Cari @ Amanz

Ulasan Oppo Find N2 Flip – Peranti Hebat Bersaiz Kompak

Link Copied!

Penghujung tahun lalu kami katakan Oppo N2 ialah peranti yang seharusnya dipasarkan dengan pantas ke pasaran global kerana ia yang terbaik pernah kami gunakan dalam kategori peranti skrin boleh-lipat. Tetapi Oppo masih belum memberikan petanda pelancaran global akan dilakukan dan sebaliknya hanya Oppo Find N2 Flip sahaja diumumkan di MWC 2023.

Satu keputusan yang agak aneh tetapi kami faham memandangkan menurut data daripada Samsung sendiri, jualan siri Z Flip4 adalah lebih tinggi berbanding Z Fold4 pada nisbah lebih 2:1. Mungkin Oppo mahu menguji pasaran terlebih dahulu maka N2 Flip dilancarkan bagi melihat reaksi pasaran. Jadi adakan Oppo Find N2 Flip pesaing sebenar kepada Z Flip4? Ini ulasan penuh kami.

SPESIFIKASI

Oppo Find N2 Flip
SkrinDalam
6.8″ OLED LTPO
1080 x 2520, 120Hz, HDR10+

Luar
3.26″ AMOLED,
382 x 720
PemprosesDimensity 9000+ (4nm)
Cip1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikMali-G710 MC10
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP f/1.8, (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.4
Bateri4300 mAh
Pengecasan berwayar 44W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / eSIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 3999 (8/256GB)

SKRIN

Skrin dalaman sebesar 6.8″ adalah dari jenis OLED LTPO yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Ia turut hadir dengan sokongan HDR10+ dan terdapat sebuah lubang kamera di bahagian tengah menjadi rekaan peranti nampak simetri. Skrin dilindungi oleh empat bazel yang besar yang terbina ke dalam bingkai plastik. Untuk peranti dengan rekaan skrin lipat, kami rasakan rekaan dengan bezel besar ini boleh dimaafkan kerana ia tidak mempunyai lapisan kaca yang tahan lasak.

Skrin adalah lebih besar berbanding Z Flip4 yang hanya dilengkapi skrin 6.7″. Masih terdapat dua kesan lipatan pada skrin yang tidak kelihatan ketara pada awalnya. Selepas hampir dua minggu peranti diulas, kesan lipatan ini semakin ketara tetapi tidak seperti pengalaman kami menggunakan P50 Pocket yang berubah secara drastik selepas seminggu. Sebagai pengguna Z Fold4, kami rasakan kesan lipatan pada N2 Flip adalah sederhana sahaja. Dalam majoriti situasi ia tidak akan disedari.

Yang disedari ialah apabila jari melalui bahagian tengah skrin, engsel dan mekanisme yang digunakan dapat dirasakan. Selepas empat tahun mengulas peranti skrin boleh-lipat, kami boleh katakan alah bisa tegal biasa. Kami tiada lagi rasa risau kerosakan akan berlaku apabila jari melalui bonggol engsel di tengah skrin.

Bercakap mengenai engsel, N2 Flip menggunakan rekaan yang sama seperti Find N2 dimana peranti ditutup rapat tanpa ruang besar antara skrin. Engsel Flexion melipat skrin menjadi bentuk seakan titisan air bagi membolehkan ia ditutup dengan lebih rapat. Satu kelemahan besar peranti boleh-lipat Samsung ialah ruang besar yang wujud antara skrin yang dilipat. Dengan engsel Flexion, N2 Flip adalah lebih kompak dan nipis apabila dilipat.

Kandungan HDR daripada Netflix dan YouTube dapat kami akses tanpa sebarang isu. Skrin amat terang dengan paparan warna yang cukup hidup. Tetapi seperti kesemua peranti skrin boleh-lipat yang kami cuba setakat ini, tahap keterangan skrin di bawah matahari terik masih tidak sebaik skrin konvensional dengan lapisan kaca. Sedikit sukar untuk dibaca tetapi lebih baik berbanding skrin LCD di bawah situasi yang sama.

Setiap sentuhan menatal dan aksi ketika menjalankan permua dibaca dengan baik oleh skrin N2 Flip. Secara keseluruhan prestasi skrin dalam boleh-lipat amat memuaskan kecuali di bawah sinar matahari yang terik.

