Carian
Apple Watch Series X Mungkin Sedang Dibangunkan
February 9, 2023 Fahim Zahar

Jam tangan pintar terkini Apple adalah Apple Watch Series 8 dan yang paling berkuasa pula adalah Apple Watch Ultra. Laporan sebelum ini menyatakan Apple Watch Ultra generasi seterusnya akan menggunakan skrin MikroLED rekaan mereka dan mungkin dibina oleh LG.

Saiz skrin jam ini dikatakan adalah lebih besar iaitu 2.1-inci. Terkini terdapat laporan menyatakan Apple mungkin sedang membangunkan Apple Watch Series X, melangkau Series 9 seperti mana mereka lakukan pada iPhone beberapa tahun lepas – tiada iPhone 9 dan diteruskan dengan iPhone X. Pada iPhone strategi ini berjaya kerana iPhone X ketika itu terus menjadi popular dengan penjualan juga menjadi pantas tanpa perlu tunggu tempoh yang lama.

Apple Watch Series X dikhabarkan akan mempunyai saiz skrin yang lebih besar sekitar 5% ke 10% menjadikannya kepada 1.89-inci atau 2.04-inci dan masih menggunakan panel LTPO oleh LG. Tetapi sumber turut menyatakan ada kemungkinan Apple Watch Series X dilancarkan pada tahun 2024 sebagai ulang tahun Apple Watch kesepuluh sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 2014 lalu.

Selain itu, Apple Watch SE turut akan ada generasi baharu dengan saiz skrin sama dengan Apple Watch Series 8. Sementara tahun ini Apple Watch Series 9 mungkin akan diteruskan dengan saiz sama dengan Series 8 juga. Apa-apa pun, laporan ini dikatakan diterima dari pembekal dan masih tiada maklumat rasmi lagi.

Tahun lepas, khabar angin mengenai Apple Watch Pro muncul – tetapi jam yang dikeluarkan adalah Ultra berbeza dengan nama yang tertiris. Jadi, nama Series X mungkin tidak akan digunakan. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan.

Komen