Carian
Honor Magic Vs Dengan Snapdragon 8+ Gen 1 Dilancarkan Ke Pasaran Global
February 27, 2023 Amy Maizuraa

Honor Magic Vs juga telah dilancarkan untuk pasaran global hari ini di Mobile World Congress 2023 yang berlangsung di Barcelona. Peranti boleh lipat kedua Honor yang amat dinantikan ini telah diberikan sokongan naik-taraf menarik berbanding generasi terdahulu. Ini termasuklah tubuh yang ringan serta nipis, skrin lebih besar dan sistem kamera lebih mantap.

Honor Magic Vs menggunakan skrin utama sebesar 7.9inci OLED dengan kadar segar semula 90Hz dan resolusi 2272 X 1984 piksel. Sementara itu, skrin sekundar 6.45-inci OLED dengan kadar segar semula 120Hz dan resolusi 2560 X 1080 piksel. Pensijilan HDR10+ juga disokong oleh kedua-dua belah skrin peranti. Seterusnya cip Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan sebagai tunjang utama yang dipadan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB.

Selanjutnya antaramuka MagicOS 7.1 berasaskan Android 13 turut menyertakan pelbagai fungsi menarik yang memberi tumpuan terhadap peningkatan pengalaman penggunaan dengan ketersambungan dan perkhidmatan lebih pintar. Selain itu pengalaman prestasi lebih lancar dan sistem sekuriti dinaiktaraf turut disediakan untuk sistem operasi baharu ini.

Seterusnya konfigurasi kamera utama terdiri dengan 54MP (utama) + 50MP (sudut-lebar & makro) + 8MP (telefoto), sementara itu kamera swafoto pula 16MP untuk kedua-dua belah skrin luar dan dalam. Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan bagi mereka yang gemar menggunakan sistem biometri. Bateri pula adalah 5000mAh dengan sistem pengecasan pantas 66W.

Sayangnya kekurangan yang ketara mula kelihatan apabila peranti tidak pula mempunyai sebarang piawaian kalis debu atau air secara rasmi. Untuk harga, peranti pintar ini dijual pada €1599(~RM7563) untuk sebuah dan tiada tarikh rasmi didedahkan untuk ketersediaanya di Malaysia.

Komen