Sejak dari awal lagi ciri paling menarik pada jam tangan pintar Samsung ialah bezel berputar. Tetapi ciri ini tidak lagi diberikan pada siri Galaxy Watch5. Sebagai pengguna tegar ekosistem Samsung, kami merasakan bezel berputar ini adalah amat berguna dan ketiadaannya kami tangisi. Tetapi kini menurut Sammobile, ia mungkin dikembalikan semula pada siri Galaxy Watch6.

Menurut maklumat yang dikongsi oleh @SuperRoader, bezel berputar akan kembali semula tetapi hanya pada Galaxy Watch6 Pro. Pada model biasa kawalan pada bezel secara sentuhan sahaja diberikan. Keputusan Samsung yang asyik berubah-rubah mengenai sistem bezel berputar adalah mengecewakan. Ia jelas adalah ciri yang diperlukan serta amat berguna. Diharap jika ura-ura ini menjadi kenyataan, Samsung tidak akan membuangnya semula di masa hadapan.
Biarkan kejap ada kejap tak ada eksklusif pada coklat Chipsmore. Ketiadaan bezel berputar ini mungkin menjadi antara sebab mengapa tahun lalu Samsung berada di tangga ke empat dalam senarai pengeluar peranti boleh-pakai. Apple tidak melakukan perubahan mendadak pada Apple Watch sejak dilancarkan dan hasilnya mereka mendominasi lebih separuh pasaran pada tahun 2022.
- Sumber
- Sumber – Sammobile