Skrin luar juga boleh tahan kerana ia sebesar 3.26″ yang menjadikannya yang terbesar setakat ini. Ia diletakkan pad orientasi menegak yang memudahkan kami mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama. Dengan skrin besar ini terdapat widget untuk cuaca, kalendar, notifikasi dan jam randik. Semuanya berguna bagi mereka yang tidak ingin membuka skrin boleh-lipat untuk mendapatkan maklumat pantas

ColorOS menyertakan Cover Screen Style dalam bentuk animasi. Terdapat beberapa animasi menarik setiap kali skrin diaktifkan. Yang paling kami suka ialah animasi haiwan seperti kucing, hamster dan anjing yang cukup comel. Ia memberikan personaliti kepada peranti yang sedang kami ulas.

Sungguhpun skrin luar ini besar, kami kecewa ia tidak boleh digunakan untuk menaip. Setiap SMS dan mesej WhatsApp yang diterima hanya boleh dibaca. Terdapat beberapa mesej pendek untuk jawapan pantas tetapi kami tidak boleh menaip sendiri pada skrin luar. Peranti masih perlu dibuka sebelum papan kekunci diaktifkan. Diharap Oppo boleh menawarkan kemas kini membolehkan kami menaip jawapan mesej kerana ia adalah ciri yang wujud pada Motorola RAZR 2022.

PENGIMBAS CAP JARI Dan BIOMETRI

Pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan terbina pada butang kuasa. Ia tidak begitu konistsem dengan kejayaan mengimbas cap jari sekitar 50% sahaja. Sekiranya jari sedikit kotor atau basah, proses nyahkunci akan tergendala. Kami juga menyedari apabila kami menggunakan kerangka polikarbonat yang diberikan oleh Oppo, kadar kegagalan imbasan cap jari meningkat. Ini kerana jari perlu ditekan dengan lebih kuat pada pengimbas sebelum pengesanan dapat dilakukan.

Ini berlaku kerana butang kuasa N2 Flip terkeluar sedikit daripada bingkai berbeza dengan sistem pengimbas pada Z Flip4 di mana butang kuasa diletakkan dalam sebuah “parit” yang sederhana dalam. Parit ini memudahkan jari diletakkan pada pad pengimbas dengan orientasi yang tepat untuk pengesanan lebih tepat.

Oleh sebab itulah kami turut menggunakan sistem biometri wajah yang boleh digunakan serentak. Sebaik sahaja skrin dibuka, peranti boleh dinyahkunci sepantas kilat. Kami sarankan pengguna mengaktifkan pengimbas cap jari dan wajah serentak untuk pengalaman yang terbaik.

REKAAN

Ramai mengatakan rekaan N2 Flip terlalu mirip dengan Z Flip4. Ada kebenarannya tetapi jika dilihat pada rekaan peranti jenis Fold dan Candybar, perkara ini juga berlaku. Apabila satu rekaan yang paling optimum terbukti berkesan ia akan menjadi ikutan industri. Kami tiada isu langsung dengan rekaan N2 Flip kerana ianya selesa di dalam tangan, cukup kecil untuk dimasukkan ke dalam poket dan langsung tidak berat.

Pengalaman membuka skrin sangat mengasyikkan kerana rekaan tubuh yang terasa tegap. Tiada bunyi aneh seperti pada P50 Pocket dan peranti tidak terasa akan terlibat dengan sendiri apabila digoyangkan dalam tangan.

Bingkai logam yang kukuh dipadankan dengan panel belakang yang kami rasakan diperbuat daripada polikarbonat dengan kemasan yang kasar. Seperti kemasan pada Find N2 tetapi tidak kertas pasir dengan gred lebih tinggi. Ini menjadikannya tidak begitu licin dan lebih penting sekali tidak mudah menjadi kotor.

Butang kuasa merangkap pengimbas jari diletakkan pada sisi kanan di bawah butang laras audio yang memanjang. Seperti pada Z Flip4, kami merasakan kedudukan butang laras audio ini terlalu tinggi untuk diakses dengan selesa. Mungkin lebih baik dipindahkan ke sisi kiri. Kesemua butang ini tegap dan sedap digunakan.

Di bawah terdapat talam SIM, port pengecas USB-C dan satu lubang kekisi audio. Peranti ini mempunyai sistem audio stereo dengan Dolby Atmos dengan satu lagi kekisi speaker terbina sekali dengan bahagian gagang telinga yang agak besar di atas bezel skrin.

Dalam mod tertutup, N2 Flip boleh dipegang dengan selesa dalam telapak tangan. Kerana saiznya yang kecil ini juga, ia boleh dimasukkan ke dalam kocek baju kemeja tanpa sebarang isu. Bagi kaum wanita, ia boleh dimasukkan juga dalam tas tangan yang terkecil anda miliki. Dalam kereta pula, kami boleh letakkannya di dalam tempat meletak cawan dan ruang pemegang pada bahagian sisi pintu.

