Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa AMD dijangka akan melancarkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 X3D dengan 3D V-Cache mereka tidak lama lagi, dengan ura-ura mengatakan bahawa ia akan mula dijual pada 14 Februari ini.
Terkini, AMD telah mengesahkan tarikh jualan cip pemprosesan terbaru mereka ini, termasuklah model-model yang akan dijual beserta dengan tanda harganya. AMD Ryzen 9 7950 X3D dan AMD Ryzen 9 7900 X3D akan mula dijual di pasaran pada tarikh 28 Februari 2023. Sebuah lagi model, iaitu AMD Ryzen 7 7800 X3D pula akan dijual pada 6 April 2023 ini.
Kelebihan yang ditawarkan melalui cip pemprosesan siri X3D ini ialah dengan penggunaan memori 3D V-cache, iaitu memori seakan RAM yang dimuatkan secara terus kepada bahagian CPU untuk mmbolehkan data diakses dengan lebih pantas, dan secara langsung membolehkan perisian seperti gaming menghantar dan memproses data di CPU secara terus tanpa perlu melalui RAM.
Ia juga dapat dilihat bahawa cip pemprosesan ini hadir dengan jumlah penggunaan kuasa sekitar 120W yang lebih rendah berbanding dengan cip pemprosesan AMD Ryzen 7000X yang dilancarkan sebelum ini.
AMD Ryzen 9 7950 X3D akan dijual pada harga $699, AMD Ryzen 9 7900 X3D pada harga $599, manakala AMD Ryzen 7 7800 X3D akan hadir dengan tanda harga $449.