Carian
DARPA Memilih Dua Rekaan Untuk Projek Ekranoplan Liberty Lifter
February 8, 2023 Effi Saharudin

DARPA mengumumkan rekaan daripada General Atomics dan Aurora Flight Systems dipilih ke fasa prototaip untuk projek Liberty Lifter. Menerusi projek ini, DARPA ingin menghasilkan pesawat ekranoplan yang membawa kapasiti kargo yang besar.

Rekaan General Atomics kelihatan agak aneh kerana terdiri daripada dua tubuh pesawat yang disambungkan kepada sayap gergasi. Sementara itu rekaan daripada Aurora pula nampak lebih seperti sebuah pesawat bot terbang yang popular di awal abad ke-20.

Pada fasa pertama Liberty Lifter, rekaan yang diperhalusi bagi memenuhi keperluan misi perlu dilengkapkan dalam masa 18 bulan. Selepas itu pada fasa kedua pula rekaan akan diperhalusi lagi sebelum prototaip dihasilkan sekitar 2024. Keperluan DARPA ialah Liberty Lifter perlu membawa sekitar 100 tan kargo, bergerak sehingga 12,000 km dan mempunyai saiz yang sama seperti sebuah Boeing C-17 Globemaster III.

Ekranoplan bukan sebuah kapal terbang walaupun mempunyai sayap. Ia terapung di atas permukaan udara yang terperangkap di bawah sayap yang besar semasa ia bergerak. Sistem ekranoplan dipopularkan di Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin dengan ia direka untuk membawa kargo serta menjadi platform pelancaran peluru berpandu.

Komen