Dalam mod dibuka pula, ia masih lagi selesa digunakan kerana tidak berat sungguhpun tubuh akan memanjang berbanding peranti candybar biasa. Bagaimanapun ia dipegang, tiada fobia ia akan terjatuh kerana berat peranti seimbang di bahagian tengah-tengah engsel.

Setakat ini hampir semuanya bagus. Tetapi perlu kami katakan satu kekurangan yang ada pada N2 Flip ialah ia tidak melepasi sebarang piawaian kalis debu dan air secara rasmi. Kelebihan di tangan Z Flip4 yang melepasi piawaian IPX8.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN – ColorOS 13.0

Sistem operasi ColorOS 13.0 yang terkini berasaskan Android 13 digunakan. N2 Flip disahkan akan menerima sokongan kemas kini sehingga empat versi Android serta lima tahun tampalan sekuriti. Antaramuka ColorOS amat mirip dengan Android asli. Ini bermakna ikon yang minimalis, warna rata dan pelbagai ciri tambahan yang menarik ditawarkan. Kerana peranti ini adalah sebuah peranti skrin boleh-lipat, beberapa ciri khusus disertakan yang akan kami sentuh dengan lebih terperinci di bawah.

Dari sudut penggunaan ColorOS 13 berfungsi dengan amat lancar sungguhpun N2 Flip hanya dibekalkan dengan 8GB RAM sahaja. Secara lalai 4G RAM maya diaktifkan menerusi ciri RAM Expension. Selain 4GB, pengguna turut boleh menetapkannya ke 0, 6 dan 8 GB mengikut keperluan peribadi. Sepanjang tempoh ulasan kami meletakkannya ke 4G dan tiada isu ditemukan. Semuanya lancar seperti mentega dibantu dengan skrin yang boleh memaparkan kandungan 120Hz.

Apakah ciri khusus skrin boleh-lipat yang diberikan oleh Oppo? Pertama sekali ialah FlexForm Mode yang membolehkan peranti masih boleh digunakan walaupun tubuh dilipat pada sudut 90 darjah. Video YouTube boleh ditonton pada bahagian atas skrin dengan bahagian bawah dijadikan pad sesentuh mengawal video.

Dalam aplikasi kamera pula ini membolehkan peranti dipegang seperti sebuah kamera camcorder retro. Mengambil swavideo dan swafoto juga lebih mudah kerana letakkan sahaja peranti di atas permukaan rata, ubah sudut pandangan kamera dan mulakan rakaman dengan memberikan arahan telapak tangan sahaja.

Seperti yang telah disentuh pada perenggan mengenai skrin sekunder di awal ulasan ini, terdapat Cover Screen Style yang bukan sahaja boleh dikustomasi tetapi juga boleh menjadi viewfinder kamera.

Ciri-ciri lain yang kami rasakan menarik adalah.

  1. Edge Lighting – Skrin menyala pada bahagian sisi setiap kali notifikasi diterima.
  2. Kid Space -Menukar antaramuka supaya lebih mesra kanak-kanak dan menghadkan aplikasi yang boleh diakses oleh mereka.
  3. Smart Sidebar – Mengakses aplikasi kegemaran dengan pantas menerusi tab sisi yang dipaparkan pada setiap skrin peranti.
  4. Split Screen/Flexible Windows -Melancarkan dua aplikasi serentak pada skrin atau mengapungkan lebih daripada satu aplikasi di skrin menggunakan multi-tingkap.
  5. Safety & Emergency -Mode kecemasan melakukan panggilan telefon bagi mendapatkan bantuan. SMS boleh dihantar kepada insan yang terpilih bersama dengan kedudukan GPS apabila bateri di tahap rendah.
  6. App Lock -Mengunci akses kepada sesetengah aplikasi seperti perbankan atau galeri bagi mengelakkan ia digunakan insan yang tidak sepatutnya.
  7. Omoji – Menghasilkan avatar 3D sebagai pengganti diri. Ia kemudian boleh digunakan pada Cover Screen Style

PENANDA ARAS – Dimensity 9000+

Cip Dimensity 9000+ adalah di dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 8+ Gen 1. Sudah setengah generasi di belakang Dimensity 9200 dan Snapdragon 8 Gen 2. Sungguhpun begitu ia masih lagi sebuah cip mercu yang cukup berkuasa. Prestasi peranti adalah amat lancar dalam menjalankan pelbagai permua yang memerlukan grafik tinggi seperti COD Mobile dan Asphalt 9. Tiada isu menjalankan dua permua ini pada tetapan serta kadar bingkai tinggi.

