Kerap kami melihat peranti baharu dijual pada harga lebih murah di stor atas talian. Rata-ratanya adalah versi import dari China yang memasuki Malaysia lebih awal berbanding versi rasmi. Bagi mereka yang ingin membeli OnePlus 11 versi China, anda disarankan untuk melupakan hasrat kerana ciri penting peranti akan dinyahaktifkan.

Menurut laporan Adroplus, pengguna OnePlus 11 di Rusia mula melaporkan peranti yang dibeli dari China mengeluarkan amaran ciri panggilan telefon dinyahaktifkan apabila digunakan di luar negara tersebut. Peranti berfungsi normal selama dua minggu sebelum ciri dimatikan dan notifikasi menggesa mereka mendapat bantuan khidmat pelanggan dipaparkan pada skrin.
Terdapat 42 negara dalam senarai ciri selular dihalang termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Setakat ini tiada cara untuk mengembalikan semula ciri panggilan telefon selepas ia dihalang. Halangan ini diberikan untuk memastikan peranti OnePlus 11 versi global yang rasmi dibeli oleh pengguna di 42 negara-negara ini.
Pembelian peranti dengan ROM China memang tidak disarankan kerana perisian tidak dioptimasi untuk kegunaan luar China. Pada waktu yang sama perisian pengintip telah ditemukan oleh penyelidik dengan data dikumpul tanpa kebenaran pada peranti keluaran OnePlus dan Xiaomi.