ChatGPT mula diintegrasikan terus ke dalam Windows 11 selepas sebelum ini diberikan dalam Bing. Jelas sekali teknologi kecerdasan buatan ini adalah ciri yang dilihat sebagai perlu ada untuk menarik perhatian pengguna. Terkini OpenAI melancarkan ChatGPT API untuk pembangun serta perniagaan yang ingin mengintegrasikan ChatGPT ke dalam aplikasi atau perkhidmatan mereka.

ChatGPT API telahpun digunakan oleh Snap menerusi ciri My AI yang kami laporkan semalam. Selain Snap, Quizlet, Instacart, Shop dan Speak adalah empat lagi aplikasi yang menggunakannya. Saranan produk yang perlu dibeli boleh diberikan oleh ChatGPT kepada pengguna yang diharap akan meningkatkan jualan.
OpenAI mengenakan bayaran $0.002 untuk 1000 token yang bersamaan dengan 750 patah perkataan. Ini adalah sebab mengapa My AI hanya ditawarkan kepada pelanggan Snapchat+ sahaja.