Samsung Galaxy S23 Ultra ialah model paling mercu, berkuasa dan berkemampuan tinggi di antara tiga peranti yang dilancarkan hari ini. Seperti sistem operasi Android, Samsung hanya melakukan beberapa iterasi untuk membezakan model tahun ini dengan model S22 Ultra tahun lalu.
Sekilas pandang perubahan yang dilakukan memang sukar untuk dilihat. Samsung tahun ini tumpuan lebih diberikan kepada kemampuan kamera yang lebih baik dan ciri tambahan yang ditawarkan dalam perisian baharu. Adakah S23 Ultra cukup ultras untuk membezakannya dengan pesaing lain di pasaran yang kini semakin garang?
Spesifikasi Dan Rekaan
Samsung Galaxy S23 Ultra | |
---|---|
Skrin | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm) |
Cip | 1 X 3.36 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 12GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256GB /512GB/1TB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X) |
Kamera Swafoto | 12 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 45W Pengecasan nirwayar 15W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 6199 (12/256GB) RM 6699 (12/512GB) RM 7199 (12/1000GB) |
Serupa tetapi tak sama ialah tema paling sesuai untuk siri Galaxy S23. Jika S23 dan S23+ menerima rekaan Floating Camera baharu, S23 Ultra mengekalkan rekaan yang sama seperti S22 Ultra. Rekaan antara ketiga-tiga model S23 adalah lebih konsisten dengan kesemuanya tidak lagi mempunyai bonggol yang besar di bahagian belakang. Berita baik bagi golongan anti-bonggol.

Skrin masih lagi 6.8″ QHD+ dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dari jenis LTPO. Tiada langsung perubahan pada spesifikasi berbanding tahun lalu cuma wujud ciri Vision Booster yang menurut Samsung memastikan imej masih kekal tajam dan boleh dilihat dalam pelbagai situasi pencahayaan. Tiga tahap Vision Booster diberikan pada skrin S23 Ultra.
Lengkungan skrin masih lagi wujud pada bahagian sisi kiri serta kanan cuma tidak melampau seperti pada siri Vivo X90. Tiada isu kandungan melimpah keluar atau skrin mengesan sentuhan tidak sengaja. Panel Samsung sentiasa cemerlang dan warna yang dipaparkan nampak hidup, sudut pandangan adalah cemerlang dan ia mengesan setiap sentuhan pada skrin dengan jitu. Untuk ketahanan, skrin menggunakan kacak Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak.

Sebuah pengimbas cap jari optikal turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Samsung tidak mengatakan sensor diubah maka bolehlah diagak bahawa sensor yang digunakan sebelum ini dikekalkan.
Sokongan S-Pen juga kembali tahun ini selepas siri Note dan Galaxy S digabungkan. Tiada penambahbaikan pada kejituan mata pena, ciri baharu, hayat bateri atau perbezaan pada saiz. Ini ialah stylus yang sama digunakan sejak siri Note 10. Ini mungkin boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif tetapi tiada teknologi di luar sana yang lebih baik berbanding stylus Wacom yang digunakan oleh Samsung. Maka tiadanya perubahan di sini bukanlah sesuatu yang buruk.

Kandungan HDR disokong masih lagi sehingga HDR10+ sahaja dengan keterangan melebihi 1750 nits. Dalam ujian yang sempat dilakukan, kandungan HDR dapat dimainkan dengan lancar dan tanpa sebarang isu seperti colour banding. Bagi yang mencari skrin yang baik untuk tontonan video, skrin S22 Ultra adalah antar yang terbaik sekarang.
Rekaan
Tubuh S23 Ultra lebih berkotak dengan sisi yang lebih rata berbanding model terdahulu. Pada hemat kami memegang peranti menjadi lebih selesa dengan rekaan baharu ini kerana luas permukaan rata yang lebih besar. Dari segi estetik ia juga nampak lebih segak. Kami tidak boleh ingat bila kali terakhir Samsung menggunakan rekaan berkotak seperti ini. Yang pasti ia mengingatkan kami kepada rekaan klasik Sony Xperia Z yang dikacuk dengan rekaan iPhone 14 Pro Max. Sebagai peminat kedua-dua peranti ini, kami tidak merungut dengan rekaan baharu S23 Ultra.

