Magic Eraser adalah ciri paling unik Google perkenalkan yang sebelum in eksklusif kepada pengguna Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro sahaja. Ciri ini kemudian dikembangkan kepada pengguna Pixel 6a dan Pixel 7/7 Pro.
Ciri ini adalah seakan Content Aware pada Adobe Photoshop, di mana pengguna boleh memadam objek atau orang di latar untuk menjadikan imej lebih sedap mata memandang. Cuma dengan Magic Erase ciri ini lebih mudah digunakan dan prosesnya adalah lebih pantas.
Pada dua minggu lepas, Google mengumumkan yang ciri Magic Eraser tidak lagi dihadkan kepada pengguna Pixel 6 dan 7 tetapi kini boleh digunakan oleh semua pengguna peranti Android dan juga iOS. Dengan syarat pengguna melanggan Google One, iaitu langganan storan awan Google Drive tanpa kira pelan paling murah atau mahal.
Sejak ciri ini diperkenalkan, saya telah menggunakannya pada iPhone 13 Pro dan turut membantu saya menyunting gambar ketika menghadirkan diri ke acara MWC Barcelona 2023. Berikut adalah cara menggunakan ciri ini;
- Buka aplikasi Google Photos dan cari gambar yang ingin disunting.
- Tekan ikon “edit” atau sunting.
- Pilih dari cadangan Magic Eraser/Pemadam Ajaib atau jika tiada pilih pada Tools atau Alatan.
- Selepas tekan Magic Eraser/Pemadam Ajaib tunggu Google Photos cadangkan apa yang patut dipadam, jika setuju terus tekan Erase All/Padamkan Semua.
- Jika tidak berkenan, pilih lukis sendiri pada objek atau manusia di latar dan tekan Erase/Padam.
- Gambar yang siap akan disalin sebagai gambar baharu, memberi pengguna pilihan sama ada ingin padam gambar lama atau tidak.
- Pilihan lain pada ciri ini adalah Camouflage/Penyamaran yang menjadikan objek atau manusia bertukar warna agar sesuai dengan pemandangan.
Semudah itu sahaja menggunakan ciri ini. Cara yang sama juga anda boleh aplikasikan pada peranti Android. Apa yang kami perasan, ciri ini diaktifkan pada aplikasi Google Photos versi 6.25 untuk Android dan 6.26 untuk iOS. Sekali lagi diingatkan, ciri ini hanya boleh digunakan jika anda melanggan salah satu pelan Google One walaupun yang paling murah iaitu RM8.49 untuk 100GB sebulan.