CEO Nothing, Carl Pei boleh dikatakan antara yang pandai dalam memasarkan jenama dan produk. Terbaru, Carl Pei melakukan ulasan telefon daripada bekas syarikat yang diasaskan beliau, iaitu OnePlus.
Telefon pintar terbaru dibawah OnePlus adalah OnePlus 11, dan baru dilancarkan di Malaysia. Kebetulannya juga, Carl Pei menerbitkan video ulasan dan pandangan peribadi berkenaan telefon pintar tersebut.
Melalui ulasan tersebut, Carl Pei mengatakan ia membawakan rekaan dan binaan yang menarik – walaupun terdapat beberapa perkara dipersoalkan seperti rekaan butang tepi yang tidak selari dan terlalu nipis.
Disamping itu, beliau turut menyatakan kini difahami mengapa ramai tidak menyukai sistem operasi baharu yang digunakan pada OnePlus berbanding dengan OxygenOS dulu. Ia dilihat tidak dioptimasikan untuk pengguna global, dan lebih kepada terjemahan daripada sistem berasaskan bahasa di China. Ini diberikan contoh melalui penggunaan teks pada widget dan sistem operasi tersebut, yang diringkaskan dan dipadatkan tanpa sebab.
Ia turut dipersoalkan yang mana kualiti kamera zum pada OnePlus 11 adalah sama kualiti dengan Nothing Phone (1) yang menggunakan zum digital. Carl Pei turut menyatakan Nothing perlu melakukan lebih pengoptimasian pada sokongan kamera Nothing tersendiri.
Pada akhir ulasan juga, Carl Pei mengatakan OnePlus 11 tidak mempunyai identiti tersendirinya.
Carl Pei turut menyatakan OnePlus 11 membawakan tenaga pemprosesan yang tinggi dan sesuai untuk pelbagai permainan melalui cip terkini padanya, jikalau dibandingkan dengan Nothing Phone (1) yang lebih memfokuskan penggunaan harian.