Carian
Korea Selatan Dan Indonesia Meneruskan Kerjasama Membina Pesawat KAI KF-21 Boramae
February 17, 2023 Effi Saharudin

Program KAI KF-21 Boramae berhadapan pelbagai isu selepas Indonesia telah menangguhkan pembayaran untuk meneruskan projek pembinaan pesawat tempur Gen 4.5 ini. Kos pembangunan menelan belanja 8.1 trilion Won(~RM27.5 bilion) dengan 20% sepatutnya ditanggung oleh Indonesia. Tetapi menurut laporan Reuters, Indonesia dan Korea Selatan kini bersetuju untuk meneruskan kerjasama mereka.

Indonesia telah melangsaikan bayaran yang tertunggak pada penghujung tahun lalu. Pesawat tempur dwi-enjin ini dibangunkan secara kendiri oleh Korea Selatan bagi menggantikan pesawat Northrop F-5 Tiger dan McDonnell Douglas F-4 Phantom II Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) yang sudah berusia. Pada awalnya program ini menggunakan nama KAI KF-X sebelum nama ditukar ke KF-21 Boramae pada tahun 2021.

KF-21 Boramae masih mempunyai kemampuan sukar dikesan menggunakan radar tetapi tidak sebaik F-35A memandangkan kesemua senjata dibawa di luar tubuh pesawat. Walaupun projek dibiayai oleh Korea Selatan dan Indonesia, pesawat tempur ini akan dieksport ke negara yang berminat

Pesawat menyasarkan kemampuan terbang pada kelajuan Mach 1.83, jarak operasi sehingga 2900 km dan muatan senjata sehingga 7700 kg. Dua varian akan dihasilkan dengan blok A mempunyai kemampuan pertempuran udar dan blok B pula berkemampuan melakukan serangan ke atas sasaran darat.

Komen