Rabu lalu Amanz dijemput menghadiri sesi perbincangan meja bulat bersama Dr. TM Roh, CEO Perniagaan Peranti Mudah Alih (MX) Samsung. Beliau hadir ke Malaysia untuk melihat sendiri pasaran telefon pintar Samsung di rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia serta mengumpul maklum balas dari pengguna. Berikut ialah beberapa soalan yang sempat dijawab oleh beliau dalam sesi selama hampir 90 minit. Jawapan telah disunting supaya lebih ringkas.
Soalan – Tahun ini kesemua siri Galaxy S23 menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy. Apakah masa hadapan cip Exynos? Adakah ia akan dikembalikan ke pasaran Malaysia apabila cip ini ditawarkan semula kelak?
TM Roh – Sejak dari awal lagi Samsung menggunakan cip keluaran sendiri. Pada Galaxy S6 misalnya, kesemua peranti dalam siri ini menggunakan cip Eyxnos 7420. Tetapi falsafah Samsung juga ialah menggunakan cip yang terbaik untuk peranti mudah alih bagi kegunaan pelanggan.
Exynos dan Qualcomm adalah rakan strategik Samsung. Ada tahun rakan pengeluar ini menawarkan cip yang lebih berkuasa dan sebaliknya pula pada tahun yang lain. Samsung akan melihat situasi dari tahun ke tahun, bergantung kepada senario kami akan memilih cip yang terbaik untuk digunakan.
Persoalan mengenai penggunaan cip Exynos ataupun Quacomm pada pasaran tertentu adalah bergantung kepada situasi. Untuk tahun 2024, 2025, 2026 dan seterunya, keputusan mengenai penggunaan cip akan hanya dilakukan selepas melihat solusi yang terbaik untuk pengguna-pengguna kami.
Soalan – Penggunaan kecerdasan buatan ChatGPT oleh Microsoft pada produk mereka menjadi topik perbualan hangat minggu ini. Adakah kecerdasan buatan seperti ChatGPT akan diintegrasikan ke dalam produk serta perkhidmatan Samsung di masa hadapan?
TM Roh – Kebelakangan ini terdapat banyak artikel mengenai ChatGPT sehingga mendapat perhatian orang ramai. Ia menunjukkan bagaimana kecerdasan buatan generatif, pembelajaran mesin, dan pembelajaran dalam berkembang dengan pesat.
Pada peranti mercu siri Galaxy Z dan Galaxy S, prestasi yang tinggi telah dicapai menerusi adaptasi teknologi kecerdasan buatan maka Samsung akan mengembangkan lagi penggunaannya. Saya secara peribadi percaya teknologi seperti ChatGPT akan menyumbang kepada perkembangan teknologi peranti mudah alih.
Saya juga telah menggunakannya untuk melihat kemampuannya. Perbandingan dengan Microsoft dan Google juga telah saya lakukan untuk memahaminya dengan lebih baik. Malahan saya menggunakan ChatGPT untuk bertanya apakah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pegangan pasaran Samsung Mobile (ketawa).
Soalan – Adakah Samsung akan bekerjasama dengan Microsoft dan OpenAI untuk mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan terkini pada peranti atau akan membangunkan teknologi buatan sendiri seperti yang biasa dilakukan?
TM Roh – Samsung sentiasa terbuka kepada sebarang kebarangkalian. Di bawah falsafah keterbuakaan ini, kami percaya kami perlu memberikan prestasi yang terbaik kepada pengguna. Kami bukan sahaja dalam perbincangan dengan OpenAI tetapi juga dengan Microsoft, Meta, Google dan Amazon kerana kami terbuka kepada teknologi baharu. Oleh itu penggunaan teknologi kecerdasan buatan adalah sebahagian daripada perancangan masa hadapan Samsung.
Dalam syarikat, kami mempunyai bahagian penyelidikan kecerdasan buatan di bawah Samsung Research. Kerjasama dengan rakan teknologi sedang dilakukan untuk mengkaji lagi teknologi kecerdasan buatan yang lebih baik.
Soalan – Pada tahun 2022 kesemua pengeluar telefon pintar mengalami penyusutan yang ketara berbanding 2021. Apakah yang akan dilakukan oleh Samsung untuk memastikan penjualan peranti yang baik pada tahun 2023?
