turut Tidak Akan Menjual Kelengkapan Cip Kepada China
January 28, 2023 Effi Saharudin

Usaha China untuk menghasilkan cip sendiri semakin sukar selepas Jepun dan Belanda akan mengikut Amerika Syarikat menghentikan penjualan kelengkapan cip ke negara tersebut. Menurut laporan Bloomberg, Jepun dan Belanda tidak lagi akan menjual mesin pencetak cip yang diperlukan untuk menghasilkan cip berteknologi tinggi.

ASML dari Belanda dan Tokyo Electron serta Nikon dari Jepun adalah tiga syarikat utama yang mengeluarkan mesin ini di dunia. Persetujuan Jepun ini akan mendatangkan impak yang besar kepada Tokyo Electron yang menjana 25% pendapatan menerusi pelanggan di China.

Semikonduktor Cip

Sejak empat tahun kebelakangan ini pelbagai sekatan teknologi dikenakan oleh A.S dan sekutu ke atas China bagi mengekang kemampuan negara tersebut menjadi kuasa besar. Akses kepada penghasilan cip 14nm dan ke bawah dikawal bagi mengelakkan ia digunakan oleh China untuk membina kelengkapan ketenteraan.

Sementara itu AMD dan NVIDIA turut dihalang menjual cip kecerdasan buatan untuk super komputer ke China atas sebab yang sama. China pada waktu ini hanya mempunyai teknologi menghasilkan cip 24mm yang sudah usang pada skala besar. Usaha membangunkan industri cip kendiri masih belum matang dengan teknologi 14nm tempatan tidak mengeluarkan hasil yang tinggi.

Komen