Cari @ Amanz

Corsair Mula Memperlihatkan Konfigurasi Memori 48GB Dan 96GB

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sebelum ini kami ada memperkatakan bahawa MSI telah mula menawarkan sokongan untuk konfigurasi memori 24GB dan 48GB, yang membolehkan pengguna memasang sehingga 192GB memori didalam komputer mereka.

Terkini, Corsair dilihat sebagai diantara jenama RAM pertama yang memperkenalkan konfigurasi memori ini melalui siri memori Corsair Vengeance DDR5 mereka yang mana mereka menawarkan modul-modul memori 24GB dan 48GB dalam konfigurasi 2x24GB dan 2x48GB.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, bergantung kepada keperluan konfigurasi anda, anda boleh memasang sebanyak 96GB ataupun 192GB memori DDR5 pada komputer desktop yang dikuasakan oleh cip pemprosesan generasi ke-13 Raptor Lake menggunakan papan induk Intel siri 600 dan 700.

Konfigurasi memori yang tinggi ini sayangnya bermakna bahawa pada masa ini, kelajuan memori yang diperlihatkan hanyalah setinggi 5200MHz dan 5600MHz, apabila kelajuan memori DDR5 yang tidak menggunakan modul memori 24Gb boleh mencapai kelajuan 8000MHz tanpa masalah.

Siri memori Corsair Vengeance DDR5 baru ini belum diperkenalkan secara rasmi, tetapi sebuah kedai komputer di Kanada, iaitu PC Canada telahpun menyenaraikan penawaran memori ini di laman web mereka.

Penawaran 2x24GB dengan kelajuan 5200MHz ditawarkan pada harga $192.48, manakala pilihan sama dengan kelajuan 5600MHz akan dijual pada harga $204.51. Penawaran gabungan memori 96GB pula diperlihatkan pada harga $392.64 dan $404.53 untuk kelajuan-kelajuan yang sama.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Corsair akan mula menjual memori DDR5 dengan kapasiti gergasi ini.


Komen ()