Dalam Bahasa Inggeris ada pepatah “pupus seperti burung Dodo”. Burung yang tidak boleh terbang ini pupus sekitar tahun 1662 kerana diburu dengan agresif oleh pelayar yang tiba di kepulauan Mauritius. Yang tinggal sekarang hanyalah rangka dan beberapa tisu kering yang berjaya diawet. Dodo menjadi simbol kepupusan spesis disebabkan oleh kerakusan manusia.
Kini saintis dari Colossal Bioscences ingin mengembalikan Dodo dari kepupusan menggunakan teknik suntingan DNA. Dodo akan menjadi spesis burung pertama cuba “dinyahpupus” oleh Colossal yang sebelum ini mengumumkan projek melakukan perkara yang sama ke atas gajah mamot dan harimau Tasmania.
Menurut Colossal mereka telah menemukan sel tunjang pluripotem gajah Asia, dan gajah Afrika untuk disunting bagi menghasilkan semula mamot. Sel tunjang pluripoten haiwan dunnart pula akan digunakan untuk mengembalikan harimau Tasmania. Rahim ciptaan manusia juga sedang dibangunkan supaya janin haiwan pupus ini boleh berkembang dalam tubuh haiwan moden yang dari susu galur yang serupa.
Projek Colossal ini menerima kritikan komuniti sains yang melihatnya sebagai mustahil dan sia-sia. Pengkritik mengatakan jika DNA gajah dijadikan asas untuk gajah mamot yang dikembalikan, haiwan yang terhasil bukanlah mamot tetapi hibrid ciptaan manusia.