Minggu lepas, Nothing telah mengedarkan kemaskini Android 13 versi stabil menerusi Nothing OS 1.5.2 untuk pengguna beta yang telah menguji versi perisian ini untuk beberapa bulan. Baru-baru ini, Nothing secara rasmi memperkenalkan kemaskini ini untuk pengguna umum.
Nothing OS 1.5 dengan Android 13 membawakan banyak kemaskini yang menarik. Versi kali ini juga adalah jauh lebih stabil berbanding sebelum. Nothing membawakan aplikasi cuaca tersendiri, aplikasi kamera yang diperbaharui serta aplikasi yang dibuka adalah 50% lebih pantas.

Ciri unik Nothing iaitu Glyph turut menerima pek nada dering baharu dan animasi lampu yang menarik. Sokongan Material You turut diberikan untuk pengguna mengubah tema warna peranti. Kunci skrin kini turut boleh diubahsuai dengan menambah akses pantas ke beberapa aplikasi.
Keseluruhan sistem turut menjadikan Nothing OS lebih mudah untuk dikendalikan dengan talam notifikasi yang mudah untuk menukar kad SIM, paparan papan klip, boleh terus matikan aplikasi yang berjalan di latar yang tidak diingini, antaramuka baharu yang membawakan kawalan media, mod permua kini diintegrasi dengan Google Game Dashboard, serta sokongan Live Captions.
Sokongan privasi turut diberikan di mana sistem boleh membenarkan aplikasi hanya memilih satu gambar dan tidak mengakses keseluruhan album. Prestasi peranti turut ditambahbaik dan Nothing turut mengintegrasikan ciri baiki-sendiri untuk membuang cache secara automatik.