Sejak Google TV diperkenalkan banyak peranti dan televisyen Android TV telah dipinggirkan kerana tidak menerima kemaskini yang memberikan ciri dan fungsi lebih kurang sama. Sebaliknya pengguna harus beli dongel atau televisyen yang menjalankan Google TV untuk benar-benar nikmati pengalaman televisyen pintar serba baharu ini.
Terkini, salah satu ciri hampir sama dengan Google TV diberikan kepada pengguna Android TV iaitu sokongan profil pengguna.

Cuma berbeza dengan Google TV, profil pada Android TV lebih kepada menukar antara akaun Google berbeza sahaja dengan semua aplikasi dan kandungan dalam TV kekal menggunakan akaun utama.

Penukaran akaun ini membolehkan tab Discover pada Android TV mencadangkan kandungan mengikut akaun berbeza jika satu televisyen dikongsi ramai. Tetapi sayang sekali jika membuka Netflix, Disney+ atau lain-lain platform penstriman video profil akaun Google utama akan dipaparkan secara lalai.