Carian
Jam Proton X Watch Boleh Hidupkan Enjin Proton X50 Pada Harga RM1499
February 9, 2023 Fahim Zahar

Siri Proton X adalah kereta Proton yang cukup popular. Sudah ada dua model iaitu X70 dan X50, di mana kedua-dua kereta ini menjalankan sistem inforia ATLAS yang padat dengan ciri pintar untuk kawalan pengguna.

Untuk melengkapkan ekosistem pintar siri Proton X, jam tangan pintar Proton X Watch diperkenalkan untuk kunci/menyahkunci pintu, kawal tingkap, bunyikan hon kereta, kawal penyaman udara, buka bonet belakang kereta dan khusus untuk pengguna Proton X50 – enjin kereta turut boleh dihidupkan. Bukan itu sahaja, Proton X Watch turut boleh memaparkan baki minyak kereta dan bila perlu ke pusat perkhidmatan pelanggan untuk servis kereta.

X Watch turut berfungsi sebagai jam tangan pintar biasa untuk memaparkan notifikasi, imbasan nadi, membaca data SpO2, menyokong banyak mod sukan, dan banyak lagi. Jam ini dijana dengan cip Snapdragon, menggunakan skrin 1.3-inci AMOLED, dan dijual pada harga RM1499 dengan pilihan tali jam hitam atau putih.

Menurut sumber, jam ini dikategorikan sebagai sebahagian daripada alat ganti Proton X50 dan Proton X70 – bukannya sebagai aksesori biasa. Jam ini juga dilihat sukar untuk dibeli kerana tidak semua pengedar menjual jam ini.

Komen