Carian
Oppo Find N2 Flip Dengan Kamera Hasselblad Dilancarkan Ke Pasaran Global
February 15, 2023 Effi Saharudin

Oppo Find N2 Flip telah dilancarkan untuk pasaran global sebentar tadi selepas pelancaran di China Disember lalu. Ini merupakan peranti dengan skrin boleh lipat jenis clamshell pertama daripada Oppo. Dari aspek rekaan, elemen yang digunakan adalah menyerupai sebuah Samsung Galaxy Z Flip4 sebelum ini, tetapi skrin luaran adalah lebih besar mencapai 3.26-inci sejenis OLED berbanding hanya 1.9-inci pada peranti Samsung.

Skrin utama pula sejenis AMOLED 6.8-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ia turut dilengkapi beberapa ciri tambahan lain seperti HDR10+, sokongan gamut warna DCI-P3 dan kecerahan puncak mencapai 1600 nits. Seterusnya cip MediaTek Dimensity 9000+ digunakan dengan padanan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Skrin sekunder yang lebih besar memudahkan notifikasi dibaca serta boleh dijadikan paparan untuk membolehkan swafoto dilakukan menggunakan kamera utama yang lebih besar saiznya. ColorOS 13 berasaskan Android 13 turut menyertakan pelbagai animasi yang boleh dipaparkan di skrin luar untuk menjadikan peranti kelihatan lebih ceria. Selain itu widget untuk cuaca, kalendar, Spotify dan aplikasi lain juga boleh diletakkan pada skrin sekunder ini.

Konfigurasi kamera utama terdiri dengan 50MP + 8MP, sementara itu kamera swafoto pula 32MP. Lensa kamera utama yang digunakan ialah sudut lebar dan ultra sudut lebar. Turut disertakan adalah cip ISP Marisilicon X yang sedia diketahui sangat membantu untuk sistem pengimejan mudah alih lebih baik. Seperti Find N2, sistem kamera Hasselblad disertakan bersama dengan mod khusus XPan yang menjadikan gambar lebih sinematik.

Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan bagi mereka yang gemar menggunakan sistem biometri. Satu kekurangan yang ketara setakat ini ialah N2 Flip tidak mempunyai sebarang piawaian kalis debu atau air secara rasmi berbeza dengan siri Z Flip yang hadir dengan IPX8.

Bateri pula adalah 4300mAh dengan sistem pengecasan pantas 44W. Ini pula adalah lebih besar berbanding Z Flip4 yang hanya dilengkapi bateri 3700 mAh. Akhir sekali Oppo mengesahkan Find N2 Flip akan menerima kemas kini versi Android selama empat tahun dan tampalan sekuriti selama lima tahun.

Oppo Flip N2 dijual pada harga £849 (~RM4473) dalam warna Moonlit Purple dan Astral Black. Oppo Find N2 telahpun disahkan akan memasuki pasaran Malaysia tetapi harga jualan pada waktu ini belum diumumkan.

Komen