Cari @ Amanz

Hari demi hari Microsoft terus memastikan Bing Chat menjadi lebih bijak dan bermanfaat untuk digunakan semua. Bing Chat iaitu enjin carian yang dikuasakan dengan sistem kecerdasan buatan GPT-4 yang memberi kebebasan kepada pengguna untuk berbual untuk mencari sesuatu benar-benar digemari ramai.

Baru-baru ini Bing baharu telah diintegrasikan terus ke Taskbar Windows 11. Terkini, eksekutif Microsoft Yusuf Mehdi berkongsi yang dalam tempoh sebulan Bing Chat diperkenalkan sebanyak lebih 45 juta perbualan telah dilakukan padanya.

Bukan itu sahaja, 1/3 daripada jutaan pengguna menggunakan Bing Chat setiap hari dan 1/3 pengguna yang dapat menguji perkhidmatan carian ini adalah pengguna kali pertama menggunakan Bing. Pengenalan Bing Chat ini turut menjadikan Bing kini mempunyai lebih 100 juta pengguna aktif harian.

Microsoft turut berkongsi yang penggunaan Bing pada peranti mudah alih menerima peningkatan sebanyak enam kali ganda pengguna aktif harian. Kemudian 15% daripada kesemua sesi Bing Chat telah digunakan untuk mencipta kandungan baharu.

Atas kejayaan ini, Microsoft akan terus memastikan Bing adalah enjin carian terbaik di pasaran. Antara perancangan mereka adalah menyertakan Bing pada bar sisi Microsoft Edge.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd