Cari @ Amanz

Pandang Pertama Honor Magic5 Pro – Prestasi Tinggi Tanpa Jampi

Link Copied!

MWC ialah minggu neraka di kalangan wartawan teknologi ratusan pengumuman mengenai teknologi telefon pintar akan diumumkan dalam masa yang singkat. Hari ini sahaja terdapat banyak artikel panjang perlu diterbitkan kerana kami tahu ramai di kalangan pembaca Amanz ingin mengetahui adakah peranti yang baru dilancarkan ini berbaloi?

Ini ialah pandang pertama kami untuk Honor Magic5 Pro yang akan mencuba sekali lagi untuk menjadi telefon pintar terbaik. Adakah kemampuan sihir Magic5 Pro setara Harry Potter atau sekadar bijak melakukan ilusi seperti David Blaine?

SPESIFIKASI

Honor Magic5 Pro
Skrin6.81″ OLED 2, lTPO
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/3.0 (Telefoto 3.5X)
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.4
3D ToF
Bateri5100 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga Jualan~RM 5700* (12/512GB)
* = Diubah dari mata wang Euro

SKRIN

Dari hadapan muka Magic5Pro sama sahaja dengan Magic4 Pro. Masih lagi 6.81″ OLED LTPO 120Hz yang mempunyai lubang bujur agak besar untuk sistem pengecaman wajah 3D. Tidak banyak peranti Android menyokong ciri ini tetapi Honor melihat masih terdapat permintaan untuknya. Sisi skrin juga melengkung. Keempat-empat bezel skrin adalah nipis kelihatan hampir nirbingkai.

Peranti terasa lancar dan pantas semasa kami mengujinya untuk tempoh yang hanya selama beberapa jam. Kerana skrin LTPO, kami dapat merasakan skrin berfungsi dengan baik. Pengalaman penggunaan setanding dengan skrin Xiaomi 13 Pro dan Galaxy S23 Ultra. Satu kelebihan skrin Magic5 Pro ialah ia mampu mencapai keterangan sehingga 1800 nits.

Sangat terang tetapi malang sekali kami tidak dapat mencuba aplikasi Netflix untuk melihat sama ada kandungan HDR boleh dipaparkan ataupun tidak. Yang dapat diuji hanyalah YouTube dengan skrin memang amat terang dengan kualiti warna yang juga amat memuaskan.

Semasa sesi pendek sebelum peranti ini dilancarkan, wakil Honor mengatakan DXO Mark memberikan skrin peranti markah cemerlang selepas ia menjalani ujian yang dilakukan. Terdapat pengimbas cap jari bawah skrin yang kedudukannya mudah diakses. Tetapi ini tidak dapat kami uji sepenuhnya kerana peranti perlu dilog masuk terlebih dahulu dan sesi ujian adalah terlalu singkat.

REKAAN

Tubuh peranti juga tidak banyak berubah. Bingkai logam yang dibulatkan dipadankan dengan panel belakang dan hadapan yang diperbuat daripada kaca. Model yang kami terima berwarna Meadow Green yang nampak cukup bergaya. Peranti terasa seimbang di dalam tangan walaupun mempunyai bonggol kamera yang saizya amat besar.

Bonggol tahun ini tidak melampau seperti model tahun lalu. Bagi mereka yang mempunyai masalah trypofobia, bonggol kamera tahun ini hanya mempunyai tiga lensa besar yang sekata saiznya. Sebuah lampu flash dan pengesan 3D ToF juga diletakkan pada bonggol ini. Ia diletakkan di tengah-tengah membuatkan rekaan nampak stabil dan simetri.

Di dalam bonggol diletakkan lensa sudut lebar 50MP dengan OIS, lensa ultra sudut lebar 50MP dan lensa telefoto zum optikal 3.5X 50MP. Honor tidak menggunakan sensor 1″ pada lensa sudut lebar. Keputusan yang agak menarik kerana tidak mengikut langkah Xiaomi dan Vivo. Di hadapan pula terdapat kamera swafoto 12MP yang dipadankan dengan sendor 3D ToF untuk sistem imbasan wajah.

Butang kuasa dan suara diletakkan pada sisi kanan. Pada bahagian atas terdapat pula pemancar infra merah dan satu kekisi untuk speaker stereo. Akhir sekali di bawah terdapat port USB-C, kekisi speaker dan talam dwi-SIM bersauz nano. Sisi kiri dan kanan dibulatkan untuk keselesaan ketika dipegang tetapi pada bahagian bawah serta atas mempunyai kemasan yang rata membolehkan peranti “berdiri” di atas meja.

Lupas untuk kami katakan panel belakang walaupun diperbuat daripada bahan kaca, mempunyai kemasan yang agak kasar. Peranti tidak terasa licin dan lebih penting lagi tidak mudah kotor. Dengan rekaan seperti ini tiada isu peranti cepat kotor berminyak. Honor memberikan sebuah kerangka silikon lutsinar dengan setiap pembelian. Dengan ini panel belakang yang cantik ini tidak tersorok dari pandangan mata.

