Qualcomm melancarkan modem baharu Snapdragon X75 yang dilengkapi kecerdasan buatan bagi mendapatkan sambungan rangkaian selular terbaik setiap masa. Ia menggantikan Snapdragon X70 yang digunakan pada peranti Snapdragon 8 Gen 2 sedia ada.
Menurut Qualcomm, X75 akan memilih rangkaian yang terbaik untuk memastikan tiada gangguan kepada perkhidmatan selular pada peranti. Ini akan meningkatkan kemampuan selular di dalam kawasan bawah tanah, lif dan ketika dalam kenderaan yang bergerak.
Sokongan Snapdragon Satellite yang diumumkan di MWC bulan lalu juga disertakan sekali dengan X75. Terdapat kecerdasan kedua yang ditugaskan untuk memastikan lokasi GPS dapat dijejak dengan tepat walaupun di kawasan berkepadatan tinggi.
Lebih penting sekali ialah menggabungkan komponen RF untuk rangkaian 5G mmWave dan Sub 6GHz. Hasilnya saiz fizikal X75 adalah 25% lebih kecil dan mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 20%. Snapdragon X75 kini sedang diuji oleh pelanggan dengan peranti pertama menggunakannya akan dilancarkan pada H2 2023.