Kalau mengikut pada perkiraan, Honor dijangka dalam persediaan hadir dengan kemasini baharu untuk peranti di bawah siri Magic. Untuk menguatkan lagi dakwaan tersebut, beberapa imej yang menunjukkan rekaan untuk model paling asas iaitu Honor Magic5 Lite telah tertiris.


Elemen kemasan yang digunakan adalah menyerupai sebuah Honor X9a 5G sebelum ini. Ia bagaimanapun bukan satu hal yang mengejutkan kerana generasi terdahulu juga hadir sebagai sebuah peranti yang dijenamakan semula. Makanya, tiada perubahan rekaan yang boleh dilihat pada peranti.
Misalnya, Magic5 Lite juga mempunyai panel hadapan melengkung dengan kadar segar semula 120Hz. Selanjutnya cip Snapdragon 695 digunakan sebagai tunjang utama dengan gabungan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Panel belakang pula memuatkan modul kamera berbentuk bulat dengan sensor utama 64MP + 5MP (ultra-lebar).

Kapasiti bateri Honor Magic5 Lite sedikit lebih besar berbanding sebelum ini dengan 5,100mAh dan boleh dicas semula dengan pantas dengan pengecasan 40W. Lain-lain maklumat mengenai peranti termasuklah kamera hadapan 16MP, menjalankan Android 12 dan mungkin dijual dengan julat harga sekitar Euro 389.90 (~RM1,796).