Tokoh teknologi seperti Elon Musk percaya kemajuan teknologi kecerdasan buatan akan menjadi tunjang kepada negara yang ingin menjadi kuasa besar dunia di masa hadapan. Dapat dilihat sekarang pembinaan komputer kuantum di Amerika Syarikat dan China bagi membolehkan perkiraan lebih kompleks dilakukan dengan pantas bagi tujuan pembangunan kecerdasan buatan.

Tetapi sebagai langkah menghalang China dari menerajui bidang ini, Amerika Syarikat kini menghalang NVIDIA dan AMD dari menjual cip kecerdasan buatan kepada China serta Rusia. Lesen pengeksportan teknologi kecerdasan buatan dari Amerika Syarikat telah diperketatkan serta merta bermula hari ini bagi mengelakkan ia digunakan bagi tujuan ketenteraan di kedua-dua negara tersebut.
NVIDIA kini tidak lagi boleh menjual CPU A100 dan GPU H100 mereka yang direka khas untuk pemprosesan kecerdasan buatan. AMD pula menghentikan jualan cip MI250 yang digunakan untuk memacu sistem kecerdasan buatan.

Amerika Syarikat mengetatkan lagi kekangan teknologi baru-baru ini menghalang mesin pengilangan EUV dan sebarang teknologi yang mampu menghasilkan cip berteknologi 3nm ke bawah dari dijual ke China. Akta CHIPS pada Julai lalu turut menghalang syarikat yang ingin mendapat dana Amerika Syarikat dari mengembangkan pengeluaran dan pembangunan kilang baharu di China.
Walaupun China dilihat sebagai kilang dunia, majoriti teknologi pengilangan cip dipegang oleh Amerika Syarikat. Usaha China untuk membangunkan teknologi kendiri masih di belakang dengan mereka hanya berjaya menghasilkan cip 11nm buatan tempatan tetapi dengan hasil yang rendah.