Pada acara Mobile World Congress yang kini berlangsung di Barcelona, pihak Qualcomm hari ini mengumumkan perkembangan untuk teknologi Snapdragon Satellite yang dibangunkan mereka.
Melalui Snapdragon Satellite, ia menawarkan komunikasi dua hala melalui satelit pada telefon pintar, terutamanya dibawah keadaan atau situasi kecemasan. Teknologi ini sedia diperkenalkan sebelum ini, dan kini Qualcomm turut berkongsi rakan kerjasama yang akan mengintegrasikannya.
Menurut Qualcomm, pelbagai pengeluar akan mula mengintegrasikan ciri komunikasi satelit pada telefon pintar mereka, melalui penggunaan teknologi dan modem keluaran Qualcomm.
Antara nama yang dinyatakan adalah Xiaomi, Oppo, Vivol, Motorola, Honor dan juga Nothing.
Buat masa ini, ia tidak dinyatakan bilakah peranti-peranti akan datang daripada pengeluar ini akan diperkenalkan. Dengan pengumuman ini, semestinya kita akan dapat melihat perlumbaan dalam penawaran ciri telekomunikasi satelit pada telefon pintar masing-masing.
Sebelum ini, Huawei menjadi yang pertama memperkenalkan ciri berkenaan pada telefon pintar mereka, sebelum turut diperkenalkan pada Apple.