China Mengharamkan Integrasi ChatGPT Oleh Syarikat Tempatan
Effi Saharudin
ChatGPT ialah kecerdasan buatan yang paling dikenali ramai sekarang kerana ia mudah digunakan, percuma dan mempunyai keupayaan menulis seakan seorang manusia sebenar. Ia telahpun diintegrasikan oleh Microsoft pada beberapa perkhidmatan mereka. Ia sungguh berguna TM Roh presiden perniagaan peranti mudah alih Samsung berkata mereka mempunyai perancangan untuk turut menggunakannya pada produk yang akan dikeluarkan kelak.

Sedang dunia berlumba-lumba ingin menggunakan ChatGPT, China telah mengeluarkan arahan supaya syarikat tempatan tidak menawarkannya pada produk keluaran mereka. Menurut laporan Nikkei Asia, Tencent Holdings dan Ant Group adalah dua syarikat yang sudah menerima arahan ini.
Selain itu syarikat tempatan perlu memberikan laporan kepada pihak berkuasa sebelum melancarkan perkhidmatan yang serupa dengan ChatGPT. Sebab ChatGPT diharamkan kerana kerajaan China melihatnya boleh “membantu kerajaan Amerika Syarikat untuk menyebarkan maklumat yang salah dan memanipulasi naratif global untuk kepentingan politik”.
Tindakan mengharamkan perkhidmatan dari Barat adalah norma biasa di China. Pelbagai perkhidmatan seperti Google, Twitter dan Facebook tidak dibenarkan beroperasi di China dengan ia hanya boleh diakses menggunakan VPN.
Pengharaman ChatGPT dilihat sebagai tindakan memulangkan paku buah keras kepada Amerika Syarikat yang telah mengharamkan TikTok pada peranti kegunaan penjawat awam kerana didakwa membolehkan intipan oleh China.
[sumber] Sumber – Nikkei Asia [/sumber]