Butang laras audio dan kuasa diletakkan pada sisi kanan. Kedudukannya adalah mudah untuk diakses walaupun digunakan sebelah tangan sahaja. Talam dwi-SIM nano, port pengecasan USB-C, kekisi audio dan tempat simpanan S Pen diletakkan di bahagian bawah peranti. Pada bahagian atas pula terdapat lubang untuk mikrofon.
Ketiga-tiga lensa kamera utama tidak diletakkan di dalam bonggol dengan rekaan yang dipanggil Floating Camera. Saiz tiga lensa utama adalah sekata dan sedikit lebih besar tahun ini. Oleh sebab itu mungkin ramai tidak menyedari sensor untuk lensa sudut lebar kini sebesar 200MP. Ini adalah sensor ISOCELL HP2 baharu yang mempunyai kemampuan menggabungkan 16 pixel menjadi satu untuk menghasilkan imej lebih tajam. Dalam mod ini gambar yang dihasilkan hanya sebesar 12.5MP

Ini dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 12MP, telefoto 3x optikal 10MP dan telefoto 10x optikal 10MP. Sensor S22 Ultra dikitar semula pada tiga lensa lain sistem kuad-kamera utama di belakang peranti.
Floating Camera tidak diletakkan dalam bonggol yang besar tetapi peranti masih tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Hanya penggunaan kerangka dapat menyelesaikan isu ini. Samsung tidak menawarkan kerangka percuma dengan pembelian tetapi mereka ada menawarkan kerangka rasmi yang boleh memberikan perlindungan kepada lensa kamera belakang dan meratakan panel belakang.

Perubahan lebih penting dilakukan di dalam di mana sistem penyejukan yang lebih besar digunakan pada kesemua siri S23. Kami difahamkan pada model tertentu siri S23 sistem penyejuk kini sehingga 2.7X lebih besar berbanding siri S22. Pada S23 Ultra ia meningkat 2.1X kali ganda menyelesaikan isu kuasa memproses yang dikurangkan apabila peranti menjadi panas.
Yang pasti ini adalah ciri yang perlu kerana antara isu yang sering didengari ialah prestasi permua akan terjejas sekiranya peranti menjadi pantas. Pada sesi ujian petang semalam, kami menyertai tiga sesi permainan Asphalt 9 secara atas talian yang berterusan. Selepas tiga sesi, S23 Ultra di sekadar suam-suam kuku di tangan. Mungkin sistem penyejukan baharu ini berfungsi seperti yang diiklankan.

Seperti skrin peranti, panel belakang S23 Ultra turut menggunakan kaca Gorilla Glass Victus 2 yang tahan lasak. Pada kesemua model, panel kaca ini tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Akhir sekali S23 Ultra melepasi piawaian IP68 untuk ketahanan debu dan juga ditenggelamkan di dalam air.
Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy
Dari segi spesifikasi pula S23 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy seperti ura-ura sebelum ini. Ia adalah cip Snapdragon 8 Gen 2 dengan beberapa kustomasi pada GPU dan NPU bagi meningkatkan prestasi. Maklumat lengkap mengenai perubahan lain masih dirahsiakan kepada kami dan pandang pertama ini akan disunting pasca sesi pelancaran nanti.

Cip ini dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan sehingga 1TB UFS 4.0. Bagi mereka yang merasakan penawaran RAM mungkin tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah sehingga 8GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan dengan mengambil ruang storan peranti.
Berikut ialah markah yang dicatatkan selepas peranti diuji menggunakan aplikasi penanda aras popular. Bandingkan skor yang dicatatkan dengan iQOO 11 5G (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200), Apple iPhone 14 Pro Max (A16 Bionic), dan Samsung Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1)
Geekbench 5
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1345/4989
- iQOO 11 5G – 1457/4702
- Vivo X90 – 1372/4192
- Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
- Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
Antutu 3D
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,161,357
- iQOO 11 5G – 1,248,937
- Vivo X90 – 1,147,029
- Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
- Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
Wild Life Extreme
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
- iQOO 11 5G – 3763
- Vivo X90 – 3176
- Apple iPhone 14 Pro Max – 3373
- Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798

