Beberapa minggu lepas, Realme GT Neo 5 dilancarkan di China sebagai peranti dengan sistem pengecasan terpantas yang dikomersilkan iaitu 240W. Hari ini di acara MWC Barcelona 2023, Realme menjenamakan semula peranti ini sebagai Realme GT3 untuk pasaran global.

Peranti ini menggunakan spesifikasi sama sahaja seperti GT Neo5, skrin 6.74-inci OLED beresolusi 1.5K yang menyokong kadar segar semula 144Hz yang boleh turun serendah 40Hz dan boleh memaparkan kandungan HDR10+. Kecerahan pula, skrin boleh mencapai kecerahan 1400nits.

Cip pemprosesan Realme masih menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1 pada GT3 dan bukannya 8 Gen 2, tetapi memori yang digunakan adalah yang terkini iaitu RAM LPDDR5X yang mencapai sehingga 16GB sementara storan dalaman menawarkan saiz sehingga 1TB dengan teknologi lama UFS 3.1.

Untuk kamera pula, peranti ini dilengkapi dengan sensor 50MP IMX890, 8MP sudut ultra-lebar, 2MP mikroskop dan kamera swafoto 16MP. Seperti biasa, Realme mengekalkan ciri Street Photography mereka dengan kali ini menggunakan versi 3.0. Untuk memastikan peranti ini sentiasa sejuk sistem kebuk wasap Steel Vapor Cooling System Max 2.0 digunakan.

Ini membolehkan peranti ini menyokong pengecasan pantas 240W untuk mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa kurang 10 minit. Bateri yang digunakan pula berkapasiti 4600mAh dan perisian Realme UI 4.0 turut menyertakan ciri kawalan bateri serta ciri memastikan bateri sentiasa sihat dengan menyokong sehingga 1600 kitaran pengecasan. Pengecas 240W yang diperkenalkan menggunakan teknologi GaN yang boleh mengecas banyak peranti termasuk laptop pada kuasa 65W dan peranti lain yang memerlukan ciri pemgecasan PD PPS.

Realme GT3 turut menjadi peranti pertama Realme yang menyokong sistem lampu RGB. Sistem ini digelar sebagai Pulse Interface Design, di mana ada 25 warna berbeza untuk mod permua GT Mode atau notifikasi. Ciri RGB ini juga adalah pintar di mana lampu boleh berubah warna mengikut aktiviti peranti termasuk bateri lemah. Lampu ini diintegrasikan pada bonggol kamera di belakang bersebelahan dengan kamera pada panel kaca lutsinar yang turut memaparkan logo Snapdragon bersama-sama dengan komponen lain.

Realme turut mendakwa yang GT3 dilengkapi dengan cip khas untuk skrin, agar 144Hz boleh disokong dengan lancar dan stabil. Menjadikan peranti ini lebih fokus kepada prestasi dan permua, GT Mode 4.0 disertakan bersama-sama dengan Tactile Engine Pro. Ciri lain yang jarang disertakan adalah sensor infra merah, dan sistem GPS serba baharu.

GT3 hadir dengan speaker stereo Dolby Atmos untuk memastikan audio kekal kuat, sedap dan seimbang. Pada perisian, Realme UI 4.0 berasaskan Android 13 digunakan yang kali ini mirip dengan apa yang digunakan oleh OnePlus 11 bersama Oxygen OS 13 kerana kod Color OS yang sama.

Buat masa ini Realme masih tidak mendedahkan harga jualan dan tarikh untuk pasaran Malaysia. Tetapi di acara MWC Barcelona 2023 ini, Realme menyatakan harga GT3 untuk pasaran global bermula dari $649 iaitu sekitar RM2912. Warna yang ditawarkan pula adalah Booster Black dan Pulse White, berbeza dengan GT Neo5 di China dengan corak berjalur serta warna lebih ceria.