Carian
Roda TheLorry Kini Berputar di Peringkat Asia Tenggara
February 22, 2023 Aman

TheLorry merupakan salah satu syarikat tempatan yang telah beroperasi sejak beberapa tahun, memudahkan para pengguna dalam membuat tempahan sewa lori untuk pelbagai tujuan – daripada pemindahan rumah, penghantaran perabot, mahupun untuk tujuan perusahaan dalam urusan logistik.

TheLorry telah dimulakan pada tahun 2014 yang lepas, dan ketika itu menyelesaikan masalah logistik, terutamanya untuk pemindahan rumah. Dimulakan dengan penggunaan teknologi ringkas yang tersedia seperti Google Forms, TheLorry berjaya mendapatkan 10 orang pelanggan berbayar pertama dalam tempoh kurang 10 hari. Sejak daripada itu, mereka telah memperluaskan penawaran ke Singapura, Thailand, dan juga Indonesia.

Nadhir Chee Hau The Lorry

Selari dengan perkembangan dunia yang meletakkan segalanya di penghujung jari, TheLorry terus memudahkan pengguna membuat tempahan sewa lori untuk hari sama, atau untuk kemudian hari melalui web dan juga aplikasi khusus untuknya.

Berkongsi berkenaan perkembangan TheLorry, Nadhir (pengasas TheLorry) mengatakan kini hampir 40% pendapatan keseluruhan kumpulan syarikat tersebut hadirnya dari Indonesia. Pada tahun 2022 sahaja, kumpulan syarikat tersebut telah berjaya menjana pendapatan berjumlah RM65 juta. Ini dijayakan melalui lebih 13,000 rakan penghantar, selain sekitar 200,000 pelanggan individu. TheLorry juga mempunyai sejumlah rakan kerjasama perusahaan, termasuk jenama seperti Coca Cola, Lotus’s, dan sebagainya.

Dari segi perniagaan, TheLorry dilihat memfokuskan kepada penghantaran barangan bersaiz besar, disamping berbentuk pukal. Ini sekaligus membolehkan mereka beroperasi pada kategori yang kurang sedikit pesaing dan alternatif – berbanding perkhidmatan penghantaran barangan kecil yang menjadi medan peperangan antara syarikat seperti Pos Laju, J&T, Ninja Van dan sebagainya.

Nadhir sendiri menyatakan mereka sedang melihat kepada tiga trend besar untuk tempoh 5 ke 10 tahun akan datang, yang mana meliputi trend edagang, penghantaran barangan bersaiz besar, dan juga perkembangan syarikat tersebut di Indonesia.

Disamping itu, beberapa pembangunan juga dijangka akan terus mempelbagaikan lagi pendapatan mereka, termasuk memperluaskan produk sedia ada dalam bentuk SaaS, membangunkan produk dalam meningkatkan produktiviti pemandu (menggunakan sejumlah algoritma dan juga pembelajaran mesin), disamping menambah-baik penawaran produk dan juga operasi.

Selari dengannya juga, kini TheLorry menggunakan konsep biayasama dalam mengumpulkan dana pelaburan seterusnya, melalui platform Pitchin. Ini sekaligus membuka ruangan untuk semua melakukan pelaburan dan mempunyai pegangan pada syarikat startup tempatan ini. Setakat ini, TheLorry telah mengumpulkan sekitar RM2.3 juta melalui Pitchin, dan biayasama ini bakal berakhir pada minggu hadapan.

Komen