Penggunaan Dan Perisian
Sistem operasi One UI 5.1 digunakan pada S23 Ultra dengan ia berasaskan Android 13. Antaramuka One UI 5.1 tidak banyak bezanya dengan One UI 5.0. Ini kerana tumpuan diberikan kepada penambahan beberapa ciri baharu yang sudahpun diperkenalkan menerusi One UI 5.0 hujung tahun lalu.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, mudah difahami dan kemas. Terdapat kustomasi tema dengan warna elemen antaramuka berubah mengikut warna latar belakang yang digunakan. Pada One UI 5.1, widget dipertingkatkan dengan ia boleh disusun secara berlapis. Sehingga sembilan widget dengan saiz yang sama boleh disusun berlapis. Pengguna boleh menukar widget mana yang ingin dilihat dengan melakukan tatalan ke kiri dan kanan.
Skrin kekunci juga diberikan kustomasi lebih mendalam. Jenis widget, tona warna, dan reka huruf boleh ditukar dengan lebih mudah. Penambahbaikan kepada sekuriti menerusi Samsung Knox juga diperkenalkan dengan ia akan mengesan sekiranya data peribadi pengguna telah tertiris. Notifikasi menukar kata laluan akan diberikan sekiranya ini berlaku.

Kesemua ciri-ciri ini adalah mirip dengan ciri yang boleh ditemukan pada iOS 16. Selepas beberapa tahun iOS mengambil inspirasi dari Android, kini tiba giliran One UI mengambil inspirasi daripada iOS pula.
Dalam tempoh pendek peranti digunakan ia terasa pantas, lancar, tiada isu memasang aplikasi dan terdapat penambahan ciri yang menarik. Isu hanyalah penambahan ciri yang diberikan ini mungkin tidak begitu ketara dan besar. Ini bukanlah isu dengan One UI tetapi adalah kerana dengan Android sudah banyak menyertakan ciri menarik, tiada ciri baharu yang benar-benar menakjubkan boleh diperkenalkan.
Kekuatan peranti Samsung dengan One UI masih lagi sokongan kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun yang adalah yang terbaik di kalangan pengeluar Android pada waktu ini.
Kamera
Dengan sensor baharu 200MP untuk lensa sudut lebar, Samsung mengatakan prestasi kamera adalah lebih baik. Kami masih belum mampu melakukan ujian yang lengkap. Berikut ialah beberapa sampel yang sempat diambil. Turut disertakan di bawah ialah kualiti zum 1X, 3X, 10X, 30X dan 100X.








Bateri
Bateri kekal dengan kapasiti 5000 mAh yang boleh dicas secara berwayar dengan kuasa 45W, nirwayar dengan kuasa 15W dan pengecasan nirwayar berbalik. Jika ada satu spesifikasi yang mengecewakan pada S23 Ultra ialah sistem pengecasan yang digunakan adalah perlahan untuk peranti mercu.

Oppo, Realme, Xiaomi dan Honor kesemuanya mampu menawarkan pengecasan sekurang-kurangnya 80W sejak tahun lalu. Lebih menyedihkan apabila anda menyedari Samsung tidak lagi memberikan pengecas di dalam kotak bagi mengurangkan sisa elektronik plastik.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy S22 Ultra.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Pengalaman kami menggunakan Samsung Galaxy S23 Ultra adalah amat pendek dengan satu jam di Malaysia dan tiga jam di Singapura semalam. Setakat ini yang boleh kami katakan ialah walaupun perubahan pada rekabentuk tidak begitu ketara, penambahan ciri yang ditawarkan adalah menarik tetapi tidak begitu besar. Faktor wow tahun ini ialah kamera 200MP dengan tahap keperincian gambar lebih baik dan mod malam yang dipertingkatkan lagi.

Adakah ini memadai untuk siri Galaxy S memberikan persaingan kepada pengeluar Android lain dan juga Apple yang semakin agresif dalam pemasarannya di Malaysia? Hanya masa akan menentukan. Kami hanya boleh memberikan keputusan muktamad selepas melakukan ulasan penuh apabila peranti diterima oleh makmal Amanz kelak.
Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S22 Ultra akan dibuka hari ini dengan harga jualan RRM6199 untuk 12/256GB, RM6699 untuk 12/512GB dan RM7199 untuk 12/1000GB.
Pro
- Rekaan tubuh lebih berkotak dan semakin selesa dalam tangan.
- Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy lebih berkuasa berbanding edisi biasa.
- Kamera utama kini sebesar 200M.
- Menyokong S Pen.
- Kemas kini empat versi Android dan sekuriti lima tahun.
Kontra
- Sensor kamera lain masih sama seperti tahun lalu.
- Pengecasan sekadar 45W tidak lagi boleh dipanggil pantas.
- Peningkatan harga yang mendadak.