Carian
Pesawat Tempur Gen 4.5 Korea Selatan KAI KF-21 Berjaya Melakukan Penerbangan Sulung
July 20, 2022 Effi Saharudin

Pesawat tempur generasi 4.5 Korea Selatan, KAI KF-21 Boramae berjaya melakukan penerbangan pertamanya lewat petang semalam. Penerbangan selama 30 minit ini dilakukan bagi menguji sistem asas pesawat dengan ia dilakukan pada kelajuan rendah serta memperlihatkan kemampuan meletakkan empat peluru berpandu MBDA Meteor turut diperlihatkan.

Pesawat yang bermula sebagai projek KAI KF-X ini diperlihatkan pada April lalu. Sebanyak enam pesawat prototaip akan dibina dengan dua daripadanya adalah versi kokpit berkembar. Ia juga menjadi pesawat pertama dunia dengan kerusi lenting Martin Baker KR18A.

Sekiranya semua berjalan lancar, KAI akan memulakan pengeluaran pesawat bermula 2026 dengan varian KF-21 Blok 1. Sebanyak 40 pesawat KF-21 Blok 1 akan dibina untuk kegunaan Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) bagi tujuan pertempuran udara-ke-udara.

Kemudian 80 pesawat KF-21 Blok 2 akan dibina dengan kemampuan serangan udar-ke-darat menjelang 2028. Sekiranya prestasi kedua-dua varian memenuhi keperluan ROKAF, KF-21 Blok 3 akan dibangunkan dengan ia akan menjadi pesawat generasi kelima pertama Korea Selatan.

Boramae yang bermaksud helang dalam bahasa Korea dilengkapi radar AESA dengan kemampuan menggunakan bom pintar JDAM, peluru berpandu Meteor dan AIM 2000. Pembangunan pesawat menerima pelbagai kritikan kerana menelan belanja yang tinggi serta keengganan Amerika Syarikat untuk membenarkan Korea Selatan meminjam teknologi seperti dara AESA milik mereka.

Selain itu projek juga bersamalah selepas Indonesia yang pada awalnya bersetuju melakukan pembiayaan bersama dikhabarkan ingin menarik diri. Terdapat laporan Indonesia lewat melakukan pembayaran kepada Korea Selatan menyebabkan kos kini ditanggung sepenuhnya oleh satu negara.

Pesawat tempur dwi-enjin ini dibangunkan secara kendiri oleh Korea Selatan bagi menggantikan pesawat Northrop F-5 Tiger dan McDonnell Douglas F-4 Phantom II Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) yang sudah berusia. Apabila memulakan operasi kelak, ia akan beroperasi bersama F-35A, F-15K dan F-16D yang digunakan sekarang.

Pesawat boleh terbang sehingga kelajuan Mach 1.83, jarak operasi sehingga 2900 km dan muatan senjata sehingga 7700 kg. Selain Korea Selatan dan Indonesia, KAI ingin mengeksport pesawat ini kepada negara lain termasuk Malaysia.

Komen