Umum ketahui bahawa siri Huawei P sering menggabungkan beberapa elemen menarik dalam sebuah peranti bagi menjadikannya yang terbaik. Ini termasuklah prestasi dan sistem pengimejan mudah alih yang dipertingkatkan dari masa ke semasa, seterusnya mampu bersaing dalam pasaran masa kini. Begitu juga dengan peranti skrin boleh lipat Huawei yang tidak kurang hebatnya apabila ianya turut ditambahbaik berdasarkan keperluan semasa.

Terbaharu Huawei dalam persediaan hadir dengan generasi baharu untuk kedua-dua peranti dan tarikh pelancaran rasmi turut dikongsi menerusi laman Weibo. Ia menunjukkan pelancaran untuk siri Huawei P60 dan Huawei Mate X3 yang dijadualkan berlangsung di China pada 23 Mac hadapan. Poster rasmi bagaimanapun tidak pula mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai peranti, sama ada ada dari segi segi rekaan mahupun perkakasan dalaman. Tetapi kita boleh menyasarkan lebih banyak kandungan promosi yang akan datang sementara menunggu tarikh pelancaran rasmi.

Sebelum ini turut tular imej pengolokan Huawei P60 Pro menunjukkan perubahan rekaan kamera yang drastik. Ianya tertiris dengan bonggol gergasi yang mendominasi panel belakang peranti, selain turut dipadankan dengan dua lagi lensa yang diletakkan secara atas dan bawah. Salah satu lensa jelas menunjukkan penggunaan sistem zum telefoto periskop dan terdapat juga penjenamaan XMage yang ketara bersama-samanya.
Ini bukan suatu hal baharu, malahan sistem kamera XMage ini telah digunakan sejak siri Huawei P50 sebelum ini. Ia juga membuahkan hasil yang baik apabila Huawei P50 Pro berjaya menduduki tempat pertama di carta DXOMark untuk beberapa ketika sebelum ditewaskan oleh Honor Magic5 Pro pada ketika ini.