Awal pagi tadi rekaan Oppo Find X6 tertiris dengan bonggol gergasi. Nampaknya pada tahun 2023, bonggol gergasi bakal menjadi trend di kalangan pengeluar peranti China. Kami katakan begini kerana imej pengolokan Huawei P60 Pro telah tertiris dan ia juga menjalani perubahan besar berbanding P50.

Dua bonggol kamera tidak lagi digunakan dan digantikan dengan satu yang bersaiz sederhana besar. Satu lensa utama yang besar mendominasi bonggol ini dengan dua lagi lensa diletakkan di atas dan di bawah. Salah satu lensa jelas dipadankan kepada sistem zum telefoto periskop.

Terdapat penjenamaan Xmage yang ketara di belakang. Skrin hadapan nampaknya melengkung dengan kamera swafoto diletakkan di tengah-tengah. Hanya separuh rekaan peranti tertiris setakat ini. Tahun ini siri P60 dijangka menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 4G dengan masih tiada maklumat bilakah ia akan dilancarkan secara rasmi.