Pratempahan Televisyen LG OLED Flex Kini Dibuka Dengan Harga RM13,199
Amy Maizuraa
LG OLED Flex merupakan sebuah televisyen dengan kebolehan boleh lentur dan diratakan bergantung kepada cara penggunaan pengguna. Ia telah dilancarkan di IFA 2023 dan kini pratempah untuk televisyen ini telah dibuka buat pengguna di Malaysia.

Bagi yang berminat, ia boleh didapati dengan harga RM13,199 sebuah menerusi kedai atas talian rasmi LG di Lazada dan Shopee. Hadiah menarik bernilai RM1,299 berupa pembesar suara mudah alih LG XBOOM360 X03 turut diberi secara percuma dengan setiap pembelian.
Seperti namanya, televisyen ini dilengkapi skrin OLED yang menyokong resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz. Televisyen sebesar 42-inci turut hadir dengan kebolehan lenturan sehingga 900R untuk pengalaman tontonan video dan sesi permua lebih menyeronokkan. Ia juga menggunakan paparan skrin LG Evo yang menjanjikan olahan warna jitu bersama hitam yang benar-benar gelap.

Dengan ciri Switching Hub, televisyen ini turut boleh disambungkan dengan komputer dan konsol. Sekaligus turut membolehkan penukaran sumber input dari konsol ke komputer boleh dilakukan dengan mudah. Ciri tamnbahan lain yang turut boleh ditemui termasukk teknologi paparan seperti Dolby Vision, Variable Refresh Rate, NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync Premium.