Carian
Ulasan – Masih Ada Ruang Buat Realme 10 4G Di Dalam Era 5G
March 6, 2023 Amy Maizuraa

Tidak dinafikan masih ada segelintir daripada pengguna yang tidak begitu mementingkan 5G di dalam telefon pintar mereka. Disebabkan inilah, kita masih boleh melihat kehadiran pelbagai peranti 4G yang membanjiri pasaran ketika ini. Dalam masa yang sama, pelbagai alternatif juga telah disediakan buat para pengguna. Misalnya seperti Realme 10 4G yang dilancarkan di Malaysia dengan harga RM999 sebuah. Teruskan membaca artikel ulasan ini bagi melihat lebih lanjut mengenainya.


Spesifikasi

REALME 10 4G
Skrin6.4″ AMOLED FHD+ (1080 x 2400 piksel), 90Hz
Nisbah aspek : 20:9 (~411 ppi density)
PemprosesMediatek Helio G99 (6nm)
Cip4 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman128GB UFS2.2
Kamera Utama50MP, f/1.8, (Lebar)
2MP, f/2.4, (B&W)
Kamera Swafoto16 MP, f/2.5, (lebar)
Bateri5000mAh
Pengecasan pantas 33W (berwayar)
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MikroSD
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi & wajah
Harga JualanRM999

Realme 10 merupakan sebuah peranti kelas pertengahan yang hadir dengan sokongan rangkaian 4G LTE. Ya benar, peranti ini sekadar menyokong 4G kerana dijana dengan cip MediaTek Helio G99 yang seharusnya berprestasi lebih baik berbanding Snapdragon 680 pada generasi sebelum ini. Realme 10 4G juga didatangkan dengan skrin yang sama dengan genarasi sebelum ini menerusi panel Super AMOLED 6.4-inci beresolusi FHD+ (1080×2400 piksel).

Selanjutnya tiada perubahan mendadak yang turut berlaku pada panel hadapan peranti apabila penggunaan skrin rata dikekalkan dengan kadar segar semula 90Hz secara adaptif. Peranti juga mempunyai nisbah skrin-ke-badan mencapai 90.8% dengan tiga sisi bezel nipis bersama dagu yang tebal. Kehadirannya sedikit mengganggu bagi segelintir pengguna namun boleh dianggap sebagai perkara lazim pada sesebuah peranti kelas pertengahan.

Tubuh diperbuat daripada plastik masih digunakan dengan perbezaan ketara yang boleh dilihat pada rekaan berkotak dan bingkai aluminium. Ini dipadankan pula dengan sisi yang melengkung keseluruhannya bertujuan memberi keselesaan berpanjangan sewaktu di genggaman tangan. Saya juga tidak menghadapi masalah untuk mengendalinya disebabkan amat selesa pada tangan mahupun disimpan di dalam poket seluar. Tiada lagi reka bentuk berkonsep dinamik tekstur 3D seumpama generasi terdahulu, sebaliknya kini lebih minimalis yang dianggap mampu menepati trend terkini generasi muda.

Misalnya seperti gabungan tona hitam, biru dan kelabu yang dinamakan sebagai Rush Black memberikan mood santai bagi mencipta kelainan. Ia juga berkilauan dengan cara yang agak cantik. Sebagai pilihan lain terdapat juga Realme 10 Clash White dengan kombinasi warna terang seperti merah jambu, putih dan ungu digunakan sebagai latar panel belakang peranti yang sesuai untuk membangkit semangat ceria.

Sisi kanan menempatkan butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Walau terdapat perbezaan yang jelas dan ketara berbanding generasi sebelum ini yang menyediakan pengimbas cap jari di skrin, pengalaman membuka peranti dengan pantas masih dapat dinikmati di sini.

Kemudian ia juga dianggap lebih memudahkan penggunaan, tetapi kami memahami bahawa terdapat kekangan buat pengguna yang kidal. Butang laras audio dengan binaan yang kukuh dan selesa ditekan turut boleh ditemui pada sisi yang sama. Selanjutnya slot kad SIM pula diletakkan pada sisi bertentangan. Melaluinya sebanyak dua SIM berbeza boleh digunakan sepenuhnya tanpa perlu berkongsi dengan kad mikroSD.

Pembesar suara pula diletakkan pada bahagian bawah. Turut disertakan adalah port sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm yang memberi akses mudah kepada pengguna untuk mendengar muzik. Ia dianggap menarik kerana ciri ini giat dihapuskan oleh pesaing terdekat sekaligus pengguna terpaksa menambah kos untuk mendapatkan aksesori tambahan.

Hal menarik lain yang turut boleh dilihat apabila kepala pengecas diberikan secara percuma di dalam kotak pembelian. Cuma kekurangan ialah peranti tidak melepasi sebarang penarafan kali air dan debu. Begitu juga dengan pengecasan nirwayar dan NFC, begitu juga dengan pembesar suara yang sekadar mono.


Pengalaman Penggunaan

Dari segi prestasi skrin, pengalaman menonton video terasa senorok menerusi penghasilan semula warna yang bermaya. Malahan sokongan pensijilan Widevine L1 DRM yang membenarkan anda menonton rancangan kegemaran di Netflix tanpa masalah. Begitu juga dengan aplikasi YouTube yang boleh ditonton pada FHD tetapi tiada pensijilan HDR diberikan. Selanjutnya skrin yang terang menjadikannya boleh digunakan tanpa masalah dalam sebahagian besar keadaan kecuali di bawah cahaya matahari terik.

Kadar segar semula 90Hz yang disertakan juga mampu berfungsi dengan baik dan lancar. Namun penggunaan yang berterusan mengakibatkan bateri tidak mampu bertahan dengan lama. Keputusan Realme menyediakan pilihan lain seperti skrin 60Hz (standard) dan auto select (automatik) menerusi tetapan boleh kami puji. Hal ini sangat membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri pada peranti, selanjutnya pengguna lagi dibelenggu kerisauan kehabisan bateri.

Seterusnya, saya juga boleh melakukan pelbagai tugas harian biasa pada peranti tanpa isu yang kronik. Ini termasuklah saya menggunakan peranti ini untuk melayari web serta media sosial, membalas mesej serta emel, menangkap gambar, navigasi peta dan sewaktu dengannya. Kesemuanya berjalan dengan lancar tanpa masalah aplikasi tertutup sendiri atau gagal berfungsi. Cumanya pengalaman membuka sesuatu aplikasi itu memerlukan masa beberapa saat sebelum ia dapat tersedia sepenuhnya.

Saya menggunakannya untuk sesi permua kasual kelas rendah juga tiada masalah. Namun isu kadar bingkai jatuh dengan ketara sewaktu digunakan untuk permua ekstrem seperti MLBB dan COD. Tetapi seperkara hal yang positif mengenai peranti ialah tidak mempunyai isu pemanasan yang melampau selepas digunakan untuk sesi permainan yang panjang. Berikut saya sertakan kutipan markah yang dicatatkan oleh peranti dalam dua ujian penanda aras utama :

  • Geekbench 5 – 572/1743
  • Antutu 3D – 398,203

Untuk makluman semua, Realme 10 4G di Malaysia hanya boleh didapati dalam satu pilihan sahaja yang terdiri dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB terbina. Sungguhpun ia boleh dianggap kombinasi yang memadai, namun peranti turut menyokong penambahan RAM secara maya yang boleh mencapai 8GB RAM secara maksimum. Ini menjadikan jumlah RAM yang boleh digunakan pada peranti adalah sehingga 16GB sekiranya perlu. Sebagai tambahan lagi, sokongan mikroSD turut disediakan bagi pengguna yang memerlukan storan lebih besar.

Dari segi perisian, antara muka Realme UI 3.0 berasaskan Android 12 digunakan pada peranti. Sebahagian besar ciri terbina dioptimumkan dengan baik yang kemudinnya memberikan saya pengalaman penggunaan peranti yang lancar. Tatalan pada antaramuka lancar tanpa isu lengah masa kronik kerana kadar segar semula tinggi terbina yang berfungsi dengan baik. Kemudian perisian ini juga membenarkan saya untuk menetapkan tetapan mengikut keperluan.

Ia juga menyokong kebolehan Split Screen, Flexible Windows dan Smart sidebar bertujuan memudahkan proses multi-tugas. Ciri tambahan lain yang wujud seperti Game Toolkit pula menjadi hub tetapan untuk permua yang sedang dimainkan pada peranti ini. Mod kanak-kanak terbina pula amat berguna buat ibu bapa untuk memastikan anak-anak menggunakan kemudahan telefon pintar dengan bijaksana.


Kualiti Kamera

Realme 10 4G dilengkapi dua kamera utama dengan tetapan 50MP (utama) + 2MP (B&W) yang kemudiannya diikuti dengan kamera swafoto 16MP. Peranti ini juga membenarkan pengguna merakam video sehingga 1080P/60fps pada kedua-dua kamera, tetapi tiada sebarang ciri penstabilan video yang disediakan. Kebolehan zum pula sehingga 5x optikal, seterusnya meningkat kepada 10x digital. Antaramuka aplikasi kamera adalah serupa dengan telefon Realme sedia ada seterusnya menjadikannya mudah digunakan.

Cumanya ciri dan fungsi kamera terbina adalah bergantung pada peranti itu sendiri yang terdiri dengan Night, Street,Video, Photo, Portrait, 50M dan More. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Pada masa sama, kebolehan ini turut boleh dimatikan secara manual menerusi tetapan yang tersedia di bahagian atas aplikasi kamera. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh.

Kualiti gambar yang diambil dengan kamera utama adalah baik pada pencahayaan yang cukup. Saya mendapati kamera mampu memberi hasil yang konsisten dengan penghasilan semula warna bermaya, di samping butiran dan julat dinamik yang baik. Dalam erti kata mudahnya gambar dengan hasil yang berkualiti boleh diambil dalam keadaan pencahayaan sepatutnya. Ia juga memuatkan ciri AI terbina yang dilihat menaikkan lagi kontras pada gambar lalu menghasilkan kesan warna yang lebih tepu. Ini amat bersesuaian buat mereka yang gemar mengambil gambar tanpa suntingan untuk terus memuat naik dengan pantas ke siaran media sosial.

Seterusnya saya boleh mengambil gambar di antara 1X zum dan 2X zum optikal dengan mudah menerusi ikon yang disediakan. Ia juga boleh di zum sehingga 5X zum optikal dengan hasil gambar yang masih senonoh. Seterusnya meningkat kepada 10X zum digital pula menghasilkan gambar yang kabur dan menjadi pecah. Saya juga boleh menangkap gambar malam menerusi mod malam khusus, tetapi hasilnya tidak konsisten bersama perincian yang sederhana dan masalah hingar dalam sesetengah keadaan. Hasil gambar portrait pula memuaskan meskipun tidak sempurna.


Bateri

Prestasi bateri 5,000mAh yang digunakan adalah memuaskan bergantung pada penggunaan masing-masing. Dalam penggunaan saya sendiri bacaan SOT yang diterima boleh mencapai lebih 9 jam dengan penggunaan sederhana dan skrin 90Hz. Antara aktiviti yang terlibat sepanjang penggunaan saya termasuklah melayari web, menatal media sosial, mengambil gambar, aplikasi GPS dan bermain permua untuk beberapa sesi.

Kesemua aktiviti ini melibatkan kebergantungan capaian sambungan LTE dan WiFi. Namun, saya yakin peranti boleh sahaja bertahan dengan lebih lama apabila digunakan pada penggunaan biasa bersama ciri standard dengan skrin 60Hz atau automatik sepanjang masa. Proses mengecas semula bateri boleh dilakukan dalam masa kira-kira satu jam lebih menggunakan pengecas 33W yang dibekalkan dalam kotak.


Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :

  • 1 x Realme 10 4G.
  • 1 x Kepala Pengecas 33W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Realme 10 4G adalah sebuah peranti dengan kemas kini kecil daripada model terdahulu. Misalnya penggunaan cip MediaTek Helio G99 yang pada dasarnya lebih baik tetapi tidak sempurna. Seterusnya ia juga boleh menjadi sebuah lagi pesaing dengan fungsi memadai, pada masa sama sesuai sahaja dijadikan sebagai peranti harian buat mereka yang tidak begitu mementingkan sokongan 5G.

Gabungan di antara skrin lancar, kamera sederhana, perisian mudah dikendali dan ketahanan bateri yang boleh diterima telah menjadi nilai tambah buat peranti ini. Tetapi kesemua ini berfungsi dengan baik apabila digunakan dengan cara yang sepatutnya. Harga jualan adalah RM999 sebuah dan boleh didapati sekarang menerusi pengedar sah Realme di seluruh Malaysia, sama ada secara dalam dan luar talian.


Pro

  • Rekaan santai dan selesa di tapak tangan.
  • Skrin AMOLED dengan kadar segar semula tinggi
  • Kombinasi RAM dan storan dalaman memadai.
  • Bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W.

Kontra

  • Tiada sokongan 5G.
  • Tidak kalis debu dan air.
Komen