Magic5 Pro turut melepasi piawaian IP68 yang membolehkan ia kalis debu dan air sepenuhnya. Dari segi rekaan tiada kompromi diambil oleh Honor tahun ini dengan segalanya setanding dengan peranti mercu lain di pasaran. Pada waktu yang sama ini juga bermakna tiada sokongan kad mikro SD dan bicu audio terbina diberikan. Memandangkan ini dilakukan oleh pengeluar lain, kami terpaksa akur dengan trend yang dimulakan oleh Apple tetapi telah merebak ke peranti Android moden.

SNAPDRAGON 8 GEN 2

Untuk memastikan peranti berfungsi dengan sempurna, cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan dengan ia dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan 512GB UFS 4.0. Sekali lagi kami difahamkan ini sahaja model yang akan ditawarkan di pasaran Malaysia apabila Magic5 Pro dilancarkan di Malaysia kelak.

Melihat kepada spesifikasi, Magic5 Pro akan mempunyai prestasi dengan pengalaman penggunaan yang setanding dengan Xiaomi 13 Pro dan S23 Ultra. Apa yang boleh kami katakan pada tahun ini peranti mercu Android akan bersaing dengan sengit kerana perisian semakin baik dengan perkakasan juga semakin berkuasa.

Tetapi apakah prestasi Magic5 Pro jika dibandingkan dengan Xiaomi 13 Pro (Snapdragon 8 Gen 2), Galaxy S23 Ultra (Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy), Vivo X90 (Dimensity 9200) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • Honor Magic5 Pro – 1860/4523
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Honor Magic5 Pro – 1,043,271
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MagicOS 7.1

Sistem operasi MagicOS 7.1 digunakan dengan ia berasaskan Android 13. Antaramuka Magic UI baharu ini tiada bezanya dengan iterasi sebelum ini. Seperti ada trend di kalangan pengeluar Android dimana antaramuka pelancar tidak lagi diubah tetapi sebaliknya hanya ciri baharu ditambah. Oleh sebab itu Magic UI 7.1 ini masih lagi amat mirip dengan Huawei EMUI. Masih belum hilang legasi sistem operasi ini walaupun Honor bukan lagi di bawah payung Huawei.

Elemen-elemen antaramuka hampir kelihatan seperti Android asli dengan beberapa sokongan ekosistem Honor yang membolehkan ia digunakan dengan komputer riba dan tablet dengan lebih mudah. Antara ciri tambahan lain yang disertakan ialah sokongan memori maya sehingga 7GB yang membolehkan Magic5 Pro mempunyai sehingga 19GB RAM. Masih terlalu awal untuk memberikan konklusi mengenai peranti ini tetapi setakat ini peranti terasa pantas dan amat lancar. Dalam ulasan penuh kami akan melakukan ujian lebih mendalam bagi menguji prestasi MagicOS 7.1

KAMERA

Tiada sensor 1″ pada lensa sudut lebar tetapi sekadar sensor 1/1.12″ 50MP. Bukan yang anda mahukan mungkin tetapi imej yang berjaya ditangkap adalah tidak mengecewakan sama sekali. Berikut ialah beberapa sampel yang sempat kami tangkap dalam tempoh ujian yang pendek. Warna nampak hidup dan ketajaman gambar juga memuaskan.

Antar mod kamera yang disertakan ialah Falcon Capture untuk menangkap gambar dengan pantas, AI Motion Sensing dan kemampuan rakaman video IMAX Enhanced. Dengan ciri-ciri ini Honor berharap Magic5 Pro boleh menjadi peranti dengan kamera yang berkemampuan tinggi

Kami sertakan juga sample mod zum pada tetapan 0.5x, 3.5x, 10x, 50x dan 100x. Ketajaman imej mula hilang pada tetapan 50X dan pada tetapan 100x imej kami rasakan tidak boleh digunakan. Tetapi peranti yang kami gunakan ini adalah peranti dengan perisian awal. Kamu akan melakukan semula ujian kamera selepas menerima unit ulasan penuh kelak.

APA DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Honor Magic5 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 66W
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Di atas kertas Magic5 Pro mempunyai potensi untuk menjadi antara peranti terbaik 2023. Ini adalah kerana spesifikasi kelas mercu, sistem kamera yang menakjubkan dan rekaan yang menarik. Tetapi selepas melihat reaksi pembaca Amanz pada harga S23 Ultra dan Xiiami 13 Pro, kami merasakan jika ia terbaik sekalipun ia tidak bermakna jika harga jualannya tidak dianggap munasabah oleh pengguna di Malaysia.

Di Eropah harga jualan peranti ialah 1200 Euro (~RM5700) sebuah yang adalah amat mahal apabila ditukar ke mata wang Malaysia. Pada waktu ini harga jualannya di Malaysia masih lagi belum diumumkan. Honor Malaysia masih mempunyai masa untuk memikirkan harga jualan yang paling serasi untuk pasaran tempatan.

Pro

  • Skrin besar OLED dengan LTPO dan 120Hz
  • Cip berkuasa dengan RAM serta memori yang pantas.
  • Bateri besar dengan pengecasan pantas.
  • Masih mempunyai pemancar infra merah.
  • Mempunyai pengimbas wajah 3D.

Kontra

  • Tidak dilengkapi sensor 1″ yang diinginkan kebanyakan pengguna.
  • Sokongan kemas kini versi Android tidak sebaik pengeluar lain.


Komen ()