Akhirnya selepas lebih sebulan dilancarkan di China dan minggu lepas diumumkan untuk pasaran global, OnePlus 11 5G kini rasmi untuk pasaran Malaysia. Dalam ulasan kami sebelum ini, kami katakan OnePlus 11 mungkin adalah pembunuh peranti mercu tahun 2023 – memandangkan peranti mercu lain dijual pada harga hampir RM5000 dan ada yang lebih RM7000.

OnePlus yang selama ini diberikan kritikan, mungkin telah kembali seperti mana ramai mengenali jenama ini pada suatu masa dahulu. OnePlus 11 hadir dengan skrin 6.7″ Super Fluid AMOLED LTPO3, QHD+ 3216×1440, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+ dan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2. Untuk memori peranti ini menggunakan 16GB RAM LPDDR5X, sementara storan dalaman pula adalah 256GB UFS 4.0 yang terkini – padanan memori yang terpantas.

OnePlus bukan sahaja mengembalikan suis lungsur notifikasi pada peranti ini, tetapi turut mengembalikan sistem kamera Hasselblad iaitu Hasselblad Camera for Mobile. Konfigurasi kamera adalah 50 MP, f/1.8, OIS, EIS (Sudut Lebar) + 48 MP, f/2.2, (Sudut Ultra-Lebar) + 32 MP, f/2.0 (Telefoto) dan 16 MP, f/2.45 kamera swafoto.
Peranti menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin yang cukup pantas, menyokong perlindungan IP64, menggunakan sistem speaker Dual “Reality” Speakers Dolby Atmos dan memuatkan bateri berkapasiti 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W SuperVOOC tanpa pengecasan nirwayar.

Peranti menjalankan sistem operasi Oxygen OS 13 berasaskan Android 13 dengan sokongan kemaskini perisian 4 tahun dan sekuriti selama 5 tahun. OnePlus 11 5G turut hadir dengan rekaan yang unik, di mana modul kamera dan bingkai peranti adalah daripada kepingan logam yang sama, depan dan belakang Gorilla Glass Victus dan menawarkan pilihan warna Eternal Green yang licin atau Titan Black seakan kemasan kertas pasir yang lembut.

Harga jualan di Malaysia adalah RM3299 untuk 8/128 GB warna Titan Black dan RM3599 untuk 16/256 GB warna Eternal Green. Sempena pelancaran, OnePlus Malaysia menawarkan kerangka Bumper Case Sandstone dan OnePlus Buds Pro 2 percuma jika melakukan pra-tempahan pada 16 Februari ke 24 Februari. Sementara jualan pada 25 Februari ke 3 Mac akan menerima kerangka yang sama dengan diskaun RM200 untuk OnePlus Buds Pro 2.