Carian
Beberapa Lagi Spesifikasi Realme GT Neo5 Didedahkan – Kamera Sony IMX890 OIS, Skrin 144Hz
February 7, 2023 Amy Maizuraa

Realme GT Neo5 bakal dilancarkan di China pada 9 Februari hadapan. Menjelang pelancaran rasmi, sejumlah besar ciri dan fungsi pada peranti mula didedahkan dalam kemaskini yang dimuat naik di Weibo.

Paling terkini, kamera utama 50MP Sony IMX890 yang turut menyokong OIS terbina bakal digunakan pada peranti. Kalau perasan, ia merupakan sensor yang sama digunakan pada Reno9 Pro+ sebelum ini. Kamera utama ini juga menyokong teknologi Turbo RAW baharu yang bantu memulihkan kualiti dan butiran warna menjadi lebih baik. Selajutnya peranti juga memuatkan sistem penyejukkan serba baharu yang menggunakan sistem pelepasan haba dua sisi. Ia bertujuan bagi pengoptimasian prestasi peranti yang baik tanpa masalah panas melampau sewaktu digunakan kelak.

Selain daripada itu, Realme juga mengesahkan kehadiran GT Neo5 dengan sistem pengecasan pantas 150W. Melaluinya, ia diiklankan mampu mengecas sepenuhnya peranti dengan bateri 5000mAh dalam hanya 16 minit. Skrin utama peranti pula kelak menyokong resolusi sehingga 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz. Turut menyokong skrin berkenaan adalah ciri dimming berfrekuensi tinggi 2160Hz seumpama yang boleh ditemui pada Realme 10 Pro+ sebelum ini.

Ini sahaja spesifikasi pada peranti yang diketahui setakat ini. Spesifikasi lengkap akan diketahui dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Komen