Berikut adalah perbandingan markah penanda aras N2 Flip dibandingkan dengan Galaxy Z Flip4 (Snapdragon 8+ Gen 1), OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 1301/3822
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 980,346
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Oppo Find N2 Flip – 2617
  • Samsung Galaxy Z Flip4  – 2798
  • OnePlus 11 – 3712
  • Vivo X90 – 3176
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Peranti akan menjadi sedikit suam selepas sesi permainan sepanjang 15-20 minit tetapi tidaklah sehingga mendatangkan ketidakselesaan. Kesuaman ini dapat dirasakan kerana peranti Snapdragon 8 Gen 2 yang kami ulas baru-baru beroperasi pada suhu lebih sejuk. Pemanasan lebih ketara apabila mengambil banyak gambar dengan sistem AI dihidupkan dan menjadikan N2 Flip sebagai sebuah hotspot internet.

TELEFONI Dan GPS

Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, kami tiada isu menggunakan rangkaian 5G di Malaysia. Pengalaman panggilan telefon pula adalah cukup baik dibantu dengan sokongan VoLTE dan VoWiFi dalam situasi rangkaian selular kurang memuaskan. Suara terang dan jelang tanpa isu panggilan terputus secara mengejut.

Prestasi WiFi 6 juga baik terutamanya jika anda mempunyai modem dan penghala yang menyokongnya. Turut tidak mengecewakan ialah prestasi GPS di mana kedudukan kenderaan dapat dikesan dengan pantas apabila kami membuka Google Maps dan Waze.

KAMERA

Hanya dua kamera utama diberikan iaitu sudut lebar 50MP dan ultra sudut lebar 8MP. Kedua-duanya tanpa sistem OIS yang agak mengecewakan. Di hadapan pula kamera 32MP digunakan. Terdapat cip ISP Marisilicon X yang sama seperti pada Find N2 dan Find X5 Pro sebelum ini yang diharap akan meningkatkan prestasi fotografi peranti.

Kerjasama dengan Hasselblad diteruskan juga dengan terdapat mod XPan yang menangkap gambar pada nisbah skrin sinematik 65:24. Kita mulakan dengan sampel gambar sudut lebar dan ultra sudut lebar dalam keadaan pencahayaan yang baik. Tiada perbezaan warna yang ketara pada gambar yang diambil. Imej nampak tajam dan warna adalah sama dengan objek sebenar.

Tetapi situasi berubah dalam mod malam. Imej daripada lens ultra sudut lebar jelas lebih lembut dengan keperincian pada objek yang mula hilang seperti pada bahagian pokok, lantai dan tempat duduk. Tanpa OIS, tempoh masa mengambil gambar sekitar 2 saat menyebabkan imej bergoyang apabila tripod tidak digunakan. Imej yang diambil menggunakan sensor 8MP juga tidak sebaik lensa utama 50MP.

Dalam situasi lain kami merasakan imej yang boleh ditangkap kamera N2 Flip adalah lebih daripada memuaskan dibantu oleh cip Marisilicon X. Untuk kelas peranti skrin boleh-lipat kompak, kami merasakan gambar yang diambil adalah tidak mengecewakan.

Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 1x, 5X, 10x dan 20x pada dalam situasi yang agak mendung. Tanpa sistem zum periskop dan OIS, gambar sehingga tetapan zum 5x sahaja kami rasakan memuaskan. Lebih daripada tahap ini ia mula pecah dan kelihatan seperti lukisan abstrak.

Berikut pula adalah beberapa sampel gambar dalam mod XPan. Seperti pada Find N2, kami cukup suka bermain dengan mod ini kerana imej terhasil kelihatan seperti diambil menggunakan filem. Masih lagi terasa seakan gimik tetapi mod monokrom yang disokong menghasilkan imej yang agak berseni.

BATERI

Dengan bateri sebesar 4300 mAh, N2 Flip sekadar dapat menawarkan SOT sekitar 6 jam dalam penggunaan sederhana dan turut ke sekitar 4.5 jam SOT dalam penggunaan yang lebih berat. Hayat penggunaan terbaik yang kami nikmati selepas hampir dua minggu ialah sekitar 21 jam sahaja. Walaupun kapasiti bateri N2 Flip lebih baik berbanding Z Flip4, ia masih tidak mampu menawarkan penggunaan sepanjang hari lebih-lebih lagi jika 5G diaktifkan.

