Cari @ Amanz

Dengan pelbagai masalah yang timbul di Twitter, beberapa perkhidmatan alternatif mula timbul berasaskan Mastodon, mahupun Bluesky daripada pengasas Twitter sendiri. Tidak ketinggalan, kini dilaporkan Meta turut sedang membangunkan aplikasi alternatif untuk Twitter.

Aplikasi yang sedang dibangunkan oleh Meta ini menggunakan nama kod “P92” buat masa ini. Ia akan membolehkan pengguna log masuk menggunakan akaun Instagram. Buat masa ini, projek ini sedang diterajui oleh Adam Mosseri, ketua Instagram sendiri.

Menariknya, mengikut info awal, perkhidmatan sosial berasaskan teks ini dijangka akan mengambil ciri terpencar melaluinya, sekaligus menjadikan ia pertama kali Meta menawarkan aplikasi dengan konsep terbuka berbanding sebelum ini. P92 ini dikatakan akan menyokong ActivityPub padanya – lebih kurang seperti perkhidmatan sosial lain dibawah Fediverse seperti Mastodon.

Ia tidak diketahui lagi bilakah Meta akan memperkenalkan aplikasi eksperimental mereka ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd