Cari @ Amanz

OpenAI pada hari ini sedia mencuri perhatian ramai melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam penjanaan gambar menggunakan Dall-E, disamping berkomunikasi dan memberikan respon melalui ChatGPT. Beberapa penawaran yang dikuasakan kecerdasan buatan ini sedia membantu pelbagai tugasan manusia pada hari ini.

Disamping penawaran itu, OpenAI nampaknya kini mengorak langkah ke generasi seterusnya. Terkini, pihak OpenAI turut berkongsi secara ringkas berkenaan perancangan mereka ke masa hadapan, dan evolusi seterusnya dinamakan AGI (Artificial General Intelligence).

AGI ini dikatakan adalah sistem kecerdasan buatan yang secara amnya lebih pandai atau sama dengan manusia. Tetapi dengan penerapan teknologi serta akses kepada pelbagai data, ia akan membuatkan lebih bijak dan cerdas berbanding manusia biasa.

OpenAI mengatakan AGI berpotensi memberikan pelbagai kebolehan kepada manusia, termasuk sebuah dunia yang memberikan akses bantuan untuk pelbagai tugasan – sekaligus meningkatkan kreativiti manusia. AGI juga sekiranya berjaya dibangunkan, boleh membantu manusia ke tahap seterusnya, dari segi ekonomi global, penemuan pengetahuan saintifik baru, serta pelbagai kebolehan baharu.

Namun, disebabkan kebolehannya yang pelbagai dan tinggi, pada masa yang sama AGI turut mungkin membawakan risiko dari segi penyalahgunaan, serta gangguan sosial.

OpenAI berkongsi akan melakukan peralihan ke AGI ini secara berperingkat, berdasarkan pelbagai input dari pengguna dunia nyata. Disamping itu, mereka sendiri akan melakukan pelbagai perubahan dan pengoptimasian kepada kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dari semasa ke semasa berdasarkan kepada input dan juga bagaimana AGI ini berkembang.

OpenAI juga berpendapatan mereka akan menilai pelbagai risiko dalam bergerak kehadapan – apatah lagi dengan kecerdasan buatan sering digambarkan secara fiksyen yang mungkin membawa kepada kerosakkan dan kepupusan manusia.

Pada peringkat ini, kita boleh melihat ini masih pada fasa permulaan dan tidak diketahui sepenuhnya berkaitan bagaimanakah AGI akan memberikan impak kepada kehidupan manusia. Sebelum ini sendiri kita telah mendengar desas-desus menyatakan Google telah membangunkan kecerdasan buatan yang mencapai tahap manusia berakal – yang kemudiannya ditidakkan oleh Google.

Bagi anda yang berminat membaca lanjut, boleh membaca perancangan jangka masa panjang dan pendek pihak OpenAI berkaitan AGI ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd