Kevin Systrom dan Mike Krieger yang merupakan pengasas Instagram dan telah melancarkan aplikasi baharu Artifact tiga minggu lalu dalam bentuk ujian tertutup. Menerusinya pengguna akan disarankan artikel-artikel yang boleh dibaca berdasarkan algoritma seakan TikTok. Hari ini Artifact akhirnya dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menggunakannya.
Pengguna akan diminta memilih topik yang diminati dan mengikut pengguna lain di platform. Saranan artikel yang lebih relevan akan diberikan sepanjang masa. Sekilas pandang Artifact seakan Twitter tetapi hanya untuk artikel-artikel yang boleh dibaca.
Dengan pelancaran versi penuh beberapa ciri baharu turut diperkenalkan. Pertama ialah melihat artikel yang popular di kalangan rakan-rakan dan insan yang diikuti dalam Artifact. Kedua ialah melihat statistik topik, kategori dan penerbitan mana yang paling kerap dibaca oleh pengguna. Ketiga dan akhir sekali ialah ciri memberitahu Artifact artikel yang disukai serta tidak disukai supaya algoritma bole memberikan saranan yang lebih tepat.
Artifact boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store sekarang.