Pengecas 67W diberikan dalam kotak tetapi N2 Flip hanya menyokong pengecasan 44W secara berwayar tanpa sebarang sistem pengecasan nirwayar diberikan. Peranti dapat dicas semula dalam masa sekitar 60 minit. Pengecasan N2 Flip jauh lebih pantas berbanding Z Flip4 tetapi hakikatnya kedua-dua peranti ini tidak menawarkan hayat penggunaan bateri yang cemerlang.

AUDIO

Speaker stereo dibekalkan dengan sistem audio Dolby Atmos. Namun begitu sistem Atmos tidak boleh digunakan dengan speaker fizikal dengan ia hanya aktif jika digunakan dengan aksesori audio seperti fon kepala. Tiada bicu audio 3.5mm disertakan. Kualiti speaker adalah sederhana sahaja dengan kelantangan yang memuaskan. Speaker bawah lebih lantas berbanding atas dengan audio tidak seimbang.

PESAING

Oppo Find N2 FlipSamsung Galaxy Z Flip4Huawei P50 Pocket
Dalam – 6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+

Luar – 3.26″ AMOLED
Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+

Luar – 1.9″ Super AMOLED
Dalam – 6.9″ OLED, 120Hz (442 ppi)
Luar – 1.09″ OLED, 60Hz
Dimensity 9000+ (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 +Gen 1
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 888 4G (5nm)
1 X 2.84 GHz Kryo 680
3 X 2.42 GHz Kryo 680
4 X 1.8 GHz Kryo 680
Mali-G710 MC10Adreno 740Adreno 660
8GB LPDDR58GB LPDRR58/12 GB
256 UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1256 GB
(NMCard 256GB)
Kamera Utama
50MP f/1.8, (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
4K 60p
Kamera Utama
12MP, f/1.8 (utama), OIS
12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar)
4K 60p
Kamera Utama
40MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
13MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
32MP, f/2.8 (Potret)
4K 60p
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
10.7-Megapixel f/2,2
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4300 mAh (Berwayar 44W)3700 mAh (Berwayar 25W)4000 mAh (Berwayar 40W)
RM 3999 (8/256GB)
RM4099 (8/128 GB)
RM4299 (8/256 GB)
RM4899 (8GB, 1TB)
RM4599 (Bespoke 8/256 GB)
RM 5999 (8/256GB)
RM 7299 (12/512GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Oppo Find N2 Flip.
  • 1x Kerangka polikarboat.
  • 1x Pengecas SuperVOOC 67W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Oppo Find N2 Flip ialah peranti skrin boleh-lipat kompak yang berjaya mengurangkan kesan lipat skrin, mempunyai skrin luaran yang lebih berguna, menawarkan prestasi yang memuaskan dan menyokong sistem pengecasan yang pantas untuk peranti di dalam kelas ini. Terdapat pelbagai ciri tambahan pada skrin sekunder yang membolehkan N2 Flip digunakan tanpa skrin utama dibuka. Prestasi menjalankan pelbagai aplikasi termasuk permua juga amat memuaskan.

Menerusi N2 Flip, Oppo mempunyai senjata yang cukup baik untuk bertarung dengan Z Flip4 yang merupakan raja di dalam kelas ini. Sungguhpun begitu N2 Flip masih dihantui isu bateri yang masih belum cukup bertahan lama berbanding peranti candybar. Kemampuan kameranya juga sedikit tercalar kerana tidak hadir dengan sistem OIS. Akhir sekali ia turut tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air.

Harga jualan RM3999 (8/256GB) adalah sangat kompetitif apabila dibandingkan dengan Z Flip4 yang juga ditawarkan pada harga RM3999 (8/256GB) untuk tempoh waktu yang terhad. Kedua-dua peranti mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kuasa memilih di tangan anda. Yang pasti dengan persaingan semakin meningkat, pasaran peranti skrin boleh-lipat di Malaysia sekarang semakin menarik.

Pro

  • Skrin boleh-lipat dengan kesan lipatan tidak begitu ketara.
  • Skrin 120Hz HDR10+
  • Engsel yang melipat lebih nipis tanpa ruang antara skrin.
  • Skrin luar terbesar untuk peranti jenis “Flip”
  • Pengecas 44W terpantas untuk peranti jenis “Flip”
  • Kamera Hasselblad.

Kontra

  • Tiada sebarang piawaian kalis air.
  • Kamera utama tiada OIS.
  • Prestasi bateri kurang memberangsangkan.
  • Pengimbas cap jari yang tidak konsisten.


Komen ()