TM Roh – Samsung menyedari cabaran ekonomi yang akan berlaku tahun ini. Oleh itu Samsung akan menumpukan kepada perkara asas bagi memenuhi keperluan dan kepercayaan pengguna bagi memberikan pengalaman yang terbaik. Samsung percaya kami menawarkan pengalaman kamera, ketersambungan, gaming, kelestarian, dan sekuriti yang terbaik pada peranti yang dikeluarkan.
Untuk mengharungi cabaran tahun 2023 dengan menawarkan barisan siri Galaxy Z, Galaxy S dan Galaxy A yang memberikan pengalaman premium yang holistik. Juga penawaran ekosistem yang lengkap untuk telefon pintar Galaxy, tablet, peranti boleh pakai, dan TWS untuk memberikan pengalaman yang berhubung dengan TV, serta kelengkapan rumah Samsung. Saya percaya ini ialah kekuatan Samsung kerana menawarkan pengalaman saling hubungan pelbagai peranti di bawah ekosistem yang sama.
Walaupun tahun 2022 adalah tahun yang sukar untuk Samsung, di rantau Asia Tenggara kami mencatatkan perkembangan berbanding tahun 2021. Sasaran kami ialah mencatatkan perkembangan di rantau ini pada tahun 2023 juga.
Soalan – Samsung menyentuh topik kelestarian produk dengan kerap ketika acara pelancaran siri S23 di San Francisco dan Singapura. Bolehkah Dr Roh menerangkan apakah perbezaan di antara pendekatan kelestarian Samsung berbanding pesaing?
TM Roh – Yang membezakan kami ialah Samsung tidak sekadar memfokuskan kepada cara melestarikan produk menggunakan teknologi sedia ada. Samsung turut melihat keseluruhan kitaran hidup produk seperti bagaimana ia boleh dikitar semula serta bagaimana peranti yang telah digunakan boleh dilupuskan dengan selamat.
Sebagai contoh pada sir Galaxy S23, kaca Gorilla Glass Victus 2 yang digunakan diperbuat daripada secara purata 21% kaca yang telah dikitar semula. Kami sentiasa menggunakan produk dan teknologi baharu untuk menghasilkan peranti yang lebih lestari. Selain itu siri S23 juga direka supaya lebih mudah dibaiki bagi mengelakkan pembaziran kerana komponen yang rosak.
Soalan – Bagaimana pula dengan program Galaxy Upcycling yang diumumkan pada tahun 2017? Sudah agak lama tiada berita baharu mengenai inisiatif “mengitarnaik” peranti-peranti lama ini.
TM Roh – “Mengitarnaik” peranti lama masih merupakan sebahagian komponen kelestarian di Samsung. Ia akan masih diteruskan dengan pelan untuk mengembangkannya lagi ke negara lain serta memperkenalkan lebih banyak inovasi kepada program sedia ada. Kami terus mencari cari yang lebih inovatif untuk menambahbaik teknologi kami.
Soalan – Di CES beberapa prototaip peranti skrin boleh-lipat dan boleh gulung telah diperlihatkan. Bilakah agaknya Samsung akan menggunakannya pada produk sebenar?
TM Roh – Seperti industri kereta, prototaip akan mengambil masa beberapa tahun sebelum muncul sebagai produk yang dijual secara komersial. Pembangunan peranti siri Galaxy Z misalnya mengambil masa lapan tahun dari konsep ke produk yang mula dijual pada tahun 2019. Di awal tadi saya ada menekankan mengenai kepentingan ekosistem.
Produk Flex In and Out yang diperlihatkan misalnya, kami banyak melakukan kajian dan pembangunan bagi memastikan ia bukan sekadar peranti skrin boleh lipat tetapi juga memenuhi keperluan pengguna menerusi antaramuka yang terbaik, perisian dan kesemua ini memerlukan masa yang lama tetapi kami sedang berusaha keras membangunkannya. Ia perlu memenuhi keperluan pengguna terlebih dahulu dan hanya selepas ia sedia, ia akan ditawarkan kepada umum pada waktu yang tepat.